KATA-KATA azimat jadi pegangan lepasan Kolej Vokasional buktikan boleh berjaya hingga peroleh Anugerah Pelajaran Diraja di UMPSA
KATA-KATA azimat jadi pegangan lepasan Kolej Vokasional buktikan boleh berjaya hingga peroleh Anugerah Pelajaran Diraja di UMPSA
Suliati Asri

"JANGAN pernah mengalah. Sentiasa berusaha kerana dalam hidup tiada jalan mudah untuk kita berjaya!

Itu antara kata-kata yang sentiasa menjadi pegangan buat graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Automotif dengan Kepujian dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Muhammad Ambri Mohd Sha'ari, 25, ini.

Dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) dalam Majlis Konvokesyen Ke-18 UMPSA, Oktober tahun lalu, Muhammad Ambri berjaya membuktikan dengan usaha dan fokus dalam apa yang ingin dikecapi mampu mendorong seseorang itu untuk pergi lebih jauh.

Selain itu, Muhammad Ambri juga berjaya buktikan, menceburi bidang kemahiran atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak hanya perlu berlandaskan minat semata-mata, tetapi lebih kepada hala tuju dan peluang kerjaya di masa hadapan.

Berkongsi pembabitannya dalam bidang kemahiran, sebenarnya di sekolah anak sulung daripada tiga beradik ini bukan pelajar yang lebih kepada 'teori'.

Menyedari hakikat itu, dia memutuskan untuk melanjutkan pengajian peringkat diploma di Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zin, Melaka kerana bidang kemahiran ini menerapkan 60 peratus praktikal dan 40 peratus teori yang semestinya mampu membantunya meningkatkan kemahiran diri.

Cerita Muhammad Ambri, awalnya teknologi automotif bukan satu bidang yang diminati kerana lebih meminati bidang teknologi komputer.

Namun, apabila memikirkan kepada kerjaya masa hadapan yang boleh diterokai selepas tamat pengajian, Muhammad Ambri memilih teknologi automotif kerana ia menawarkan cabang kerjaya yang sangat luas.

"Ketika dalam pemilihan bidang, teknologi komputer ketika itu sangat mendapat permintaan ramai, tetapi saya memutuskan untuk mengambil automotif kerana banyak ilmu yang saya boleh pelajari.

"Kini, kalau dilihat industri automotif juga semakin berkembang dan banyak kemajuan yang dikecapi.

"Jadi, ketika saya berada di Kolej Vokasional, saya perlahan-lahan mendalami bidang automotif ini termasuk berkenalan dengan minyak hitam, mengenali setiap peralatan wajib dalam automotif, contohnya sepana sehingga bahagian pengurusan.

"Alhamdulillah apabila dapat melanjutkan pengajian di UMPSA, saya benar-benar fokus kepada bidang ini dan kini saya juga bekerja dalam bidang automotif," katanya yang kini bekerja sebagai 'executive trainer' (Technical Education), Learning and Development Department di Perodua Sales Sdn Bhd.

Muhammad Ambri berkata, melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di UMPSA memberinya peluang meneroka lebih luas bidang automotif.

Menurutnya, sebagai salah satu Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN), UMPSA memberi peluang dan ruang buat pelajar TVET menyambung pengajian di peringkat ijazah dan ke atas serta sudah melahirkan ramai graduan yang berjaya dalam bidang masing-masing.

"Untuk mendapatkan hasil pelajar yang cemerlang, berkemahiran dan mempunyai ilmu daripada segi teori dan praktikal amat penting selain UMPSA menyediakan kemudahan sangat bersesuaian dengan jurusan yang saya ambil.

"Selain itu, kebanyakan kemudahan yang disediakan mengikut perkembangan teknologi yang kian pesat membangun dari semasa ke semasa.

"Kemudahan dan fasiliti di UMPSA bagi kegunaan pelajar seperti kelas, gelanggang sukan, jalan raya, kafeteria, bengkel, perpustakaan dan kediaman pelajar sentiasa berada dalam keadaan yang optimum," katanya.

MUHAMMAD Ambri ketika menerima Anugerah yang disampaikan sendiri oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
MUHAMMAD Ambri ketika menerima Anugerah yang disampaikan sendiri oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun, Muhammad Ambri mengakui dirinya juga tidak terlepas daripada situasi sukar yang hampir membuatkannya berputus asa.

Mengulas lanjut, Muhammad Ambri berkata, sepanjang menjadi pelajar ada dua peristiwa yang pernah membuatkannya hampir berputus asa.

"Pertama ketika di kolej vokasional di saat sedang menyiapkan projek akhir. Projek itu tidak berjalan lancar. Tiga puluh kali saya buat percubaan, tiga puluh kali juga menemui kegagalan.

"Namun, berkat dorongan keluarga terutama bapa yang membantu dari pelbagai sudut terutama memberi pendapat mengenai inovasi yang saya sedang lakukan, Alhamdulillah akhirnya saya dapat menyiapkan projek terbabit," katanya.

Satu lagi peristiwa adalah ketika belajar di UMPSA dan membabitkan projek dalam kumpulan bersama rakan-rakan.

"Ketika itu musim Covid-19. Ketika kami perlu menyiapkan projek terbabit, ada pelajar yang berada di rumah, ada yang berada dalam bilik asrama disebabkan kuarantin dan ada yang berada bengkel. Masa itu sangat kritikal.

"Sekali lagi, saya hampir berputus asa, tetapi apabila teringat kembali peristiwa ketika berada di kolej vokasional dulu dan betapa susahnya untuk saya sampai ke peringkat ini, saya kembali bersemangat dan menyiapkan projek itu bersama rakan-rakan," katanya.

Bagi Muhammad Ambri, dalam apa juga yang dihadapi, ibu bapa adalah penyumbang terbesar kejayaannya yang dikecapi kini kerana kedua-dua ibu bapanya itu tidak pernah berputus asa mendidiknya supaya berjaya di dunia dan akhirat.

"Ketika saya berdepan apa juga masalah, mereka yang mendorong saya untuk terus berjalan serta berlari mengejar impian.

"Di saat saya mencapai kejayaan, mereka juga orang yang paling gembira dan sentiasa berada di sisi saya," katanya.

Selain itu dalam hidup, Muhammad Ambri juga sentiasa berpegang kepada empat prinsip iaitu usaha, doa, tawakal dan reda.

Katanya, sesukar apa pun masalah yang dihadapi, ia akan menjadi mudah.

"Jaga solat, jaga hubungan dengan ibu bapa, adik-beradik dan masyarakat supaya semua perkara yang kita buat akan berkat di dunia dan akhirat," katanya.

Berkongsi tip mendapat anugerah dekan pada setiap semester dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.94, Muhammad Ambri berkata, salah satu cara yang dilakukannya adalah membantu rakan-rakan.

"Jika ada rakan-rakan yang kurang faham atau lemah dalam sesuatu subjek, saya juga akan ajak mereka berbincang dan menyelesaikan masalah itu bersama-sama.

"Sebenarnya selain dapat menyelesaikan masalah secara tidak langsung, saya juga dapat mengulang kaji.

"Dengan ilmu yang dikongsikan itu juga membantu saya untuk mudah menjawab soalan semasa dalam dewan peperiksaan," katanya.

Bagi pelajar di luar sana terutama dalam bidang kemahiran, nasihat Muhammad Ambri, sentiasa tahu dan ingat, apa saja institusi kemahiran yang dipilih, peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi itu terbuka luas.

"Jangan pernah mengalah! Walaupun berdepan kegagalan, jangan pernah mengalah kerana ramai yang tidak tahu, bidang kemahiran ini adalah 'lubuk' kerjaya.

"Pelajar kemahiran sentiasa mempunyai permintaan yang tinggi daripada pelbagai industri di luar sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 7:01 AM