MURID SK Tembak mendemonstrasikan permainan yang dicipta dan tersedia di Laman Minda Sihat SK Tembak. - FOTO Saddiq Sani
MURID SK Tembak mendemonstrasikan permainan yang dicipta dan tersedia di Laman Minda Sihat SK Tembak. - FOTO Saddiq Sani
Suliati Asri


Pandemik Covid-19 nyata memberi impak yang besar termasuk kehidupan dan emosi kanak-kanak di seluruh dunia.

Dengan penutupan sekolah dalam tempoh yang lama disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai murid yang tidak berminat untuk ke sekolah.

Kadar peratusan kehadiran murid ke sekolah yang merudum secara tidak langung turut menjurus kepada masalah disiplin.

Menyedari hakikat itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Tembak, Kuala Ketil, Kedah menyediakan Laman Minda Sihat yang bukan saja memastikan murid berasa seronok di sekolah tetap juga bagi mengurangkan tekanan.

Guru Bimbingan dan Kaunseling SK Tembak, Norlelawati Ahmad berkata, Laman Minda Sihat ini adalah projek khas mengurangkan stres atau tekanan dalam kalangan pelajar.

Katanya, idea itu adalah datangnya daripada pihak sekolah kemudian dikendalikan Unit Bimbingan Dan Kaunseling SK Tembak.

"Program inovasi unit bimbingan kaunseling SK tembak ini, dicipta selepas peratus kehadiran murid ke sekolah agak menurun pada tahun 2020.

"Projek ini juga berjaya menarik minat murid yang tidak mahu ke sekolah atau 'ponteng tegar.'

"Diserikan dengan pelbagai pengisian aktiviti yang menarik, kewujudan intervensi ini memperlihatkan impak positif terutama dari segi emosi murid dan mampu meningkatkan peratus kehadiran sekolah," katanya.

Menerusi projek ini, terdapat tujuh permainan yang diperkenalkan iaitu lompat bintang, serlahkan bakat, papet, batu seremban,'Hope Success,' teng teng, menjerit dan pukulan daku.

Ditanya bagaimana permainan boleh memberi impak positif kepada murid, Norlelawati berkata, permainan intervensi ini sangat membantu murid kerana apabila mereka bermain, ia boleh menghilangkan tekanan.

NORLELAWATI (kanan) bergambar kenangan semasa pameran inovatif pada Program Titipan Kasih Harian Metro bersama Nestle di SK Kuala Samak, baru-baru ini.
NORLELAWATI (kanan) bergambar kenangan semasa pameran inovatif pada Program Titipan Kasih Harian Metro bersama Nestle di SK Kuala Samak, baru-baru ini.

Bukan itu saja katanya, emosi murid juga akan kembali normal apabila dapat bermain.

"Apabila kami memperkenalkan permainan ini, murid-murid berasa seronok untuk hadir ke sekolah.

"Walaupun tujuan dia untuk bermain, namun proses PDP tetap berjalan denhan baik kerana kita memberi ruang dan peluang kepada murid untuk bermain.

"Selain itu, sekiranya ada masalah disiplin yang berlaku selepas sesi pembelajaran, unit kaunseling akan bawa murid terbabit untuk bermain supaya mereka rasa gembira untuk hadir ke sekolah.

"Jadi, inovasi ini sangat membantu terutama dalam menghadapi murid yang ponteng tegar kerana kita boleh menarik minat mereka ke sekolah," katanya.

Selain permainan intenvensi ini, Laman Minda Sihat SK Tembak juga adalah pusat sehenti yang dapat memberi ketenang kepada murid sekali gus membolehkan mereka mempunyai emosi dan mental yang sihat.

Pemangku Guru Besar Sk Tembak, Mohd Yusof Ahmad berkata, ia dibahagikan kepada beberapa sudut antaranya 'Toy of Happinesss,' Refleksiologi, Terapi Air Terjun dan Terapi Bunyi yang diwujudkan sebagai model terbaik dalam pembentukan kesejahteraan mental yang sihat dalam kebiasaan baharu.

"Projek ini juga bertujuan untuk mencungkil bakat dan mempromosikan amalan gaya hidup sihat. Ia juga dapat meningkatkan kemahiran daya tindak murid dalam mengendalikan emosi.

"Lebih membanggakan, Laman Minda Sihat ini mendapat tempat ketiga di peringkat negeri Kedah dan menerusi projek ini juga, SK Tembak banyak menerima lawatan penanda aras dari sekolah-sekolah lain termasuk dari Perlis.

Mohd Yusof berkata, pusat sehenti ini yang dapat memberi ketenangan kepada murid sekali gus membolehkan mereka mempunyai emosi dan mental yang sihat.

SUDUT Refleksiologi membolehkan murid memijak batu refleksiologi dan inovasi refleksiologi tudung botol yang dapat membantu meregulasikan emosi.
SUDUT Refleksiologi membolehkan murid memijak batu refleksiologi dan inovasi refleksiologi tudung botol yang dapat membantu meregulasikan emosi.

SUDUT terapi bunyi memberi ruang kepada murid yang inginkan suasana yang sunyi dan dapat membaca dengan lebih tenang.
SUDUT terapi bunyi memberi ruang kepada murid yang inginkan suasana yang sunyi dan dapat membaca dengan lebih tenang.

Katanya, terdapat pelbagai aktiviti tersedia untuk murid yang turut memberi kelebihan sendiri dan dipecahkan mengikut sudut.

"Antaranya ialah Sudut 'Toy of Happiness' yang merangkumi alatan anti stress seperti 'pop it,' stress ball' dan kiub.

"Kemudian, Sudut Refleksiologi. Menerusi sudut ini, ia membolehkan murid memijak batu refleksiologi dan inovasi refleksiologi tudung botol yang dapat membantu meregulasikan emosi.

"Sudut Terapi Air Terjun juga dapat membantu pelajar menenangkan fikiran. Ini kerana mendengar bunyi latar air terjun mini atau air terjun buatan yang dipasang membantu meregulasikan emosi.

"Manakala Sudut Terapi Bunyi yang dipasang dan bahan bacaan teknik relaksasi yang disediakan juga membuatkan emosi murid lebih baik," katanya.

Bukan itu saja, di Laman Minda Sihat ini juga disediakan gelanggang babminton dan sepak takraw sekali gus membolehkan murid bersukan.

Selepas hampir lima tahun diperkenalkan, penerimaan murid dan warga sekolah terjadap Laman Minda Sihat SK Tembak ini sangat memberangsangkan.

Kata Mohd Yusof, ia dapat dilihat melalui impak pemubuhannya kepada warga sekolah.

"Kejayaan meraih Penarafan Gangsa Peringkat Kebangsaan pada tahun 2021 dan beberapa kejayaan peringkat negeri Kedah serta Daerah Baling turut membuktikan Laman Minda Sihat ini benar-benar dapat membantu murid sekali gus melahirkan murid yang mempunyai mental dan emosi yang sihat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 7:00 AM