WAN Nor Asiah ketika sesi ‘pitching.'
WAN Nor Asiah ketika sesi ‘pitching.'
AHLI pasukan bergambar bersama Pengetua Mahallah Sumayyah UIAM yang juga mentor Sumayyah Greenprener, Dr Shamshina Mohamad Hanifa.
AHLI pasukan bergambar bersama Pengetua Mahallah Sumayyah UIAM yang juga mentor Sumayyah Greenprener, Dr Shamshina Mohamad Hanifa.
Suliati Asri


PASUKAN UIAM1 dengan projek Sumayyah Greenpreneur, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berjaya memperoleh geran University-Community Social Enterprise (UCSE) dan University Social Enterprise Competition (USEC) 2024 yang diumumkan sekretariat pertandingan iaitu Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), baru-baru ini.

Sesi 'Pitching' yang berlangsung di Kementerian Pengajian Tinggi, Putrajaya itu membabitkan 87 pasukan daripada IPTA, IPTS dan Politeknik seluruh negara.

Geran berkenaan menawarkan jumlah maksimum RM40,000 untuk setiap pasukan yang berjaya.

Namun, untuk memenangi geran ini bukan mudah kerana pasukan terpilih perlu menempuh persaingan yang sengit dan tapisan di peringkat universiti.

Tahun ini, pemberian geran UCSE adalah berdasarkan sistem merit yang mana setiap pasukan harus berentap membuktikan kekuatan, keistimewaan dan model kelestarian projek masing-masing untuk memenangi hati juri.

Sumayyah Greenpreneur adalah projek tiga komponen yang terdiri daripada penanaman salad akuaponik, penternakan ikan keli dan penanaman pokok moringa yang dijadualkan pelaksanaannya di Pusat Akar Budi UIAM, Batu 11, Gombak.

Inisiatif geran ini adalah sebuah keusahawanan sosial yang menekankan kelangsungan dan kelestarian projek serta berusaha untuk memperkasa kelompok suri rumah B40.

Pada masa yang sama, hasil produk dari kumpulan Sumayyah Greenpreneur bakal meningkatkan mutu kehidupan golongan rentan yakni kanak-kanak yang menghadapi malnutrisi dan akhir sekali penghidap diabetes.

Dana sebanyak RM40,000 yang akan diperoleh akan dicerakinkan kepada pelbagai kos dan keuntungannya sudah pasti akan digandakan untuk mendapatkan pulangan yang berbaloi.

Ketua Pegawai Pengurusan Projek, Wan Nor Asiah berkata, perniagaan akuaponik Sumayyah sudah mula dijalankan sejak Mei tahun lalu dan keuntungan bulanan sebanyak RM500 diperoleh hanya dengan menumpukan pada perniagaan salad sahaja.

"Kami bersyukur hasil usaha dan penat-lelah pasukan kami membuahkan hasil dan ternyata ia bukan satu usaha yang sia-sia.

"Betullah kata orang, 'berbudi kepada tanah, lambat-laun mendapat hasilnya' mempunyai makna yang besar kerana ia mampu memberi pulangan lumayan kepada setiap individu.

"Kami sangat optimis bahawa projek keusahawanan Sumayyah yang bermula sejak 2019 dengan projek kelulut, penanaman sayur-sayuran seperti cili, terung dan bendi serta penternakan ikan keli, bakal disebar luaskan manfaatnya kepada komuniti B40 di sekitar Gombak dengan adanya geran UCSE ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 6:30 AM