INISIATIF Kebun Nuri Nutrisi Bank Rakyat Bersama UKM yang diwakili Taman Botani Bangi dilihat sebagai misi serampang dua mata untuk membantu penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) daripada keluarga B40.
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini dilihat bukan sahaja menyediakan duit poket tambahan untuk penuntut bagi menampung kos perbelanjaan di universiti, malah melengkapkan mereka dengan ilmu pertanian yang boleh dimanfaatkan selepas menamatkan pengajian.
Menariknya, sayur sawi dan pak choy yang ditanam secara fertigasi di Kompleks Rumah Tumbuhan UKM sejak Julai lalu itu sudah boleh dituai baru-baru ini.
Dalam masa terdekat, hasil daripada jualan semua sayur ini di pasaran, 30 penuntut yang terbabit program ini akan menikmati 'gaji pertama' mereka.
Ketua Taman Botani Bangi UKM, Prof Madya Dr Noraini Talip berkata, program itu dilaksanakan dengan kerjasama Bank Rakyat membabitkan modal RM20,000 untuk membina sistem tanaman fertigasi tanpa menggunakan tanah.
"Penuntut yang terpilih daripada pelbagai bidang ini bukan sahaja dapat belajar secara teori berkenaan penanaman dan pengurusan sayur, malah mereka juga dapat turun ke lapangan untuk bertani.
"Selain itu, penuntut dapat belajar mengenai ilmu keusahawanan kerana hasil tanaman yang dituai akan dijual di pasaran. Hasil jualan diberikan kepada peserta," katanya.
Pada masa sama, melalui program ini membuktikan peranan UKM dalam menjalankan aktiviti yang menyokong beberapa sasaran pembangunan mampan (SDG) iaitu Kelaparan Sifar.
Menurutnya, sejak dilaksanakan pada Julai lalu, penuntut yang menyertai projek ini memberi komitmen yang baik dan memberi maklum balas yang positif biarpun pada tidak mempunyai ilmu asas mengenai pertanian mahupun ilmu tumbuhan.
"Alhamdulillah untuk fasa pertama, program ini berjaya menghasilkan kira-kira 11 kilogram sayur dengan kadar kematian hanya 10 peratus.
"Pada masa hadapan, kami merancang meningkatkan jumlah tanaman dan menambah tanaman salad yang mendapat permintaan tinggi di pasaran," katanya.
Peserta, Nurul Izzati Abd Samad yang ditemui melahirkan rasa teruja apabila terpilih menjadi peserta program Kebun Nuri Nutrisi.
"Melalui program ini, saya dapat belajar banyak perkara baharu mengenai pertanian yang berada di luar daripada bidang fizik yang saya pelajari di sini.
"Pada masa sama, saya dapat menjana pendapatan sendiri yang boleh dimanfaatkan untuk menampung perbelanjaan di sini," katanya.
Perkara sama diakui Siti Najihah Ramli yang memberi maklum balas positif dengan program yang dilaksanakan sejak Julai lalu itu.
"Saya seronok dapat meraih pengalaman baharu dalam bidang yang sendiri tidak terfikir akan ceburi. Perkara paling menyeronokkan adalah dapat melihat benih yang disemai dan dijaga selama sembilan bulan menjadi sayur yang segar.
"Lebih menggembirakan, sayur yang ditanam, dijual sebagai duit poket, sekali gus dapat meringankan beban keluarga. Insya-Allah, jika diberi peluang saya akan cuba tanam sayur di rumah," katanya.