ZULISKANDAR melihat rangka manusia yang ditemui di Gua Keledung Kecil.
ZULISKANDAR melihat rangka manusia yang ditemui di Gua Keledung Kecil.
Suliati Asri

Penemuan rangka manusia di Gua Keledung Kecil yang berusia 14,000 tahun pada Disember lalu oleh pasukan arkeologi yang diketuai Felo Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Dr Zuliskandar Ramli antara yang penting terutamanya berkaitan dengan arkeologi Malaysia serta kebudayaan prasejarah diKelantan khususnya dan Malaysia amnya.

Penemuan baharu ini juga menyumbang kepada fakta baharu berkenaan dengan corak pengebumian masyarakat prasejarah dan evolusi sosio-budaya masyarakat prasejarah di Lembah Nenggiri.

Dr Zuliskandar yang juga pengarah lapangan untuk kerja-kerja ekskavasi menyelamat tapak gua prasejarah di Lembah Nenggiri itu berkata, menariknya berkenaan rangka ini adalah asosiasi artifak yang berada di sekeliling rangka yang berfungsi sebagai alat bekalan kubur.

Menurutnya, didapati bahawa tapak tangan kanan si mati memegang mineral hematit manakala tapak tangan kiri memegang lutut kaki kanan.

"Di sekeliling rangka juga terdapat alat-alat batu yang dikebumikan bersama-sama dengan si mati. Alat-alat batu itu terdiri daripada batu pelandas dengan alat grind-pounding, kapak genggam dan alat repeh yang diperbuat daripada batu sabak serta kristal kuarza yang sering digunakan dalam ritual pengebumian masyarakat prasejarah.

"Berdasarkan kepada asosiasi rangka manusia dengan bahan mineral hematit, dipercayai rangka manusia yang ditemui ini adalah seorang wanita yang mempunyai status yang tinggi di mana si mati pada masa hidupnya menguruskan hal-hal berkenaan ritual yang menggunakan mineral hematit sebagai alat solek dalam aktiviti harian atau upacara pengebumian.

"Berdasarkan kepada kedudukan atau cara si mati dikebumikan pula, didapati cara pengebumian ini diamalkan oleh masyarakat prasejarah yang terawal mendiami Lembah Nenggiri sejak 14,000 tahun yang lalu," katanya.

Ekskavasi menyelamat yang dilakukan pada November sehingga Disember tahun lalu di Gua Keledung itu adalah inisiatif TNBPG Hydro Nenggiri Sdn Bhd melantik UKM Pakarunding Sdn Bhd untuk menjalankan kerja-kerja ekskavasi menyelamat di 13 tapak Prasejarah di Lembah Nenggiri yang dikenal pasti akan terkesan secara langsung akibat daripada pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri yang dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2027.

Ekskavasi menyelamat ini juga adalah langkah mitigasi yang diusahakan TNBPG Hydro Nenggiri Sdn Bhd untuk menyelamatkan artifak dan ekofak serta rangka manusia prasejarah yang ada di 13 tapak prasejarah yang sudah dikenalpasti.

Malah eskvasi menyelamat ini juga turut membabitkan pegawai-pegawai dari Jabatan Warisan Negara.

Menerusi penemuan rangka manusia ini juga, membawa kepada Kajilidikan 'Kesihatan Tulang Manusia Prasejarah Semenanjung Malaysia' yang dilaksanakan Jabatan Anatomi dan Farmakologi, Fakulti Perubatan, UKM.

Diketuai pakar Ketua Penyelidik Fakulti Perubatan dan Pakar Farmakologi, Profesor Dr Ima Nirwana Soelaiman, kaedah kajian ialah melalui teknik imbasan tulang menggunakan alat radas Dual-Energy X-ray Absorptiometer untuk menentukan ketumpatan atau kepadatan tulang.

Katanya, kajian ini juga akan menggunakan alat radas MicroComputed Tomogram untuk melihat dan mengukur struktur dalaman tulang.

"Teknik imbasan dipilih untuk mengelakkan tulang itu daripada dipotong atau dihancurkan. Adalah penting untuk memelihara keutuhan rangka itu untuk tatapan ramai di samping untuk kajian-kajian lain yang mungkin dijalankan di masa akan datang," katanya.

Langkah pertama yang dijalankan di makmal Fakulti Perubatan ialah untuk membersihkan serta menyusun semula tulang rangka ini.

Kemudian ukuran dimensi tulang-tulang rangka ini akan dilakukan.

Dr Ima Nirwana berkata, langkah itu dapat memberi gambaran mengenai saiz manusia prasejarah ini semasa hidup.

"Seterusnya imbasan akan dilakukan dan data yang diperoleh akan dianalisa dan perbandingan akan dibuat.

"Hasil dapatan kajian ini akan memberi petunjuk mengenai status kesihatan manusia prasejarah serta gaya hidup dan tahap nutrisi mereka.

"Pakar Odontologi Forensik dari Fakulti Pergigian Dr Nur Atika Md Ashar akan memfokus kepada penentuan jantina si mati dan penentuan umur ketika maut," katanya.

Selain itu, Dr Ima Nirwana berkata, kolaborasi penyelidikan yang dilakukan ini merentas disiplin di mana kesimpulan dari kajian ini boleh membantu arkeologi dan sejarawan untuk membina satu gambaran sosio-budaya masyarakat prasejarah kawasan ini.

Katanya, objektif jangka panjang ialah untuk membina satu pengkalan data mengenai indeks kesihatan tulang manusia prasejarah di Semenanjung Malaysia.

"Pangkalan data ini boleh dijadikan rujukan dan perbandingan oleh para penyelidik dalam dan luar negara.

"Ia akan dapat membantu pakar sejarah membina gambaran mengenai penempatan serta migrasi kumpulan manusia prasejarah.

"Menariknya, projek kolaborasi unik antara sains sosial dan sains perubatan oleh UKM adalah bertepatan dengan iltizam UKM dalam usaha memadankan pendekatan teknologi semasa dengan bidang budaya dan warisan bangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 6:30 AM