KUMPULAN Kebudayaan Gombak PPD Gombak raih naib johan VIII World Cup of Folklore Veliko Tarnovo di Bulgaria
KUMPULAN Kebudayaan Gombak PPD Gombak raih naib johan VIII World Cup of Folklore Veliko Tarnovo di Bulgaria
Suliati Asri


KEJAYAAN Kumpulan Kebudayaan Gombak, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Gombak mengungguli pentas dunia apabila dinobatkan sebagai naib johan VIII World Cup of Folklore Veliko Tarnovo, Bulgaria 2023 pastinya cukup membanggakan.

Mana tidaknya, pertandingan yang juga acara tahunan di Eropah dikelolakan European Association of Folklore Festivals itu disertai 152 kumpulan dari serata dunia.

Menerusi pertandingan itu, selain mendapat tempat kedua, Kumpulan Kebudayaan Gombak berjaya meraih emas dalam ketiga-tiga kategori yang disertai iaitu 'Folklore Ensembles' (campuran), 'process performance' dengan persembahan Nirmala, Folklore Dance, Authentic Folklore dengan mempersembahkan tarian Magunatip, tarian piring, tarian sewang dan Kolattam serta Folklore Dance, 'Modern Choreography' dengan persembahan tarian joget gamelan.

Antara kejayaan lain yang dicapai ialah Grand Prix Award, Diploma High Quality of Presentation dan Diploma of Participation.

Kejayaan ini sememangnya cukup membanggakan lebih-lebih lagi ia disertai murid sekolah berumur berusia sembilan hingga 17 tahun dari 11 sekolah di bawah seliaan PPD Gombak iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melati, SMK Seri Gombak, SMK Seri Keramat, Sekolah Rendah (SK) Bukit Rawang Jaya, SK Taman Melawati, SK 2 Kuala Ampang, SK Selayang Utama, SK Bandar Baru Selayang 2, SK Seri Kundang, SK Sungai Buloh dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT) Bukit Darah.

Namun, kejayaan itu juga memberi 1,001 makna kerana ia berjaya memperlihatkan kepelbagaian tarian yang ada di Malaysia di mata dunia.

PERSEMBAHAN Tarian Magunatip yang bertenaga salah satu tarian yang melayakkan Malaysia memenangi kategori Folklore Dance, Authentic Folklore.
PERSEMBAHAN Tarian Magunatip yang bertenaga salah satu tarian yang melayakkan Malaysia memenangi kategori Folklore Dance, Authentic Folklore.

Ditubuhkan pada Disember 2022, Kumpulan Kebudayaan Gombak mempertaruhkan tarian Nirmala, tarian Magunatip, tarian piring, tarian sewang, Kolattam dan tarian joget gamelan yang sememangnya mempunyai keunikan tersendiri.

Koreografer Abdul Razak Abdul Hamid berkata, tarian-tarian itu dipilih kerana ia mencerminkan kepelbagaian budaya dan keharmonian hidup di Malaysia.

Selain itu katanya, tarian-tarian terbabit juga mempunyai keunikan tersendiri sekali gus sesuai dengan fokus utama untuk mengangkat seni budaya Malaysia di persada dunia.

"Ketika sesi pemilihan tarian, kami berpendapat untuk menampilkan tarian yang mampu memperlihatkan budaya Malaysia yang berbilang kaum dan kepelbagaian budaya.

"Oleh itu, selain tarian masyarakat Melayu menerusi tarian Nirmala, tarian joget gamelan, kita juga ada tarian sewang dari suku Orang Asli, tarian Magunatip dan tarian piring dari Sabah serta Sarawak dan tarian Kolattam dari masyarakat India," katanya.

Abdul Razak yang juga guru muzik di SK Sg Buloh berkata, kostum yang digunakan ketika pertandingan itu juga cukup istimewa kerana ia tempah khas.

"Untuk tarian sewang, kostum yang digunakan adalah ditempah khas dari Orang Asli di Bera, Pahang.

"Manakala, untuk tarian Magunatip iaitu tarian kaum Murut di Sabah, kami turut tempah khas dari Sabah. Ini kerana, kostum itu diperbuat daripada kulit kayu yang memang tidak dijual di Semenanjung.

KUMPULAN tarian Tarian Sewang.
KUMPULAN tarian Tarian Sewang.

"Menerusi kostum itu, selain memperlihat dan memperkenalkan keaslian budaya itu ia turut menguatkan lagi keunikan persembahan yang menjadi tarikan di mata dunia," katanya.

Dalam setiap kejayaan yang dihadapi, pastinya ada cabaran dan kepayahan perlu dihadapi. Begitu juga dengan Kumpulan Kebudayaan Gombak ini.

Abdul Razak berkata, antara cabaran yang dihadapi adalah kekangan masa untuk menjalani latihan kerana murid dan guru terpaksa mengikuti jadual pembelajaran seperti biasa disamping menjalani latihan.

"Pertandingan diadakan sejurus selepas hari raya Aidilfitri, Jadi, cabaran kami juga adalah berlatih ketika Ramadan dan juga cuti hari raya.

"Namun, saya sering mengingatkan mereka untuk sentiasa buat yang terbaik kerana peluang mewakili negara ke persada antarabangsa bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperoleh.

"Alhamdulillah, murid sangat positif dan memberi komitmen yang terbaik dalam memastikan mereka berjaya dalam pertandingan itu," katanya.

Pertandingan seumpama ini tidak hanya memberi peserta berpeluang bersaing dengan peserta lain dari seluruh negara tetapi banyak nilai tambah diterapkan.

PESERTA bergambar kenangan dengan sijil, medal dan trofi yang dimenangi.
PESERTA bergambar kenangan dengan sijil, medal dan trofi yang dimenangi.

Bermula dari latihan sehinggalah hari pertandingan, murid didedahkan dengan nilai kerjasama dalam kumpulan yang mana mereka perlu saling membantu.

Bukan itu saja, pertandingan ini juga dapat membentuk disiplin diri dari segi pengurusan masa, jadual latihan yang ditetapkan.

Selain itu, menerusi pertandingan seumpama ini ia juga memberikan pendedahan dan peluang kepada murid untuk menjelajah keluar dari sekolah bagi sertai pertandingan.

Bagi Abdul Razak, adalah wajar murid sekolah didedahkan dengan pelbagai pertandingan sama ada dalam atau luar negara.

"Di Malaysia, menerusi pertandingan tarian ini, mereka boleh belajar budaya Malaysia dari segi tarian, kostum dan pergerakan tarian yang berlainan.

"Di pentas antarabangsa pula, persepsinya berbeza berbanding di Malaysia. Di sana, mereka dapat lihat budaya, kostum dan kepelbagaian tarian yang ada di seluruh negara.

"Dengan itu, mereka berpeluang mendapat pelbagai ilmu, mengenali kepelbagaian budaya dan melihat dunia luar," katanya.

Menerusi kejayaan ini juga, ia secara tidak langsung memperlihatkan hasil usaha gigih Kumpulan Kebudayaan Gombak terhadap persembahan tradisional bagi mendapatkan pengiktirafan antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 7:00 AM