BIDANG Pakaian Wanita yang ditawarkan juga diiktiraf sebagai Pusat Bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) pada 26 Ogos 2007.
BIDANG Pakaian Wanita yang ditawarkan juga diiktiraf sebagai Pusat Bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) pada 26 Ogos 2007.
Suliati Asri


BAGI meningkatkan kualiti modal insan luar bandar yang mampu bersaing dalam industri, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mewujudkan program pentauliahan sepenuh masa peringkat Sijil, Diploma dan Diploma Lanjutan Kemahiran yang dilaksanakan di dua pusat bertauliah iaitu di Akademi Kemahiran Kemas Seri Iskandar dan Akademi Kemahiran Kemas Gopeng, Perak.

Menerusi dua pusat bertauliah itu, AKK menawarkan dua bidang utama kemahiran KEMAS bertaraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang turut diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia iaitu bidang jahitan dan masakan.

Ia ditawarkan kepada pelatih bermula daripada Tahap 2 sehingga Tahap 4 dan seterusnya Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) Tahap 5.

Menariknya, modul Pengajaran dan Pembelajaran yang diguna pakai di Pusat-pusat Bertauliah KEMAS adalah menepati piawaian National Occupational Skills Standard (NOSS) atau Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK).

Di Akademi Kemahiran Kemas Gopeng (AKKGO), program yang ditawarkan adalah Bidang Pembuatan dan Penyediaan Makanan Tahap SKM 2 dan 3 serta Bidang Pembuatan Pakaian Lelaki juga Tahap SKM 2 dan 3.

Bagaimanapun, Bidang Masakan di AKKGO mendapat pengiktirafan sebagai Pusat Bertauliah pada 1 Julai 2010 manakala Bidang Jahitan Pakaian Lelaki pada 4 April 2011.

Manakala AKK Seri Iskandar pula, program yang ditawarkan adalah Penyelia Pembuatan Pakaian Wanita SKM Tahap

2 dan Tahap 3; Pentadbiran Fesyen dan Pakaian di peringkat Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4 serta Reka Bentuk dan Pengurusan Pengeluaran Pakaian Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) Tahap 5.

Bidang Pakaian Wanita yang ditawarkan juga diiktiraf sebagai Pusat Bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) pada 26 Ogos 2007.

Penolong Pengetua AKK Seri Iskandar Latif Anak Amit berkata bersesuaian dengan objektif penubuhannya, pihaknya mahu mewujudkan tenaga mahir dalam bidang yang ditawarkan.

Bagi mencapai hasrat itu, katanya proses pembelajaran yang diterapkan di kedua-dua AKK ini mencakupi kelas teori dan latihan amali.

"Di AKKSI, mereka tetap mengikuti kelas teori dan dalam masa yang sama kita menekankan pelatih membuat banyak projek rekaan dan sebagainya.

"Selain itu, kita juga menekankan pelatih ilmu usahawan. Dengan itu, apabila mereka sudah menamatkan pengajian, mereka mempunyai pilihan yang meluas," katanya.

Skop kerjaya pelatih AKK juga sangat banyak kerana dengan kemahiran yang diterapkan, mereka boleh memilih untuk bekerja makan gaji atau mengusahakan perniagaan sendiri.

"Bidang yang kita tawarkan mempunyai pengiktirafan dari JPK, KSM dan industri. Jadi, peluang untuk mereka bekerja dalam pelbagai sektor berkaitan sangat meluas.

"Sebagai contoh, bidang jahitan dan fesyen, pelatih boleh memilih untuk bekerja di butik atau menjahit pakaian dengan jenama sendiri.

"Manakala, untuk bidang kulinari mereka tidak hanya boleh memulakan perniagaan sendiri tetapi mampu bekerja di mana-mana," katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai program yang ditawarkan di AKK, layari www.kemas.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 6:16 AM