DELEGASI Yayasan Sarawak bergambar di ruang legar Jabatan Canselori UUM.
DELEGASI Yayasan Sarawak bergambar di ruang legar Jabatan Canselori UUM.
HM Digital

UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) bersedia menawarkan kerjasama dengan Yayasan Sarawak dalam program Mentor, Duta, Pemikir, Bijak, Mekar, Ikhlas, Emas, Kecemerlangan Pelajar dan Paksi selain daripada kerjasama yang terjalin sebelum ini.

Naib Canselor UUM Prof Dr Haim Hilman Abdullah dalam pertemuan dengan Pengarah Yayasan Sarawak yang juga Alumni UUM, Mersal Abang Rosli mempelawa mereka untuk bekerjasama dalam pelbagai aspek.

Katanya, selain daripada penajaan atau sumbangan biasiswa, pihak universiti juga bersedia menawarkan blok penginapan atau bilik yang ditaja oleh yayasan untuk kemudahan anak-anak dari negeri itu.

Sebagai tambahan pula pihak universiti juga bersedia membuka peluang dalam program Ikhlas (Institut Kajian Halatuju dan Agenda Strategik) bagi membentuk kerjasama strategik dalam aspek penyelidikan, perundingan, penerbitan, latihan dan lain-lain lagi.

"Kami juga bersedia menganjurkan program membabitkan penyertaan pelajar sekolah dari Sarawak ke kampus ini terutama ketika cuti persekolahan," katanya.

Sementara itu, Mersal Abang Rosli berasa gembira kerana bukan sahaja dapat pulang ke kampus UUM, malah diberi peluang membangunkan sektor pendidikan seperti yang disarankan Primier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

"Kami amat berbesar hati dengan tawaran yang diberikan kepada pelajar yang sedang menyambung pengajian.

"Bukan itu saja, kami juga sangat menghargai peluang diberikan kepada rakyat Sarawak sama ada pelajar atau yang sudah bekerja untuk menganjurkan program secara bersama atau juga menyambung pengajian di universiti pengurusan yang hebat ini," katanya.

Dalam kunjungan itu, pihak Yayasan Sarawak juga menyumbangkan RM10,000 bagi pelajar di sini menggunakannya untuk menjalankan aktiviti mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 6:40 AM