PERANAN pelajar bukan setakat ke kuliah sahaja tetapi perlu terbabit aktif dari semasa ke semasa untuk mendapat penempatan di dalam UA.
PERANAN pelajar bukan setakat ke kuliah sahaja tetapi perlu terbabit aktif dari semasa ke semasa untuk mendapat penempatan di dalam UA.
Suliati Asri

Isu asrama dan sewa rumah semakin mendapat perhatian dari pelbagai pihak sekali gus pelbagai langkah penyelesaian diambil.

Namun timbul persoalan adakah pelbagai isu dalam mengatasi masalah ini memudahkan atau 'memanjakan' pelajar?

Dalam konteks memudahkan pelajar, ia antara lain merujuk kepada kos sara hidup yang tinggi, pembabitan ramai pihak membolehkan pelajar mendapat rumah sewa dengan harga yang berpatutan atau isu asrama dapat ditangani segera.

Manakala konteks 'memanjakan' pula dikatakan kerana hampir semua isu pelajar menjadi perhatian ramai pihak sehinggakan membuatkan mereka semakin 'manja' dan tidak mampu berfikir secara kritis serta kreatif. Tiada usaha untuk mencari penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi.

Ini kerana ada yang mengatakan, rata-rata pelajar kini semakin 'manja' dan tidak pandai berdikari.

Dulu, walaupun tidak mendapat penempatan di asrama, pelajar boleh saja mencari rumah dan menyewa beramai-ramai. Mungkin sedikit sempit tetapi selesa untuk didiami serta sewa mampu bayar.

Tetapi pada masa sama sebenarnya tinggal di asrama satu keperluan kerana kos sara hidup sekarang adalah tinggi dan tidak seperti dahulu.

Psikologi Kanan, Pejabat Pendaftar Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, dalam mengatasi masalah ini, semua pihak perlu mencari solusi dengan melihat perspektif yang rasional tanpa membuat sebarang justifikasi serta kesimpulan awal.

Katanya, dalam isu ini, banyak faktor yang perlu diteliti bagi memberi kebaikan pada semua pihak yang terbabit.

"Memanjakan' pelajar dan kos sara hidup yang tinggi adalah dua perkara berbeza.

"Realitinya, kos sara diri diperakui semakin meningkat disebabkan faktor sosial ekonomi dan sumber pendapatan masyarakat sekitar. Maka ada yang perlu menaikkan kadar sewa atas sebab-sebab tertentu.

"Manakala terdapat juga segelintir pelajar yang dalam kategori B40 dan asnaf. Namun, bantuan kebajikan buat golongan ini sudah diambil perhatian dan bantuan diberikan," katanya.

Siti Fatimah berkata, peranan sebagai pelajar bukan setakat ke kuliah sahaja tetapi perlu terbabit aktif dari semasa ke semasa.

"Seperti yang kita tahu, jika pelajar ingin menginap di asrama atau kolej kediaman, mereka perlu perlu terbabit secara aktif dalam aktiviti yang disediakan di peringkat kampus supaya dipertimbangkan untuk kekal menginap di fasiliti yang disediakan.

Selain itu, sumber kewangan pelajar dan kadar yuran yang dikenakan juga perlu diteliti. Ini kerana ada juga universiti awam (UA) yang menawarkan yuran pengajian pada kadar sangat minimum.

"Maka pelajar perlu lebih bijak untuk menguruskan kewangan," katanya.

Mengulas mengenai 'memanjakan' pelajar, kata Siti Fatimah, istilah itu perlu dilihat dalam pelbagai perspektif.

Katanya, jika semua isu membabitkan pelajar dilihat sebagai sentimen tertentu bagi pihak yang berkenaan, maka ia perkara serius yang perlu diambil kira.

"Kita ambil contoh kes pelajar yang hanya inginkan kesenangan, mengkritik fasiliti yang disediakan, kebergantungan yang besar pada pihak universiti dan sebagainya.

"Maka, hal ini perlu difikirkan lagi. Pelajar perlu diberikan kesedaran untuk lebih bertanggungjawab atas pengurusan diri," katanya.

MENYEWA bersama rakan dapat mengeratkan hubungan setiakawan.
MENYEWA bersama rakan dapat mengeratkan hubungan setiakawan.

Bagi pemilik rumah sewa di sekitar universiti yang rata-rata sasaran penyewa adalah dalam kalangan mahasiswa, maka kadar sewa seharusnya munasabah dan sesuai dengan tahap kewangan pelajar.

Manakala pelajar juga perlu bijak bijak untuk membuat pilihan bagi kediaman yang ingin disewa supaya tidak menimbulkan kesan di kemudian hari.

Siti Fatimah berkata, mengikut kepada pengalamannya sendiri yang pernah bergelar pelajar di Australia ketika menyambung pengajian peringkat sarjana bersama suami dan anak kecil, jika diikutkan elaun yang diberikan adalah sangat kecil dan hanya cukup-cukup sahaja.

"Cabaran belajar di luar negara adalah lebih besar. Maka isunya di sini adalah jati diri dan pengurusan kewangan biarlah bersesuaian dengan keperluan asas, bukan kehendak.

"Jika semua inginkan bantuan dan kesenangan, maka adalah tidak logik untuk disantuni semuanya. Maksud saya, persediaan dan pengurusan diri perlu menjadi keutamaan," katanya.

Sementara itu, bekas Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Perlis, Muhammad Amir Harith Abdul Jalil berkata, isu sewa rumah sudah  menjadi masalah asas bagi mahasiswa yang sedang menuntut di pusat pengajian tinggi.

Katanya, ketika ekonomi tidak menentu dan inflasi yang semakin meruncing ini, masalah ini boleh dinilai menerusi dua kaca mata iaitu dari sudut mereka yang mencari penyelesaian dan juga dari sudut mahasiswa.

"Bagi pihak yang mencari langkah penyelesaian, mereka merasakan dengan pelbagai inisiatif dan usaha yang dilakukan ia akan membuatkan mahasiswa lebih 'manja' dan bergantung harap pada bantuan semata-mata sekali gus mengundang persepsi bahawa mahasiswa itu 'manja.'

"Pendapat peribadi saya, tiada masalah untuk kita membantu kerana ia adalah tugas kita sesama masyarakat untuk membantu mereka yang memerlukan.

"Kita kena sedar bahawa mahasiswa adalah mereka yang menuntut ilmu demi pembangunan negara," katanya.

MAHASISWA UKM memasak di rumah sewa mereka di Garden Homes.
MAHASISWA UKM memasak di rumah sewa mereka di Garden Homes.

Bagaimanapun, pihak tertentu yang ingin membantu tidaklah perlu terus menerus melakukan atau menyelesaikan semua masalah untuk pelajar.

"Jika membabitkan isu rumah sewa ini, pada saya sememangnya semua pihak perlu membantu supaya tidak membebankan mahasiswa.

"Tetapi apabila mahu membantu pelajar, sertakan juga langkah atau solusi untuk mereka membuat keputusan sekali gus membentuk keperibadian mereka sebelum bermasyarakat," katanya.

Dari sudut mahasiswa pula, kata Muhammad Amir Harith, masyarakat perlu tahu bahawa tidak semua pelajar yang melanjutkan pengajian itu datang dari keluarga yang mampu dan mereka belum mempunyai sumber kewangan yang tetap.

  "Sekarang, mahasiswa sangat memerlukan sokongan dan dorongan dari pelbagai pihak.

"Bantuan perlu diberikan tetapi jangan sehingga mereka tidak langsung merasa perit kesusahan. Perkara ini penting untuk membentuk keperibadian mahasiswa.

"Sistem yang sedia ada di universiti juga penting untuk terus melahirkan mahasiswa yang menyumbang kepada masyarakat. Bukan sahaja dari sudut kemahiran dan kepakaran tetapi juga dari sudut pembangunan sosial," katanya.

Muhammad Amir Harith berkata, dalam isu ini sebenarnya terdapat banyak kelebihan dan kekurangan. Siapa salah siapa betul tidak penting. Paling utama adalah untuk menyelesaikan masalah.

"Pendapat saya, pihak-pihak terbabit perlu terus membantu mahasiswa terutama isu sewa rumah kerana ini juga adalah isu yang dihadapi semua rakyat Malaysia.

"Dalam masa sama, mahasiswa juga perlu lebih berdikari untuk membentuk personaliti dan keperibadian diri sebelum ke alam lebih dewasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 7:30 AM