PROTOTAIP Mesin Pembersih Sungai UMS.
PROTOTAIP Mesin Pembersih Sungai UMS.
Suliati Asri


UNIVERSITI Malaysia Sabah (UMS) mencipta inovasi baharu dikenali sebagai Mesin Pembersih Sungai UMS bagi mengatasi masalah pencemaran sungai yang semakin membimbangkan.

Penyelidik merangkap Pengarah Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan (PPIP) UMS, Profesor Madya Dr Jidon Adrian Janaun berkata, mesin terbabit mampu mengaut sampah dan sisa buangan pepejal sehingga 60 liter atau 90 peratus sampah di sungai.

"Penghasilan prototaip mesin ini dimulakan pada 2018 dan disiapkan secara berperingkat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

"Ia dibina dengan peruntukan universiti sebanyak RM100,000," katanya.

Tidak hanya menggunakan peruntukan universiti, mesin pembersih sungai UMS ini turut mendapat sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah yang turut menyumbang dana berjumlah RM30,000.

DR Jidon
DR Jidon

Dr Jidon berkata, inovasi ini juga adalah sahutan terhadap seruan kerajaan Sabah dalam usaha memulihkan beberapa sungai tercemar di kawasan Kota Kinabalu.

"Sekiranya sungai dapat dipulihkan, ia mampu memberi ruang kepada pelbagai aktiviti, sekali gus boleh menjana ekonomi masyarakat setempat selain meningkatkan keindahan dan kebersihan alam semula jadi,

"Jika mesin itu dibina menggunakan bahan aluminium dan besi tahan karat, ia akan mampu bertahan sehingga lima tahun," katanya.

Pada ketika ini, UMS dan kerajaan negeri masih berada dalam peringkat perbincangan untuk lokasi pemasangan dan perincian pembiayaan.

Antara sungai yang dijangka menggunakan mesin ini termasuk Sungai Darau Manggatal, Sungai Petagas, Sungai Sembulan dan Sungai Putatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2022 @ 6:50 AM