MUHAMMAD Iqbal manfaatkan peluang di negara orang.
MUHAMMAD Iqbal manfaatkan peluang di negara orang.
Hajar Umira Md Zaki


PENGALAMAN melanjutkan pelajaran keluar negara bukan sahaja memberikan peluang kepada pelajar untuk menuntut ilmu akademik, bahkan juga ilmu kemahiran serta berdikari.

Perkongsian dua pelajar Malaysia yang kini menetap di United Kingdom kerana menyambung pengajian membuka ruang kepada mereka mendalami bidang pelajaran menerusi pekerjaan.

Ia termasuklah kemahiran dalam membahagikan masa dan melatih diri untuk berkomunikasi meskipun kekangan atau perbezaan bahasa dan adat.

Penuntut doktor falsafah (PhD), Nurul Abdul Samad, 36, yang kini berada di tahun dua dalam pengajian bidang penyakit kardiovaskular dan metabolik di University of Leeds, United Kingdom.

"Saya mula melakukan kerja sambilan di sebuah pusat kecantikan, kesihatan dan farmasi selepas lima bulan berada di Leeds apabila sudah selesaikan semua perkara yang berkaitan dengan pengajian saya.

"Kita kena tengok apa tujuan utama kita ke luar negara, iaitu untuk menyambung pelajaran dan bukan untuk bekerja.

"Jadi, sekiranya ada pertembungan jadual, sebagai pelajar, kita harus mendahulukan pelajaran daripada pekerjaan sambilan yang dilakukan," katanya, ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut gadis yang berasal dari Kota Damansara, Selangor ini, dia sentiasa memastikan jadualnya tersusun antara pelajaran dan kerja bagi mengelakkan berlakunya salah faham.

Kongsinya, kehidupan sebagai seorang pelajar PhD mengajarnya untuk menyusun jadual serta membuat satu laporan mingguan bagi memudahkannya mengikuti perkembangan sebelum ini untuk dilaporkan kepada penyelia.

MUHAMMAD Iqbal ketika bekerja di hotel.
MUHAMMAD Iqbal ketika bekerja di hotel.

"Selain dapat mengasah ilmu dan pengalaman, sebenarnya membuat kerja sambilan ini juga dapat melatih pelajar dalam kemahiran untuk berkomunikasi.

"Memandangkan kita merantau di negara orang tanpa keluarga, penting bagi pelajar untuk sentiasa ramah dan berkomunikasi di tempat kerja mahupun di universiti," kongsinya.

Menceritakan waktu pekerjaannya, Nurul berkata, pelajar dihadkan untuk bekerja sambilan selama 20 jam seminggu.

"Saya mengambil peluang untuk bekerja dua hari seminggu selama 12 jam dan lain-lain masa saya bahagikan untuk pelajaran dan ada masanya saya perlu menghadiri persidangan.

"Pernah sekali saya cuba tambah masa bekerja saya menjadi 18 jam. Namun, melihat kepada jadual dan tenaga saya, saya hanya mampu bertahan selama sebulan sahaja," katanya.

Sementara itu, penuntut Ijazah Sarjana Muda Inovasi dan Perusahaan, Muhammad Iqbal Abdul Halik, 25, dari Coventry University London, berkata, dia menjalankan dua pekerjaan sambilan buat masa ini, selain pada masa yang sama menguruskan perniagaan di Malaysia.

"Saya dan salah seorang rakan Malaysia yang sama-sama menuntut di Manchester menjalankan perniagaan makanan Malaysia setiap hujung minggu.

"Kami berniaga nasi kandar, nasi kak wok dan banyak lagi makanan yang susah untuk kita dapat di sini (Manchester) kerana kita sedia maklum pelajar di sini amat rindukan juadah Malaysia.

"Pada masa yang sama, saya juga ada buat kerja sambilan di sebuah hotel sebagai pelayan mengikut masa yang saya ada," katanya, ketika dihubungi baru-baru ini.

Anak bongsu daripada dua beradik ini berkata, pekerjaannya di industri perhotelan bukan sahaja dapat menambah pendapatan, namun memberinya ilmu yang berkaitan dengan pengajian dan perniagaan di Malaysia.

"Saya dapat belajar bagaimana menguruskan syarikat dan menjalankan perniagaan yang baru bertapak dalam industri.

NURUL adalah penuntut PhD dalam bidang penyakit kardiovaskular dan metabolik di University of Leeds.
NURUL adalah penuntut PhD dalam bidang penyakit kardiovaskular dan metabolik di University of Leeds.

NURUL bijak bahagi masa antara belajar dan bekerja sambilan.
NURUL bijak bahagi masa antara belajar dan bekerja sambilan.

"Bekerja sambilan di hotel ini sebagai pelayan di bawah Mesyuarat dan Program (MAE) yang juga berkaitan dengan syarikat saya di Malaysia.

"Ia sekali gus memerlukan saya untuk menggabungkan pembelajaran secara teori di universiti dan juga pengalaman bekerja di hotel," katanya.

Dia akui agak sukar pada mulanya menjalani kehidupan sebagai pelajar dan bekerja pada masa yang sama. Namun alah bisa tegal biasa.

Muhammad Iqbal yang kini berada di tahun akhir pengajiannya berkata, dia menyambung pelajaran di Manchester dengan pembiayaan sendiri dan situasi itu mendorong dirinya untuk menjana pendapatan sampingan di luar negara.

Berkongsi pembabitannya dalam kerja sambilan di industri perhotelan akuinya, dia dapat menyelami pengalaman sepertimana warga asing yang datang ke Malaysia untuk bekerja.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tidak pernah mengalami sebarang diskriminasi ke atas orang Islam sepanjang bekerja di sini.

"Bahkan, sekiranya tidak dapat bekerja kerana kelas, majikan akan bertoleransi dan menukar jadual pekerjaan dan syif untuk disesuaikan dengan waktu bekerja saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 7:00 AM