UniKL berada dalam senarai 17 IPTA, IPTS  terbaik di Malaysia.
UniKL berada dalam senarai 17 IPTA, IPTS terbaik di Malaysia.
Suliati Asri


UNIVERSITI Kuala Lumpur (UniKL) mencapai satu lagi penanda aras apabila tersenarai di dalam kelompok universiti terbaik dunia Times Higher Education (THE) untuk dua tahun berturut-turut.

UniKL berada di kedudukan 1200+ antara 1,662 universiti di seluruh dunia yang disenaraikan.

Selain UniKL, 17 universiti Malaysia lain termasuk lima institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bertaraf universiti iaitu Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) turut tersenarai.

Penyenaraian UniKL di dalam kedudukan universiti terbaik dunia THE dan QS ini membuktikan kemampuan UniKL menjadi antara universiti terbaik di negara ini.

UniKL adalah universiti teknikal keusahawanan terbesar di Malaysia yang dikelolakan Majlis Amanah Rakyat (MARA), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Ini pencapaian yang amat membanggakan memandangkan UniKL pada asalnya ditubuhkan daripada beberapa institut teknikal dan vokasional milik penuh MARA yang mengkhusus kepada pelbagai bidang teknologi mengikut keperluan industri sebelum ia digabungkan dan dinaik taraf sebagai universiti pada tahun 2002.

Selain menjadi universiti termuda Malaysia di dalam senarai itu, UniKL juga sudah membuktikan komitmennya terhadap kecemerlangan akademik dan penyelidikan di samping mengekalkan falsafah pendidikan TVET peringkat tinggi (Higher TVET) dan pembelajaran secara praktikal.

Kejayaan UniKL disenaraikan di dalam kedudukan universiti terbaik dunia ini hasil pelan transformasi WE4ASIA yang dilancarkan pada tahun 2014.

Ia turut disokong dedikasi dan usaha berterusan dari semua warga UniKL dan komunitinya. Selain sokongan dari pihak berkepentingan, khususnya KPLB dan MARA.

Ini membolehkan UniKL unggul dalam 13 penunjuk prestasi yang mengukur pencapaian di dalam empat bidang utama iaitu pengajaran, penyelidikan, pemindahan pengetahuan dan reputasi di peringkat antarabangsa.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Datuk Dr Roziah Omar berkata, UniKL kini sedang berusaha untuk meningkatkan reputasinya di peringkat antarabangsa melalui kolaborasi dengan universiti dan organisasi ternama dunia dari dalam serta luar negara selain usaha meningkatkan bilangan pelajar antarabangsa.

"Di bawah pelan strategik kami, UniKL mensasarkan untuk berada di kedudukan 600 teratas dalam senarai universiti terbaik dunia menjelang tahun 2025," katanya.

Senarai universiti terbaik dunia Times Higher Education (THE) juga memperlihatkan institusi pendidikan tinggi di Asia secara perlahan-lahan mengorak langkah mengatasi universiti barat melalui peningkatan di

dalam kedudukan mereka di peringkat global.

Ketua Sains Data di THE, David Watkins berkata, universiti yang sudah menerbitkan hasil penyelidikan sains perubatan berkaitan pandemik Covid-19 sudah melihat peningkatan yang signifikan dalam kesan petikan (citation) mereka, menurut senarai terbaru ini.

UniKL melalui Royal College of Medicine Perak (UniKL-RCMP) dan Institute of Medical Science Technology (UniKL-MESTECH) akan menerajui penyelidikan di bidang berkenaan.

Pengambilan kemasukan bagi program ijazah masih lagi dibuka dan permohonan boleh dibuat melalui www.unikl.edu.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 6:40 AM