YASMIN (dua dari kanan) beraksi dalam Temasya Pantun Budi peringkat Institut Pengajian Tinggi Malaysia. KGI adalah satu-satunya sekolah menengah yang menyertainya manakala peserta lain adalah dalam kalangan pelajar universiti seluruh negara.
YASMIN (dua dari kanan) beraksi dalam Temasya Pantun Budi peringkat Institut Pengajian Tinggi Malaysia. KGI adalah satu-satunya sekolah menengah yang menyertainya manakala peserta lain adalah dalam kalangan pelajar universiti seluruh negara.
Suliati Asri


TERTARIK dengan anatomi dan suka nama-nama 'pelik' organ dalam setiap tubuh manusia dan cara ia berfungsi sejak kecil menjadi titik tolak buat Nur Yasmin Maisarah Ahmad Mahyuddin, 18, menanam hasrat untuk menjadi doktor pakar.

Bukan itu saja, Nur Yasmin Maisarah yang lebih mesra disapa Yasmin juga mengimpikan untuk menjadi hafizah yang menghafaz al-Quran, sekali gus menjadikannya doktor pakar yang menghafaz al-Quran, kelak.

Sejak kecil Yasmin diasuh dan dididik mengenai kepentingan menuntut ilmu. Baginya ilmu dunia dan akhirat perlu seiringan untuk memahami tujuan utama kita diciptakan Allah.

Kerjaya ayahnya Ahmad Mahyuddin Mohamed, doktor pakar bedah ortopedik dan ibunya Nazatul Shahnaz Mohd Nazri, doktor pakar bius dalam Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi juga adalah pendorong untuknya memilih kerjaya doktor pakar sebagai kerjayanya kelak.

"Selain tertarik dengan anatomi dan nama-nama organ badan manusia yang unik, saya sering mendengar terma-terma kesihatan sejak kecil menguatkan lagi keinginan untuk menjadi doktor.

"Bagi mengimbangi dunia dan akhirat, dia ingin mendalami ilmu al-Quran, sekali gus menjadi hafizah," katanya yang kini mengikuti program Pensijilan Tahfiz Darul Quran Jakim dengan Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Menerusi program selama 18 bulan itu, Yasmin akan menghafaz al-Quran seterusnya menyambung pengajian dalam asasi perubatan di UIA selepas menamatkan program terbabit.

Anak sulung dari tiga adik-beradik ini bukan gadis biasa-biasa sebaliknya tergolong dalam kalangan pintar kerana mendapat tempat di Kolej GENIUS Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) di bawah Program Permata Pintar Negara selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam PT3.

YASMIN impi jadi doktor pakar yang menghafaz al-Quran.
YASMIN impi jadi doktor pakar yang menghafaz al-Quran.

Program GENIUS itu adalah program khusus membabitkan pelajar pintar dan berbakat yang memiliki IQ 130 dan ke atas.

Menurut Yasmin, di kolej dia mengambil aliran sains tulen, tambahan bahasa antarabangsa, subjek penyelidikan, hafazan al-Quran dan tadabbur.

"Kelas saya juga adalah sesi pengambilan pertama bagi pelajar tingkatan empat dan istimewanya kolej ini, subjek Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diajar pensyarah yang mempunyai kelayakan doktor falsafah atau PHD mengikut kepakaran khusus dalam bidang masing-masing.

"Terdapat juga subjek tadabbur di mana kami diberi suatu potongan ayat dari al-Quran untuk ditadabbur, dihayati dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

"Di kolej ini, pelajar juga perlu memilih satu daripada tiga pilihan bahasa antarabangsa iaitu Mandarin, Perancis dan Turki. Saya memilih untuk mempelajari bahasa Mandarin supaya memudahkan saya berinteraksi dengan masyarakat Cina," katanya.

Yasmin tidak menafikan berada dalam lingkungan atau kumpulan pelajar pintar mempunyai cabaran yang tersendiri.

Ini kerana katanya, semua pelajar dikategorikan bijaksana dan berbakat luar biasa.

YASMIN (kiri) aktif menyertai aktiviti sukan di kolej.
YASMIN (kiri) aktif menyertai aktiviti sukan di kolej.

Namun, dirinya bersyukur kerana sejak dari awal dia sudah mempersiapkan diri supaya sentiasa berfikiran positif, tenang dan berkeyakinan dalam menghadapi apa juga situasi.

"Awalnya saya sedikit takut, tetapi secara perlahan-lahan saya mula biasakan diri dan menerima persekitaran di kolej.

"Sebagai pelajar, terlalu banyak tugasan yang perlu diselesaikan serentak menyebabkan saya berasa tertekan pada mulanya, tetapi lama-kelamaan dapat menguruskannya dengan baik.

"Selain itu, saya sentiasa berbincang secara berkumpulan seandainya tidak memahami sesuatu subjek dan saling tolong-menolong dengan rakan lain dalam pelbagai hal terutama pelajaran," katanya.

Belajar dengan pelajar pintar juga memberi keunikan dan kelebihan tersendiri kerana banyak yang boleh dipelajari antara satu sama lain.

"Di kolej ini, semua pelajar mempunyai kelebihan masing-masing. Semua hebat dalam bidang berbeza.

"Ada yang lebih dalam bidang komunikasi, penyelidikan, hebat alam hafazan, inovasi, pelajaran dan banyak lagi.

MENERIMA anugerah mata pelajaran terbaik keseluruhan bagi subjek Sejarah dan Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah tahun lalu.
MENERIMA anugerah mata pelajaran terbaik keseluruhan bagi subjek Sejarah dan Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah tahun lalu.

"Jadi, apabila kita sentiasa bergaul dan belajar bersama, secara tidak langsung kami dapat saling membantu satu sama lain dan mempelajari banyak perkara baharu," katanya.

Selain menjadikan ibu dan ayahnya yang kedua-duanya doktor sebagai pendorong dalam kehidupannya, Yasmin sentiasa berpegang kepada prinsip 'melakukan yang terbaik dalam semua perkara' untuk mengejar cita-cita dan berjaya dalam pelajaran.

Katanya, dia sentiasa mahu melakukan yang terbaik dalam semua perkara termasuk pelajaran, sukan, menghafaz al-Quran, mencari ilmu, kerja dan berniaga kerana mahu ganjaran di akhirat nanti.

"Saya juga sentiasa ingat bahawa untuk berjaya dan mendapatkan semua yang diingini, memang penat dan susah. Jadi, saya akan pastikan dalam apa juga masalah yang dihadapi, kita perlu sentiasa mengingati Allah dan menjaga solat.

"Saya tahu kalau kita buatsesuatu dengan niat ingin menggembirakan ibu bapa, menggembirakan orang yang mendoakan saya, saya dapat pahala untuk di akhirat nanti. Dunia dapat akhirat pun dapat," katanya.

Ditanya mengenai petua kejayaannya mendapat 6A+ 5A dalam SPM, kongsi Yasmin dia sentiasa menjaga hubungannya dengan Allah, ibu ayah, cikgu, rakan dan diri sendiri.

"Solat dan doa jangan tinggal. Kalau kita berasa putus asa kena percaya bahawa Allah letakkan kita dalam situasi itu. Itu yang ditentukan-Nya.

KINI mula berjinak-jinak dalam perniagaan untuk mencari pengalaman.
KINI mula berjinak-jinak dalam perniagaan untuk mencari pengalaman.

"Kalau ada masalah dengan keluarga, ia akan merosakkan semangat kita untuk belajar. Dengan cikgu pula kerana keberkatan ilmu itu dan jika ada masalah dalam pelajaran, dengan hubungan baik antara guru dan murid itu, mereka boleh membantu.

"Perlu ada hubungan baik dengan rakan kerana kita mahu berjaya bersama-sama. Lagi banyak ilmu yang kita kongsi, lagi banyak yang kita dapat. Kena sentiasa tolong-menolong.

"Akhir sekali adalah menjaga hubungan dengan diri sendiri yang mana kita tidak boleh terlalu menekan diri untuk belajar. Sebagai pelajar, kita juga memerlukan rehat dan tidur yang cukup, jaga makan dan jaga diri sendiri sebaiknya.

"Petua ini mungkin kedengaran biasa, tetapi pada saya bila kita menjaga hubungan baik yang lima ini, Insya-Allah kita boleh berjaya," katanya.

Yasmin juga adalah seorang yang aktif dan terbabit dalam pelbagai aktiviti dan program luar.

Antara aktiviti dan program yang disertai termasuk Asean Science Islamic Camp 2019 bersama pelajar dari Prince of Songkhla University, Thailand dan Pesantren Terpadu Serambi Makkah, Padang Indonesia, program Global Insan Outreach 1.0 2020 ke Padang, Indonesia, Kem Kepimpinan untuk badan kepimpinan kolej (Majlis Kepimpinan Pelajar MKP, Majlis Perwakilan Kolej Kediaman MPKK, Biro Tatatertib Pelajar BTP), Hari Sukan Kolej GENIUS Insan dan Insan Junior School Certificate and AKRAB (Hari Anugerah Cemerlang KGI).

Selain itu juga Yasmin mempunyai sifat daya kepimpinan yang tinggi dan pernah menguruskan lawatan ke Padang, Indonesia anjuran Exco Kesenian dan Kebudayaan Majlis Kepimpinan Pelajar Kolej GENIUS Insan menerusi program Global Insan Outreach 1.0 ke Padang, Indonesia.

Menerusi aktiviti dan program luar yang disertainya itu, kata Yasmin, input penting dan sangat berharga yang diperolehnya adalah pengalaman.

"Kehidupan ini penuh pengalaman. Jadi, saya banyak belajar dari pengalaman sendiri. Belajar berkomunikasi, mengawal tekanan dan banyak lagi termasuk berkenalan dengan rakan baharu dari negara lain.

"Selain itu, saya juga banyak belajar mengenai kepimpinan, cara menguruskan masa dan tekanan dengan terbabit pelbagai aktiviti dan program," katanya.

Kejayaan tidak datang bergolek tanpa usaha dan pengorbanan. Justeru, Yasmin menasihati pelajar terus berusaha walaupun ada masanya mereka akan berasa putus asa.

"Kejayaan tidak akan datang secara tiba-tiba tanpa pengorbanan yang besar.

"Orang berjaya ini banyak melakukan pengorbanan dalam banyak perkara terutama masa dengan menghabiskan lebih masa dengan belajar, dekat dengan buku. Kerana itu, Allah memberikannya kejayaan. Berkat dia banyak belajar.

"Kepada adik-adik atau sesiapa saja di luar sana, kalau rasa putus asa dalam apa juga hal terutama pelajaran, tidak mengapa. Tetapi, kena bangun balik dan kejar kembali apa yang sudah tertinggal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 6:15 AM