WAJIB kekangan untuk pelajar terima pendedahan secara langsung di lapangan akibat pandemik. FOTO EFFENDY RASHID
WAJIB kekangan untuk pelajar terima pendedahan secara langsung di lapangan akibat pandemik. FOTO EFFENDY RASHID
Suliati Asri


Latihan industri adalah syarat wajib yang perlu dilaksanakan setiap pelajar bagi melengkapkan pengajian di peringkat ijazah dasar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Malah, latihan industri juga bertujuan memberi pendedahan selok-belok dunia kerjaya sebelum melangkah ke alam pekerjaan sebenar.

Namun, sejak dunia digegarkan dengan penularan pandemik Covid-19 pada awal tahun lalu, semua aktiviti latihan industri di pusat latihan terpaksa dihadkan.

Sejak April lalu, hampir semua sektor pekerjaan digalakkan bekerja dari rumah (BDR).

Kebanyakan tempat latihan industri di sektor swasta mahupun kerajaan juga tidak mengambil pelajar buat sementara waktu sehingga keadaan pulih.

Ini menyukarkan proses latihan yang perlu dilalui setiap pelajar industri. Sekiranya ada yang masih menerima pelajar, latihan tidak dijalankan seperti kebiasaan.

Kini, pelajar perlu menyesuaikan diri menjalani latihan industri dalam norma baharu.

Pelajar turut diarahkan untuk BDR sama seperti pekerja lain dengan diberikan beberapa tugasan oleh penyelia latihan industri.

Dengan BDR ini, pelajar tidak dapat merasai pengalaman berkerja secara 'on-site' walaupun kebiasaannya latihan industri memberi peluang kepada mereka mengasah kemahiran insaniah melalui prosedur dan peraturan di tempat kerja.

Profesor Madya di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Nahrizul Adib Kadri berkata, bagi pelajar kejuruteraan latihan industri mereka sudah ditetapkan Lembaga Kejuruteraan Malaysia (BEM) di mana ia dilaksanakan selama 10 minggu pada cuti semester di penghujung tahun ketiga pengajian.

Justeru, kata Dr Nahrizul Adib, tempoh pandemik ini memberikan kesan jelas kepada kualiti latihan industri yang diterima.

"Paling ketara adalah kekangan untuk pelajar menerima pendedahan secara langsung di lapangan bersama jurutera atau juruteknik yang bertanggungjawab menyelianya.

"Jika sebelum ini pelajar kejuruteraan bioperubatan contohnya, dibenarkan untuk bersama-sama jurutera bioperubatan di hospital memeriksa dan memantau semua peranti perubatan secara dekat setiap hari, namun dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), peluang ini menjadi semakin terhad.

"Selain itu, interaksi bersama staf hospital iaitu doktor, jururawat, pegawai dan staf pengurusan juga berkurangan, sedangkan hal ini antara latihan utama kepada bakal jurutera yang seharusnya mampu berkomunikasi dengan semua lapisan organisasi," katanya.

Antara hasil pembelajaran ijazah sarjana muda kejuruteraan adalah untuk menghasilkan mahasiswa yang berkemahiran melaksanakan pembelajaran sepanjang hayat selepas graduasi kelak.

Menurut Dr Nahrizul Adib, kemahiran ini selalunya diterapkan dalam latihan industri melalui perkongsian dari pihak pengurusan syarikat mengenai konsep dan skop perniagaan mereka kepada pelajar.

"Pelajar juga didedahkan secara dekat dengan pengoperasian syarikat. Dengan pemahaman mengenai produk atau perkhidmatan dihasilkan syarikat, pelajar juga akan lebih menghargai ilmu yang dipelajari di bilik kuliah kerana melihatnya sendiri secara praktikal," katanya.

Dr Nahrizul Adib berkata, walaupun kelihatan seolah-olah tempoh pandemik ini menghalang persiapan mahasiswa untuk pasaran kerja kelak, namun kita tidak boleh lupa bahawa pasaran kerja juga mengalami perubahan ketika ini.

"Laporan World Economic Forum pada 2016 sudah pun membayangkan pengurangan keperluan tenaga kerja dalam beberapa sektor perkhidmatan.

"Laporannya pada tahun lalu menguatkan andaian ini dengan bukti penurunan permintaan untuk tenaga kerja dalam beberapa sektor dan kenaikan permintaan untuk penyelesaian automasi dan robotik.

"Laporan itu turut menyenaraikan beberapa kemahiran tambahan untuk tenaga kerja masa hadapan, termasuk sifat kreatif, ketangkasan mengubah suai diri dengan situasi dan kemahiran empati.

"Melalui pendedahan cara kerja norma baharu ketika pandemik ini, saya percaya mahasiswa yang sedang mengikuti latihan industri sekarang ini sebenarnya mempunyai kelebihan dari aspek persediaan diri untuk bekerja di dunia pasca pandemik kelak," katanya.

Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Politeknik Nilai, Negeri Sembilan, Azizul Azrin Mahmor berkata, pandemik Covid-19 di negara ini mengakibatkan banyak syarikat gulung tikar kerana tidak lagi mampu meneruskan operasi disebabkan masalah kewangan.

Menurutnya, hal ini sedikit sebanyak menjejaskan proses pembelajaran di politeknik terutama sesi latihan industri yang wajib diselesaikan pelajar semester akhir sebelum menamatkan pengajian.

DR Hasmahzaiti
DR Hasmahzaiti

"Pelajar yang mencari penempatan mengakui amat sukar untuk mendapatkan tempat latihan yang bersesuaian dan kebanyakan syarikat kurang berminat menawarkan tempat latihan atas asbab masalah untuk beroperasi secara total.

"Perkara ini menyebabkan pelajar tidak mempunyai banyak pilihan dan ada juga pelajar yang gagal mencari tempat latihan sehingga tarikh akhir ditetapkan oleh institusi," katanya.

Di politeknik, pelaksanaan sesi latihan industri norma baharu dirancang perjalanannya dalam tiga fasa berbeza.

Ia dilakukan bagi membolehkan pengurusan yang lebih sistematik dalam menjalankan semua proses latihan industri, termasuk sesi pemantauan dan penilaian oleh pensyarah.

Kerisauan mengenai pelajar dijangkiti Covid-19 juga amat tinggi dan perkara ini dipandang serius.

LATIHAN industri di lapangan mendedahkan pelajar dengan dunia pekerjaan sebenar (gambar hiasan).
LATIHAN industri di lapangan mendedahkan pelajar dengan dunia pekerjaan sebenar (gambar hiasan).

Di samping keperluan untuk memenuhi kehendak badan persijilan bagi mendapatkan akreditasi program yang dijalankan, kebajikan pelajar juga perlu dititikberatkan dalam usaha semua pihak membendung rantaian jangkitan pandemik ini dari terus berpanjangan.

Justeru, bagi menangani masalah ini, kata Azizul Azrin, pihak politeknik melaksanakan pelbagai program kesedaran berkaitan keselamatan dan kesihatan dalam kalangan pelajar khususnya yang akan menjalani latihan industri.

DR Nahrizul
DR Nahrizul

"Bagi pelajar yang akan menjalankan latihan industri, mereka diberikan taklimat khas berkaitan SOP terkini dan dibekalkan mengenai kesedaran menjaga kebersihan dan keselamatan diri di tempat kerja.

"Pelajar juga dinasihat untuk mendapatkan imunisasi vaksin Covid-19 dan pihak politeknik sendiri ada menyediakan platform khas data pelajar yang sudah divaksin bagi persediaan sekiranya dibenarkan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka," katanya.

Pensyarah Kanan Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, UM, Dr Hasmahzaiti Omar berkata, walaupun terpaksa melakukan pekerjaan dari rumah, hal ini juga ada kebaikannya.

Menurutnya, pelajar berpeluang untuk bekerja dengan syarikat yang berbeza kerana tidak dibatasi lokasi pekerjaan itu.

"Ini membolehkan mereka bekerja di syarikat tempatan atau antarabangsa dari rumah sendiri.

"Kajian dari laman web pencarian pekerjaan, FlexJobs pada tahun lalu, membuktikan bahawa lebih daripada separuh responden mereka mengatakan bahawa bekerja dari rumah adalah lebih produktif," katanya.

NUR Syazwani
NUR Syazwani

Dengan kes jangkitan yang semakin meningkat ini, kata Dr Hasmahzaiti, kita perlu membantu kerajaan untuk terus berada di rumah bagi mengurangkan kes jangkitan.

"Pelajar perlu rasa bersyukur dan menghargai situasi pandemik ini dengan mendekatkan diri bersama ahli keluarga di samping menjalankan latihan industri di rumah.

"Walaupun dahulunya dilaksanakan secara normal, namun banyak manfaatnya kepada pelajar. Amanah ini tetap perlu dilaksanakan secara ikhlas dan dan positif bak kata ungkapan 'alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan'," katanya.

Sementara itu, pelajar jurusan ekologi dan biodiversiti UM, Vijendrakumar Supparamaniam mengakui sedikit terkesan dengan keadaan semasa dan melaksanakan latihan industri secara maya terutama selepas menamatkan pengajian nanti.

Ini kerana menurutnya, kekurangan pengalaman dan kemahiran interpersonal akan menyebabkan wujudnya dinamik tempat kerja yang sangat berbeza berbanding pelajar industri yang mempunyai pengalaman di tempat kerja.

"Namun, apa pun masalah yang berlaku, latihan industri tetap perlu diteruskan," katanya.

Menurut Vijendrakumar yang menjalani latihan industri di Muzium Zoologi UM, cabaran yang dilalui pelajar perlu ditangani sendiri sebaik mungkin dan mengambil keadaan semasa ini secara positif.

"Antara langkah yang boleh dilaksanakan adalah dengan merancang pertemuan bersama penyelia industri dalam talian secara berjadual bagi melaporkan hasil capaian setiap tugasan yang diberikan.

"Ini dapat memberi keyakinan dan pemahaman kepada pelajar mengenai tugasan yang perlu disiapkan mengikut masa perancangan dan berjalan dengan lancar.

"Melalui cara ini juga, kemahiran sosial dapat diterapkan dalam diri pelajar walaupun penyeliaan dilakukan secara jarak jauh. Interaksi antara pelajar dan penyelia adalah penting untuk memastikan kualiti pekerjaan mencapai merit," katanya.

Tidak ketinggalan, pelajar tahun tiga jurusan sains komputer UM, Nur Syazwani Mohamad Johari yang mengakui dirinya sangat teruja untuk melaksanakan latihan industri kerana berjaya mendapatkan tempat di syarikat antarabangsa, Nestle.

Dia pada mulanya terkilan kerana tidak berpeluang menjejakkan kaki ke lokasi syarikat disebabkan pelaksanaan PKP.

"Kini apabila sudah terbiasa dengan rutin BDR, saya sentiasa bersedia untuk menyiapkan tugasan yang diberi penyelia, biarpun hanya dari paparan skrin komputer riba.

"Berkat sokongan dari pelatih yang lain, rakan sepasukan, penyelia dan staf pengurusan, saya tetap menerima pendedahan latihan industri yang serupa seolah-olah berada di syarikat sebenar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 7:01 AM