MOHD Khairuddin ketika menyampaikan ucapan.
MOHD Khairuddin ketika menyampaikan ucapan.
MAJLIS pelancaran Selangor Youth Skills 2021.
MAJLIS pelancaran Selangor Youth Skills 2021.
Suliati Asri


MENGAMBIL serius usaha membangunkan kemahiran, inovasi dan kreativiti belia, Kerajaan Negeri Selangor mewujudkan Program Selangor Youth Skills 2021 (SYS).

Program SYS yang kali pertama diadakan itu mengambil ilham dari WorldSkills Competition dan dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Negeri, Mohd Khairuddin Othman berkata, penganjuran SYS ini juga mendapat usaha sama dari pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi (IPT) seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Selangor (Unisel) dan Multimedia University (MMU).

"Menerusi SYS ini, 10 jenis kemahiran dipertandingkan meliputi Shortfilm & Video, Architectural Technology, Hackathon, Song Composition, Furniture Making, Graphic Technology, Animation Creation, Fashion Technology, Terrarium Design dan Social Media Marketing yang bertemakan 'Future Innovation In Sports'.

"Hadiah terkumpul pertandingan SYS melebihi RM 100,000 dan akan diadili nama-nama besar dalam bidangnya seperti pengarah filem Ghazali Abu Bakar, komposer muzik DJ Fuzz dan Chang Yi Hern dari sektor hackathon," katanya dalam satu kenyataan media.

Bertitik tolak dari penganjuran SYS itu, Mohd Khairuddin berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan Hab Inovasi Sukan Selangor di bawah MSNS sebagai langkah menambah baik program sains sukan sedia ada dan bertujuan meningkatkan tahap inovasi atlet Selangor.

"Dengan usaha ini, ia menjadikan Selangor peneraju inovasi sukan masa hadapan.

"Justeru, kerajaan negeri menjemput semua pihak yang berminat termasuk IPT untuk merealisasikan tujuan ini,"

katanya.

"Kerajaan negeri juga yakin, penganjuran SYS ini langkah awal melonjak potensi belia supaya dapat menyumbang balik produktiviti mereka kepada negeri khususnya mencapai tujuan membangun teknologi dan inovasi sukan di Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 6:40 AM