Roselan Ab Malek


PENGORBANAN Guru!

Demi memastikan murid yang tinggal di pedalaman berupaya mengikuti proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan jayanya hingga sanggup menyewa dan berani menongkah arus sungai.

Itulah pengorbanan dan ikhtiar yang dilakukan guru besar bersama guru lain dari Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang dalam menghantar bahan bercetak kepada murid Orang Asli di Kampung Sungai Kucing, Ulu Tembeling.

Inisiatif itu juga diambil atas sikap prihatin dan rasa tanggungjawab mereka sebagai pendidik.

Murid Orang Asli sekolah berkenaan yang semuanya tinggal di perkampungan itu hanya boleh dihubungkan dengan laluan sungai kerana tiada jalan darat. Guru-guru pula di sini terpaksa menaiki bot untuk menghantar modul PdPR ke rumah mereka.

Guru besar sekolah itu, Abd Manaf Mat berkata, SK Ulu Tembeling yang terletak di pedalaman Ulu Tembeling di Kampung Bantal mempunyai seramai 17 guru dan 91 murid termasuk 20 murid Orang Asli tahun satu hingga enam daripada etnik Semaq Beri.

Menurutnya, bahan bercetak itu terdiri daripada mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam dihantar ke perkampungan Orang Asli itu yang mengambil masa kira-kira 30 minit perjalanan bot.

"Dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka wajar diberi perhatian khususnya pelajaran supaya tidak terus ketinggalan.

"Justeru, kami menghantar modul bercetak ini. Bagi murid lain yang tinggal berhampiran kawasan sekolah, ibu bapa boleh mengambil sendiri modul PdPR untuk anak mereka di sekolah," katanya.

Abdul Manaf berkata, tugas menghantar bahan bercetak berkenaan bukan mudah dan mencabar.

GURU terpaksa menyewa bot untuk sampai ke kampung Orang Asli Sungai Kucing.
GURU terpaksa menyewa bot untuk sampai ke kampung Orang Asli Sungai Kucing.

"Untuk menghantar modul PdPR ini, kami terpaksa menaiki bot mengharungi arus Sungai Tembeling yang deras dan paras air yang naik jika hujan lebat di hulu sungai.

"Kami menyewa bot penambang dengan bayaran sebanyak RM70 untuk setiap kali menghantar bahan bercetak pada setiap Isnin, mengambil semula bahan pada awal minggu berikutnya selain diganti setiap minggu," katanya.

Guru Matematik tahun enam, Marliyana Mohd Norrollah berkata, misi guru SK Ulu Tembeling menghantar modul PdPR kepada murid di Kampung Orang Asli Sungai Kucing, adalah satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.

MASYARAKAT Orang Asli terus didekati.
MASYARAKAT Orang Asli terus didekati.

"Dalam masa yang sama juga kami guru dapat berkenalan dengan ibu bapa dengan lebih dekat serta berbincang mengenai pelajaran anak mereka," katanya.

Sementara itu, guru Pendidikan Islam, Fauzan Md Thahib pula berkata, tugas menghantar bahan bercetak berupa lembaran kerja sekolah pernah dilakukan pada awal tahun ini ketika PKP untuk memastikan murid Orang Asli menerima pelajaran seperti rakan mereka yang tinggal berdekatan sekolah.

"Walaupun untuk sampai ke kampung itu hanya dengan menaiki bot, namun kami berpuas hati kerana sudah melaksanakan kewajipan memberikan pelajaran kepada murid di samping memanfaatkan waktu belajar di rumah.

"Kebanyakan penduduk etnik minoriti Kampung Orang Asli Sungai Kucing di sini, beragama Islam. Jadi, bahan bercetak mata pelajaran Pendidikan Islam turut dihantar untuk memantapkan akidah dan iman di peringkat kanak-kanak," katanya.

MURID ini tidak segan bertanya kepada gurunya.
MURID ini tidak segan bertanya kepada gurunya.

Murid tahun enam, Farhana Jani, menyifatkan kehadiran guru ke kampung mereka cukup bermakna kerana dia dapat memperoleh pengetahuan sepanjang tempoh 'bercuti' akibat penularan Covid-19.

"Bakti dan jasa guru SK Ulu Tembeling amat besar bagi saya dan rakan di kampung ini kerana mereka bersusah payah merentasi sungai dengan bot semata-mata untuk memberikan ilmu kepada kami.

"Saya tidak sabar untuk kembali ke sekolah dan selesa berada di dalam kelas bersama rakan dalam kalangan orang Melayu sambil berharap pandemik Covid-19 cepat hilang," katanya.

Sementara itu, penjaga murid, Hilmi Sayong berkata, dia sangat berterima kasih di atas kesanggupan guru menghantar bahan bercetak berkenaan sekali gus dapat membantu murid di kampung itu belajar.

"Usaha yang diambil guru SK Ulu Tembeling amat kami hargai. Menerusi bahan bercetak itu, anak-anak di kampung ini dapat memenuhi masa cuti disebabkan PKP dengan belajar di rumah.

"Saya juga berharap ancaman pandemik Covid-19 segera hilang supaya kanak-kanak dapat kembali semula ke sekolah dan menjalankan pembelajaran secara bersemuka dengan guru di kelas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 12:00 AM