GRADUAN bersifat global dapat membuka ruang pekerjaan lebih luas kepada mahasiswa.
GRADUAN bersifat global dapat membuka ruang pekerjaan lebih luas kepada mahasiswa.
Suliati Asri


DALAM keadaan ekonomi yang sangat mencabar ini, kebergantungan pada pasaran kerja tempatan sahaja sudah tidak memadai.

Justeru, bagi meningkatkan kadar kebolehpasaran dalam kalangan graduan tempatan, institusi pengajian tinggi (IPT) disaran melahirkan graduan bersifat global.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, IPT perlu memastikan graduan tempatan berupaya menembusi pasaran kerja antarabangsa.

Justeru pihak IPT perlu memikirkan alternatif dengan melahirkan graduan yang bersifat global.

"Dalam usaha ini, graduan perlu mempunyai ciri-ciri atau

'pakej' tertentu supaya diterima majikan sama ada dari syarikat multinasional di Malaysia mahupun yang berpangkalan di luar negara.

"Antara ciri-ciri itu termasuk mempunyai daya pemikiran kritis, berkarakter global, sifat kepemimpinan tinggi, boleh bekerja dalam satu pasukan serta nilai tambah dalam aspek kemahiran insaniah," katanya mengulas bagaimana IPT boleh meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan tempatan yang kini pada 84.4 peratus menerusi saranan inisiatif melahirkan graduan global.

Mengulas lanjut, Dr Mohammad Shatar berkata, penguasaan bahasa asing dan kompetensi silang budaya menjadi elemen penting dalam melahirkan graduan global kerana kemahiran itu sangat diperlukan lebih-lebih lagi apabila graduan ingin bekerja di luar negara.

Ketika ini, katanya, segulung ijazah semata-mata tidak menjanjikan graduan berupaya mendapat peluang pekerjaan kerana secara umumnya dalam kalangan masyarakat kini mempunyai kelayakan akademik yang baik.

"Jadi, nilai tambah graduan berbentuk kemahiran alternatif amat diperlukan dan penguasaan bahasa asing ialah sesuatu yang wajar diberi pertimbangan.

"Semua usaha itu bukan sekadar membantu Kementerian Pengajian Tinggi dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan, malah mempersiapkan golongan itu ke arah bidang kerjaya yang lebih terbuka dan cerah.

"Jadi, graduan tidak perlu tertumpu pada pasaran tempatan sahaja untuk memperoleh peluang pekerjaan kerana kini dunia bersifat tanpa sempadan," tambahnya.

PROGRAM silang budaya dan pertukaran pelajar bersifat antarabangsa memberi keyakinan kepada mahasiswa berinteraksi selain memberikan kefahaman budaya antarabangsa yang jauh berbeza.
PROGRAM silang budaya dan pertukaran pelajar bersifat antarabangsa memberi keyakinan kepada mahasiswa berinteraksi selain memberikan kefahaman budaya antarabangsa yang jauh berbeza.

Saranan pihak MQA itu disambut baik Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff kerana ia dapat membuka ruang pekerjaan yang lebih luas kepada graduan di Malaysia.

Menurutnya, sebelum ini IPT hanya tertumpu dalam bidang pekerjaan di dalam negara, namun kini selaras dengan teknologi RI-4 iaitu RI-4.0 termasuk kemudahan internet dan banyak lagi, maka ia boleh mendorong graduan ke pasaran antarabangsa. Namun, graduan perlu berani.

"Dalam keadaan dunia yang tidak menentu ini, masa hadapan adalah satu saat yang mencabar kepada semua pihak dalam keadaan dunia yang tidak menentu.

"Namun, saya percaya dengan kemahiran dimiliki graduan di negara ini, Insya-Allah mereka boleh cemerlang di peringkat antarabangsa," katanya.

Ditanya mengenai perkara yang benar-benar diperlukan mahasiswa dalam meningkatkan kebolehpasaran dan mempersiapkan diri ke arah bidang kerjaya yang lebih terbuka dan cerah, kata Dr Md Amin mudah, pertama sekali graduan perlu melihat isu ini sebagai peluang bukan menyalahkan keadaan dan situasi semasa semata-mata.

Menurutnya, masa hadapan adalah satu saat yang mencabar kepada semua pihak dalam keadaan dunia yang tidak menentu.

"Graduan perlu mencari serta memanfaatkan ruang dan peluang yang ada yang pastinya akan menjadi mereka benar-benar orang berjaya.

"Keduanya, graduan perlu memiliki semangat ingin mencuba sesuatu yang baharu dan berani dalam mencari peluang terkini," katanya.

MAHASISWA tidak perlu terikat kepada kelas, kuliah atau bilangan jam kredit sebaliknya perlu menceburi pelbagai bidang.
MAHASISWA tidak perlu terikat kepada kelas, kuliah atau bilangan jam kredit sebaliknya perlu menceburi pelbagai bidang.

Kewujudan Grab, FoodPanda, AirBNB, Booking.com dan banyak lagi aplikasi adalah daripada idea baharu yang sebelum ini tidak siapa pernah terfikir.

Justeru kata Dr Md Amin, graduan juga perlu berani turun ke gelanggang dan menimba banyak pengalaman dalam apa juga bidang.

"Hari ini, keadaan dunia berubah dengan sangat pantas tidak semestinya bidang yang dipelajari mahasiswa menjadi pekerjaan mereka pada masa hadapan.

"Jadi, graduan mesti berusaha mendapatkan seberapa banyak kemahiran yang diperlukan dan sentiasa berfikiran positif. Mahasiswa juga perlu berupaya menyelesaikan masalah serta bekerja sebagai satu pasukan," katanya.

Mengulas mengenai bentuk kemahiran alternatif bagaimana yang diperlukan mahasiswa untuk memenuhi permintaan pasaran global kata Dr Md Amin, program silang budaya dan pertukaran pelajar bersifat antarabangsa antara salah satu alternatif.

"Kaedah ini akan memberi keyakinan untuk mereka berinteraksi selain memberikan kefahaman budaya antarabangsa yang jauh berbeza.

"Selain itu, program seumpama ini dapat membuka minda mahasiswa bahawa terdapat kepelbagaian dan keunikan yang ada di seluruh dunia," katanya.

"Mereka juga boleh mengembara keluar negara ataupun mencari ruang dan peluang pekerjaan di luar negara.

"Mereka perlu memiliki kemahiran antarabangsa seterusnya membolehkan mereka berdaya saing selaras dengan pelajar peringkat antarabangsa," tambahnya.

Dengan pandemik Covid-19 ini, graduan terhad dalam melakukan pelbagai aktiviti.

GRADUAN perlu mencari serta memanfaatkan ruang
GRADUAN perlu mencari serta memanfaatkan ruang

Bagaimanapun, untuk terus mempunyai daya pemikiran kritis, berkarektor global, sifat kepemimpinan tinggi, boleh bekerja dalam satu pasukan serta nilai tambah dalam aspek kemahiran insaniah, mahasiswa perlu mencebur diri dalam pelbagai aktiviti di kampus.

Dr Md Amin berkata, graduan yang menuntut di IPT tidak boleh hanya bergantung kepada kelas, kuliah ataupun buku teks semata-mata.

"Selain aktif pelbagai aktiviti, mahasiswa juga perlu turun bersama masyarakat. Mereka juga boleh menceburi dunia perniagaan walaupun ketika masih belajar.

"Ini kerana semua pengalaman ini sama ada mereka berjaya atau gagal adalah satu ruang pembelajaran dalam kehidupan yang akan menjadikan mereka sebagai orang yang tidak mudah menyerah kalah serta sentiasa berusaha ke arah kebaikan," katanya.

Dr Md Amin juga mencadangkan supaya mahasiswa tidak hanya terikat kepada kelas, kuliah atau bilangan jam kredit sahaja sebaliknya menceburi pelbagai bidang sama ada sukan, persatuan, debat, kemahiran bahasa, kesukarelawanan mahupun keusahawanan.

"Peluang yang diperoleh ketika masih dalam pengajian inilah yang akan menjadikan mereka berbeza.

"Penguasaan bahasa antarabangsa juga membolehkan mahasiswa meneroka pasaran antarabangsa," katanya.

Antara bahasa yang penting dan paling ramai penggunanya serta mendominasi dunia ialah bahasa Inggeris dan bahasa Cina.

Bahasa Arab juga sangat bagus untuk dikuasai kerana ia membuka banyak peluang pekerjaan di negara timur tengah.

Jika diperhatikan, menurut Dr Md Amin, rakyat di negara Asia Tenggara antara yang banyak mengembara dan bekerja di luar negara.

Ini kerana 'sense of survival' mereka sangat tinggi dan percaya bahawa mereka dapat menimba ilmu yang banyak.

"Kalau dilihat, antara perkara yang menghalang graduan Malaysia untuk ke peringkat antarabangsa ialah penguasaan bahasa antarabangsa, budaya hidup atau mungkin disebabkan makanan serta kekeluargaan.

"Oleh itu, graduan perlu tahu sebenarnya di luar negara terdapat ramai rakyat negara ini yang bekerja di sana.

"Mereka ini sangat bangga dengan Malaysia dan sentiasa menyumbang semula kepada negara," katanya.

"Jadi, ini boleh diteruskan. Oleh itu, saya menyeru kepada graduan walau di mana mereka berada, perlu senantiasa ingat dan menyumbang kepada Malaysia tercinta.

"Ingat, hijrah anda adalah satu jihad ke arah perkembangan negara Malaysia yang tercinta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 7:01 AM