SEBAGAI tanda kenangan pada majlis perasmian Sultan Idris Training College (SITC), penduduk Tanjong Malim yang diwakili Penghulu Tanjong Malim, Eusope Ahmad menghadiahkan sebuah meriam kepada SITC.
SEBAGAI tanda kenangan pada majlis perasmian Sultan Idris Training College (SITC), penduduk Tanjong Malim yang diwakili Penghulu Tanjong Malim, Eusope Ahmad menghadiahkan sebuah meriam kepada SITC.
Ihsan Noorzali


ARTIFAK yang tersimpan di sesebuah muzium atau galeri mempunyai nilai seni dan sejarah yang bermanfaat untuk tatapan generasi sekarang dan akan datang.

Mungkin bagi sesetengah orang persis tiada nilai, namun bagi pencinta artifak, ia sangat berharga untuk dikaji dan diteliti latar belakangnya.

Mengambil iktibar daripada isu itu, Muzium Pendidikan Nasional (MPN), Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) dengan kerjasama Persatuan Sahabat Muzium Pendidikan Nasional (Pesamu) mengadakan siri webinar dengan tajuk permulaannya menyentuh isu yang bertajuk Barang Antik, Bernilai Ke?

Rakaman webinar yang ditonton sehingga lebih daripada 2,000 tontonan itu membuktikan masih ramai generasi hari ini menganggap barang lama atau artifak mempunyai nilai tersendiri.

Pengarah Muzium Pendidikan Nasional (MPN), Profesor Dr Tajul Shuhaizam Said berkata, sebagai sebuah Muzium Pendidikan yang pertama dan terulung di rantau ini, pihak MPN dan universiti amat mengalu-alukan kunjungan semua lapisan masyarakat.

"Kami juga sangat menggalakkan aktiviti berkaitan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan dilaksanakan di muzium itu.

KALAM batu yang pernah digunakan di sekolah sekitar 1940 hingga 1950-an.
KALAM batu yang pernah digunakan di sekolah sekitar 1940 hingga 1950-an.

"Ini selaras hasrat MPN untuk menjadikan muzium sebagai wadah pembelajaran dengan memaksimumkan barang artifak sebagai alat pembelajaran yang merangkumi semua bidang membabitkan aspek sejarah, sains sosial, sains dan teknologi," katanya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff yang turut mengikuti webinar berkenaan, menasihatkan semua mahasiswa mengenai pentingnya generasi kini memahami sejarah dan budaya supaya ia menjadi sebagai satu azimat jati diri dan pedoman bakal pendidik.

"Walaupun hidup dalam zaman digital yang serba pantas berasaskan teknologi yang memudahkan semua perkara dalam kehidupan, namun aspek sejarah menjadi asas perlu difahami dan dihayati sebaiknya," katanya.

Sementara itu, Kurator MPN Muhammad Zu Shimalain Azizul berkata, barangan lama boleh menjadi sangat berharga sekiranya ia memiliki kepentingan dan nilai dalam aspek sejarah, seni, sentimental, sosial serta negara.

Menurutnya, barangan lama yang berharga juga boleh dikategorikan kepada empat kategori iaitu antikuiti, antik, vintaj dan retro.

"Barangan yang diklasifikasikan sebagai antikuiti, adalah barangan atau objek yang wujud ketika era peradaban awal atau zaman silam (Ancient Civilization) yang dikenali sebagai barang atau objek purba.

"Sementara barangan antik pula menurut istilah perdagangan barang antik yang diguna pakai di Amerika Syarikat dan Kanada adalah barangan yang berusia sekurang-kurangnya 100 tahun.

GADING Gajah era SITC (1923) yang berasal daripada seekor gajah liar yang dikatakan mengamuk dan membuat kerosakan lalu ditembak mati pada 23 Mac 1923 di belakang kawasan SITC (kini Upsi).
GADING Gajah era SITC (1923) yang berasal daripada seekor gajah liar yang dikatakan mengamuk dan membuat kerosakan lalu ditembak mati pada 23 Mac 1923 di belakang kawasan SITC (kini Upsi).

"Bagi kategori vintaj dan retro pula masing-masing mewakili barangan, objek atau fesyen bagi satu tempoh tertentu. Sebagai contoh vintaj merujuk kepada barangan, objek atau fesyen dari 1900 hingga 1960, manakala retro pula merujuk kepada nostalgia sekitar 1960 hingga 1990-an," katanya.

"Adalah sangat perlu diwujudkan satu perspektif baharu bagi barangan antik dan objek bersejarah dalam kalangan bakal generasi pendidik bagi memastikan lahirnya pendidik yang memiliki kesedaran dan kecintaan terhadap kepentingan memelihara khazanah dan warisan sejarah negara.

"Generasi pendidik kini juga boleh menjalankan sesi pembelajaran dan pengajaran dalam muzium seperti mana yang diamalkan di negara maju bagi mencipta kelainan selain meningkatkan penghayatan ilmu dalam kalangan pelajar," tambahnya.

MPN sehingga kini memiliki 3,853 koleksi kekal, artifak dan barangan antik yang unik dan menarik termasuk meriam lama yang berusia hampir 154 tahun yang masih berada dalam keadaan baik dan dipamerkan di ruang pameran MPN.

Malah, MPN sentiasa mengalu-alukan semua pihak untuk menderma sebarang koleksi dan barang antik yang berkaitan sejarah pendidikan negara kepada muzium ini kerana pihak penderma mendapat banyak manfaat seperti manfaat pelepasan cukai, khidmat penyimpanan, penjagaan dan pameran koleksi secara percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 6:20 AM