SYAMSUL Amry melakukan salah satu proses pembuatan gear.
SYAMSUL Amry melakukan salah satu proses pembuatan gear.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


PENDIDIKAN dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) antara bidang penting untuk memajukan sesebuah negara. Ini kerana untuk menjadi negara maju, kita perlu melahirkan pencipta bukan melahirkan pengguna.

Justeru, atas kesedaran itu, Syamsyul Amry Ikhyar, 43, nekad meninggalkan jawatan tinggi yang disandang dan bermula dari bawah dengan membuka syarikat pembuatan sendiri dalam bidang teknologi gear, Crescent Gear Solution Sdn Bhd.

Siapa sangka, berbekalkan ilmu yang diperoleh ketika belajar di vokasional dan politeknik serta pengalaman bekerja, kini Syamsyul Amry berjaya menjadikan syarikatnya sebagai salah satu syarikat bumiputera yang menerajui bidang pembuatan dalam teknologi gear di negara ini.

Lebih membanggakan, seramai 30 kakitangannya adalah bumiputera dan kebanyakannya pelajar dalam bidang kemahiran, TVET.

Menurut Syamsyul Amry, di Malaysia, teknologi gear ini tidak meluas. Tidak banyak syarikat atau pakar dalam bidang ini dan peluang untuk berkembang itu sangat meluas.

"Salah satu sebab mengapa saya meninggalkan pekerjaan saya dan bermula dari bawah kerana mahu bantu ramai pelajar dalam teknologi ini untuk dikembangkan dan memberi peluang kepada pelajar TVET.

SYAMSYUL Amry (dua dari kiri) bergambar kenangan dengan rakan kerjasamanya di Korea Selatan.
SYAMSYUL Amry (dua dari kiri) bergambar kenangan dengan rakan kerjasamanya di Korea Selatan.

"Ilmu dan kemahiran dalam bidang ini juga boleh diguna pakai di semua industri. Jadi, saya mahu lebih ramai pelajar TVET menceburi bidang ini kerana potensinya tinggi selain mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran kerja," katanya.

Mengulas mengenai TVET, kata Syamsyul Amry, dirinya banyak bekerjasama dengan syarikat pembuatan di Korea Selatan dan mereka sentiasa mengingatkannya bahawa 'apabila kita pandai kemahiran, satu dunia akan cari kita.'

Justeru, katanya dengan TVET ini, ia sedikitpun tidak merugikan kerana kemahiran yang diperoleh itu bukan saja boleh dikembang luaskan tetapi sentiasa mempunyai permintaan dalam pasaran kerja.

SYAMSYUL Amry
SYAMSYUL Amry

"Kemahiran TVET ini membolehkan seseorang itu menonjolkan atau mengetengahkan diri. Menerusi kemahiran yang ada juga, seseorang itu dapat memajukan diri sendiri serta bersaing dengan negara luar.

"Jika kita menjadi negara pencipta, negara kita boleh dimajukan. Namun, ia memerlukan tenaga mahir yang ramai.

"Oleh yang demikian, saya berharap pelajar dan masyarakat di luar sana memandang TVET ini sebagai peluang untuk memperoleh kemahiran yang terbukti memberikan banyak peluang pekerjaan," katanya.

SYARIKAT Crescent Gear Solution Sdn Bhd yang ditubuhkan kini menawarkan pekerjaan kepada pelajar TVET dan bumiputera.
SYARIKAT Crescent Gear Solution Sdn Bhd yang ditubuhkan kini menawarkan pekerjaan kepada pelajar TVET dan bumiputera.

Sebelum berada di puncak jaya, pastinya banyak rintangan yang perlu diharungi. Syamsyul Amry nyata tidak terkecuali dari saat mencabar itu.

Bagaimanapun, katanya cabaran itu tidaklah sesukar mana kerana berbekalkan minat serta matlamatnya yang tinggi segala cabaran dihadapi ditukar menjadi pembakar semangat untuk terus berjaya.

"Dalam bidang teknologi gear ini, ia tidak mempunyai pakar yang ramai di Malaysia. Jadi cabarannya adalah pengorbanan dalam menambahkan ilmu dalam bidang ini.

TVET juga babitkan akademik dan kemahiran
TVET juga babitkan akademik dan kemahiran

"Ketika belajar, selain ilmu yang disampaikan tenaga pengajar, saya banyak membuat rujukan dengan pakar luar negara dan belajar sendiri secara dalam talian. Saya juga menggunakan medium YouTube dan mengikuti pelbagai kursus secara dalam talian," katanya.

Bekas pelajar Kejuruteraan Mekanikal Pengkhususan Teknologi Pembuatan

ini turut menasihati masyarakat supaya melihat TVET ini satu peluang untuk menimba banyak ilmu kemahiran yang sebenarnya sangat penting dalam kehidupan kita.

Bagi pelajar pula, mereka perlu memilih bidang yang diinginkan atau diminati dan bukan mengikut pilihan ibu bapa.

"Kemahiran banyak cabang. Walaupun ambil pengkhususan lain, tapi kita juga boleh melakukan banyak lagi benda dari kemahiran asas yang diterima itu.

"Oleh itu, saya berharap pelajar yang mengikuti TVET ini memilih bidang kemahiran yang diminati dan bukan pilihan keluarga.

KEMAHIRAN TVET perlu diceburi kerana bidangnya luas
KEMAHIRAN TVET perlu diceburi kerana bidangnya luas

"Andai tidak punya pilihan, teruskan belajar sehingga minat itu datang. Banyakkan bertanya jika tidak tahu dalam apa juga kemusykilan yang ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 7:00 AM