DR Mohd Ekhwan (tiga dari kiri) dan Dr Mohd Suhaimi (dua dari kiri) bergambar kenangan bersama kakitangan dan pelajar ketika Majlis Jalinan Kasih Mahasiswa bersama Naib Canselor UKM.
DR Mohd Ekhwan (tiga dari kiri) dan Dr Mohd Suhaimi (dua dari kiri) bergambar kenangan bersama kakitangan dan pelajar ketika Majlis Jalinan Kasih Mahasiswa bersama Naib Canselor UKM.
Suliati Asri


BAGI memberi panduan kepada pelajar untuk membuat perancangan awal dalam menganjurkan atau menyertai program yang diadakan secara bersemuka di dalam ataupun di luar kampus, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan buku Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengurusan Aktiviti/ Program Pelajar UKM.

Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar UKM, Prof Madya Dr Mohd Suhaimi Mohamad berkata, SOP itu juga disediakan bertujuan untuk menerangkan tindakan dan tanggungjawab pelajar sebagai penganjur atau urus setia atau peserta atau individu yang terbabit dalam program.

Katanya, pematuhan kepada SOP ini sangat penting dalam pelaksanaan aktiviti atau program pelajar mengikut norma baharu.

"Pihak universiti sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada pelajar dalam menjalankan aktiviti secara fizikal, dalam talian mahupun hibrid.

"Perkara paling penting yang perlu dititik beratkan adalah pematuhan SOP itu sendiri seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman, mengimbas MySejahtera dan mematuhi kapasiti ruang yang ditetapkan mengikut SOP itu," katanya.

Skop SOP yang dilancarkan ini juga meliputi tiga perkara iaitu penganjuran aktiviti atau program pelajar dalam negara, penyertaan dalam aktiviti atau program dalam negara dan pembabitan pelajar dalam aktiviti atau program ke luar negara.

Dr Mohd Suhaimi berkata, pelajar wajib mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pelajar yang terbabit adalah terjamin.

Bagi memastikan kelancaran dan ketelusan pelaksanaan aktiviti atau program pelajar, menurutnya beberapa dokumen perlu dilengkapkan sebelum dan selepas pelaksanaan.

"Ketika program berjalan, pihak Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama ROSH-UKM akan membuat pemantauan kepatuhan SOP.

"Kerjasama semua pihak dalam pelaksanaan SOP ini akan menentukan kejayaan dan kelancaran program pelajar, sekali gus menjamin kesej

ahteraan semua pelajar yang terbabit," katanya.

SOP Pengurusan Aktiviti/ Program Pelajar UKM ini dilancarkan oleh Naib Canselor UKM Prof Datuk Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman pada Majlis Jalinan Kasih Mahasiswa Bersama Naib Canselor UKM.

Berucap pada majlis berkenaan, Dr Mohd Ekhwan berkata, UKM mula melangkah ke satu era dalam norma baharu sejak pandemik Covid-19.

Menurutnya, di sebalik pancaroba yang dilalui itu, UKM masih mampu mengekalkan kecemerlangan pada momentum yang disasarkan.

"Mahasiswa adalah aset penting dalam memastikan kejayaan UKM. Oleh itu, pelbagai usaha dan inisiatif dalam memastikan kebajikan dan kecemerlangan mahasiswa diberi penekanan dan keutamaan.

"Justeru, beberapa SOP dibentuk untuk memastikan semua aktiviti dan program mahasiswa dapat berjalan lancar walaupun dalam norma baharu," katanya.

Menurutnya, pelancaran SOP Aktiviti/Program Pelajar UKM adala salah satu contoh komitmen yang digembleng oleh Hal Ehwal Pelajar yang bertujuan memudahkan pelaksanaan program mahasiswa.

"Senario pengajaran dan pembelajaran (PdP) pada masa ini amat terkesan dengan pandemik Covid-19 yang dijangka mengambil masa pemulihan yang berpanjangan.

"UKM baik warga mahupun mahasiswa perlu lebih kreatif dan inovatif bagi memastikan indikator TERAS dapat dijayakan dan kelestariannya terpelihara," katanya.

Walau dalam keadaan yang mencabar ini, beliau yakin mahasiswa akan terus bertahan, bersungguh-sungguh serta tekun dalam menempa kecemerlangan akademik mahupun sahsiah.

DR Mohd Ekhwan mengimbas kod bar sebagai simbolik pelancaran buku SOP Pengurusan Aktiviti/Program Pelajar UKM.
DR Mohd Ekhwan mengimbas kod bar sebagai simbolik pelancaran buku SOP Pengurusan Aktiviti/Program Pelajar UKM.

"Saya juga berharap dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, kita dapat sama-sama berganding bahu dalam memartabatkan UKM di persada antarabangsa," tambahnya.

UKM juga tidak lupa kepada mahasiswa yang berkeperluan seperti orang kelainan upaya (OKU), B40, asnaf dan anak yatim.

Sumbangan dan bantuan kebajikan sama ada melalui zakat mahupun tabung kebajikan pelajar secara konsisten disalurkan kepada mahasiswa yang layak meneri

ma bantuan.

Sehubungan itu, dalam majlis ini, seramai 28 mahasiswa menerima sumbangan daripada Naib Canselor bagi meringankan beban dalam menjalani ibadah puasa pada Ramadan kali ini.

UKM akan sentiasa meletakkan kebajikan pelajar seperti salah satu agenda utama universiti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 6:13 AM