BERJAYA menggulung ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Gifu, Jepun.
BERJAYA menggulung ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Gifu, Jepun.
Hanifah Nazira Mohamed Hanafiah


"OGENKI desuka. Watashi no namae ha Muhammad Syafiq Ikmal," tutur Muhammad Syafiq Ikmal Elly Shahrulnizam, 24, yang kini fasih berbahasa Jepun.

Didorong minat mendalam terhadap bidang kejuruteraan, Muhammad Syafiq berjaya mendapat tawaran tajaan biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) -Majlis Amanah Rakyat (MARA) atau JPA - MARA untuk melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Gifu, Jepun selama empat tahun.

Ketika ditanya mengapa memilih bidang kejuruteraan mekanikal berbanding dengan skop kejuruteraan yang lain, Muhammad Syafiq mengakui bidang kejuruteraan mekanikal mempunyai spektrum lebih meluas.

Malah dia terlebih dahulu membuat kajian secara mendalam berkenaan masa depan dan jaminan pekerjaan dalam bidang berkenaan.

"Bagi saya, semua pekerjaan membabitkan kejuruteraan mekanikal dan bidang kejuruteraan mekanikal begitu dekat dengan jiwa saya.

"Saya memilih kejuruteraan mekanikal disebabkan minat saya terhadap kereta dan motosikal. Saya ingin mempelajari lebih mendalam 'benda' yang menggerakkan kedua-dua kenderaan berkenaan iaitu bahagian enjin.

"Daripada bahan besi dan logam yang digunakan sehingga proses pembakaran berlaku. Bukan itu sahaja, apa sahaja benda yang bersangkut paut menggunakan enjin sebagai pengerak juga menarik minat saya," katanya yang mesra disapa Syafiq.

MUHAMMAD Syafiq (dua dari kiri) bersama dengan rakan sekuliah berbangsa Jepun.
MUHAMMAD Syafiq (dua dari kiri) bersama dengan rakan sekuliah berbangsa Jepun.

KENANGAN Muhammad Syafiq (dua dari kri) bersama pelajar Malaysia di depan fakulti kejuruteraan.
KENANGAN Muhammad Syafiq (dua dari kri) bersama pelajar Malaysia di depan fakulti kejuruteraan.

MENYERTAI program Bon Odori Festival Jepun yang kebiasaannya diadakan pada setiap tahun di Shah Alam.
MENYERTAI program Bon Odori Festival Jepun yang kebiasaannya diadakan pada setiap tahun di Shah Alam.

Menurutnya, sebelum mengikuti pengajian di negara matahari terbit itu, antara syarat utama yang perlu dipenuhi ialah mengikuti program Rancangan Persediaan Ke Jepun (RPKJ) di Pusat Ambang Asuhan Jepun, Universiti Malaya (UM) selama dua tahun.

"Di bawah program itu, saya diwajibkan untuk mempelajari bahasa Jepun bermula cara menulis huruf sehingga boleh bertutur dalam bahasa itu sendiri. Bukan itu sahaja, subjek utama seperti Matematik, Fizik dan Kimia di peringkat menengah tinggi juga turut diajar dalam penggunaan bahasa Jepun," katanya anak kedua daripada empat beradik itu.

Selesai mengikuti program, Muhammad Syafiq dikehendaki menduduki peperiksaan kelayakan yang dikenali sebagai 'Exam for Japan University' (EJU) bagi pelajar antarabangsa untuk kemasukan mana mana universiti di negara itu.

"Jauh di sudut hati, saya sememangnya mengimpikan untuk mengikuti pengajian di Universiti Gifu yang boleh dianggap antara salah satu universiti terbaik dan berprestij di Jepun mahupun dunia.

"Secara jujurnya, ketika di bangku sekolah rendah lagi saya sudah menanam impian untuk melanjutkan pelajaran di luar negara.

Mengimbau kembali tahun pertama pengajian di Universiti Gifu, dia berhadapan masalah komunikasi. Rata-rata pensyarah menggunakan bahasa Jepun sepenuhnya dalam setiap sesi pembelajaran.

Bagaimanaun anak jati kelahiran Selangor itu baru saja menamatkan pengajiannya tidak menafikan keluarga termasuk ayahnya Elly Shahrulnizam Nordin, ibunya Norlelawati Abu Zarim dan adik beradik antara pendorong utama.

"Perancangan masa depan, saya ingin mencari pekerjaan yang boleh praktikkan segala dipelajari sepanjang berada di Jepun sama ada dari segi ilmu mahupun pengalaman hidup ketika berada di sana.

"Saya ingin menyumbang kepada pembangunan Malaysia dari segi kejuruteraan," tegas anak muda yang berpegang kepada prinsip 'Just go with the flow' ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 7:00 AM