AHLI kumpulan MyMisi ketika mesyuarat secara virtual bersama pengasas MOVE dan pengarah projek.
AHLI kumpulan MyMisi ketika mesyuarat secara virtual bersama pengasas MOVE dan pengarah projek.
Sudirman Mohd Tahir


PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO), Malaysia Outreach Volunteer Experience (MOVE) bersama The Bulb On Project (TBOP) dan Cinta Gaza Malaysia (CGM) dengan kerjasama kumpulan MyMisi dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) bagi kursus Khidmat Ummah di bawah subjek Pengantar Akhlak mengadakan program Projek Edu Tablet.

Program itu menyasarkan 30 set tablet untuk diberikan kepada 30 keluarga yang termasuk dalam kategori B40 dan asnaf. Serahan sumbangan berlangsung tiga minggu bermula 17 Februari lalu.

Pada setiap minggu 10 set tablet diagihkan kepada 10 keluarga. Pemberian sumbangan didatangkan sekali dengan meja lipat belajar, barangan asas dan kit pelitup muka dan sanitasi tangan.

Pengasas MOVE, Syed Zainal Abidin Jamalullail Syed Abdul Aziz berkata, dengan adanya tablet itu diharap ia dapat membantu melancarkan pembelajaran anak-anak golongan ini.

"Projek Edu Tablet ini adalah inisiatif kami untuk menyediakan alat bantuan secara pembelajaran digital untuk keluarga B40 untuk anak-anak mereka belajar secara dalam talian.

"Dengan kerjasama rakan NGO lain, kami bersatu dapatkan dana dan menyantuni 30 keluarga. Syukur alhamdulillah, apabila jalankan projek ini, kami melihat sendiri ahli keluarga yang terpilih dan buat temu bual mereka," katanya.

SYED (dari kiri) menyerahkan sumbangan.
SYED (dari kiri) menyerahkan sumbangan.

Sementara itu, Ketua Kumpulan MyMisi, Mohammad Sudirman Mohd Tahir menyifatkan program yang diwujudkan dalam subjek Pengantar Akhlak di bawah seliaan pensyarah, Dr Noraini Mohamad sesuatu yang bermanfaat dalam membentuk akhlak dan keperibadian mulia.

Malah, pelaksanaan Projek Edu Tablet itu sedikit sebanyak membuka mata ramai pihak apabila masih ramai yang memerlukan bantuan.

"Program seumpama ini bukan sahaja dapat melahirkan individu berhati mulia, tapi dapat mewujudkan keperibadian dan akhlak yang murni bagi diterapkan dalam kehidupan seharian.

"Selaras objektif penganjuran program ini bagi membantu pelajar daripada keluarga asnaf dan B40 yang kurang berkemampuan membeli tablet bagi proses PdPR, saya menyifatkan projek ini berjaya.

"Dalam masa sama, membolehkan pelajar meneruskan persekolahan walaupun secara dalam talian dan meringankan beban keluarga asnaf dan B40 yang tidak dapat menyediakan tablet untuk anak mereka. Diharapkan projek sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya.

ANTARA penerima manfaat Projek Edu Tablet.
ANTARA penerima manfaat Projek Edu Tablet.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 8:24 AM