SEBAHAGIAN peserta dari 65 negara yang terpilih menyertai MUN.
SEBAHAGIAN peserta dari 65 negara yang terpilih menyertai MUN.
Suliati Asri


SEORANG mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Saniy Samsudin antara 643 pelajar dari 65 negara terpilih bagi menyertai Persidangan Dalam Talian bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Model United Nation (MUN) Antarabangsa Asia Afrika, baru-baru ini.

Persidangan itu diadakan bertujuan menangani masalah global dan berkumpul untuk mencari penyelesaian untuk mereka sambil memainkan peranan sebagai wakil negara yang berbeza dalam PBB sebagai simulasi.

Muhammad Saniy berkata, jemputan menyertai MUN itu adalah satu batu loncatan buatnya ke dunia global kerana ia membabitkan delegasi dari 65 negara.

"Pada mulanya, saya berasa gementar apabila melihat sebanyak 41,460 orang dari 186 negara yang menghantar permohonan menyertai MUN ini.

"Namun, saya tidak patah semangat dan teruskan berdoa agar terpilih sebagai peserta persidangan ini dan apabila menerima jemputan melalui e-mel, ia cukup mengujakan," katanya.

MUHAMMAD Saniy ketika menyertai persidangan itu.
MUHAMMAD Saniy ketika menyertai persidangan itu.

Berkongsi pengalamannya, kata Muhammad Saniy, cabaran utama sebagai peserta persidangan ialah perlu meningkatkan kredibiliti dan membawa pemikiran yang tajam kepada organisasi termasuk mengupas topik-topik dalam aspek komunikasi, penulisan, pemikiran kritikal dan kepemimpinan.

Menurutnya, melalui persidangan ini juga peserta yang terpilih di bawah United Nation seperti UNICEF, SOCHUM, UNWTO dan lain-lain perlu mengkaji, membahas dan menyelesaikan masalah situasi berdasarkan negara dan tajuk yang diberikan oleh penganjur.

"Berperanan sebagai diplomat di Asia Afrika, peserta yang terpilih perlu membuat kajian dan membentangkan kepada semua delegasi termasuk menjawab persoalan yang dikemukakan peserta dari negara yang terbabit.

"Penyertaan secara maya ini diadakan dengan mengambil kira berdasarkan pengalaman perwakilan, surat motivasi termasuk mematuhi peraturan Persidangan MUN Dalam Talian Antarabangsa Asia Afrika untuk memastikan keselesaan dan keselamatan perwakilan," katanya.

Pelajar semester tiga Ijazah Sarjana Muda Kewangan Dengan Kepujian UUM itu berkata, walaupun pandemik Covid-19 melanda dunia, namun ia bukan alasan buatnya tidak menyertai mana-mana aktiviti, program, seminar dan kursus baik di peringkat universiti, negeri, kebangsaan atau dunia kerana banyak program dilaksanakan dengan cara dalam talian.

Berpengalaman sebagai rakan fasilitator ketika membantu pelajar dari Universiti Kyoto Sangyo Jepun dan bekas pembentang kertas kerja bagi sekolah tinggi antara Malaysia dan Indonesia, dia yakin peluang yang diberikan ini akan membantunya untuk melonjakkan nama UUM di mata dunia

.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 6:18 AM