PERSONALITI sebagai pemimpin terserlah.
PERSONALITI sebagai pemimpin terserlah.
Hartini Mohd Nawi

MENGENALI biodata mahasiswa ini, dia antara penuntut tahun akhir Program Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam (Kepujian), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

"Menariknya ia gabungan dua program pengajian iaitu Dakwah dan Pengurusan Islam sekali gus menjadi satu program pengajian selaras dengan citra penubuhan USIM sebagai kampus Integrasi Ilmu Naqli (Ukhrawi) dan Aqli (Duniawi).

"Sepanjang empat tahun menuntut di USIM ini, banyak ilmu berkaitan dakwah yang saya pelajari terutama konsep untuk berdakwah. Antaranya disiplin ilmu teori dakwah, komunikasi dakwah, sosiologi dan psikologi dakwah yang dipelajari sangat membantu bukan sahaja untuk difahami malah ia menjadi amalan yang boleh dipraktikkan.

"Saya juga banyak belajar berkenaan peribadi dan pemikiran tokoh-tokoh dakwah serta ilmuwan Islam lampau mahupun kontemporari yang bertanggungjawab menyebarkan Islam sehingga ke hari ini," lancar bicara anak muda bernama Muhammad Danial Akmal Hamdan, 23, saat mula ditemu bual, baru-baru ini.

Mahasiswa aktif ini turut mengakui istimewanya program dakwah itu di matanya kerana disulam bersama ilmu pengurusan Islam. Antara disiplin ilmu yang dipelajari ialah teori dan konsep pengurusan Islam, pengurusan sumber manusia, kepimpinan Islam dan pengurusan organisasi.

PELANGGAN dari Amerika Syarikat yang membeli secara dalam talian.
PELANGGAN dari Amerika Syarikat yang membeli secara dalam talian.

KARTUNIS Aie (kiri) menjadi idolanya untuk terus berkarya.
KARTUNIS Aie (kiri) menjadi idolanya untuk terus berkarya.

"Untuk menjadi seorang pendakwah yang berkaliber, hal ehwal kepemimpinan dan pengurusan mestilah dikuasai sebaiknya kerana itulah contoh yang ditunjukkan Rasulullah SAW yang mana baginda sendiri sebagai seorang pemimpin serta Dai'e.

"Hasil daripada adunan ilmu dakwah dan pengurusan Islam yang dikutip di dalam bilik kuliah, saya praktikkan sepanjang di USIM ini. Saya berpendapat bahawa ilmu yang kita pelajari dalam bilik kuliah perlu diamalkan di lapangan. Malah saya memilih lapangan kepemimpinan mahasiswa sebagai platform untuk saya mengamalkan ilmu-ilmu terbabit," kata anak kelahiran Klang, Selangor itu.

Berdepan pelbagai cabaran sepanjang pengajian di menara gading itu, bagi Muhammad Danial Akmal semuanya perlu dilalui secara profesional.

"Kepelbagaian latar belakang keluarga, pendidikan dan budaya masyarakat menjadi faktor wujudnya pandangan berbeza yang perlu diraikan dengan matang serta sejahtera.

"Cabaran lain adalah bagaimana untuk saya memposisikan dan 'mewajahkan' diri sebagai seorang penuntut aliran agama yang mampu bersaing dengan mahasiswa di luar sana supaya Islam tidak dipandang serong serta jumud," katanya.

Pada masa sama dia turut berkongsi beberapa kejayaan yang paling bermakna dalam hidupnya iaitu mendapat anugerah perak dalam 'Innovation Science and Social Science Innovation Competition 2019.'

MUHAMMAD Danial Akmal (duduk tiga dari kanan) ketika membincangkan isu membabitkan pelajar USIM.
MUHAMMAD Danial Akmal (duduk tiga dari kanan) ketika membincangkan isu membabitkan pelajar USIM.

MENERIMA watikah pelantikan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar 2019/2020.
MENERIMA watikah pelantikan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar 2019/2020.

"Kumpulan yang saya sertai mempertaruhkan satu projek inovasi bagi kategori sains sosial. Ia projek kumpulan bersama teman saya Raihana, pensyarah saya Dr Kalsom dan beberapa pensyarah yang lain.

"Sejujurnya ini adalah kali pertama saya menyertai pertandingan inovasi baik secara individu mahupun berkumpulan. Saya menyertainya pun selepas Raihana yang mengajak dan meyakinkan saya bahawa saya mampu untuk cuba sesuatu yang baharu, maklumlah ini adalah dimensi baharu yang saya perlu terokai.

"Pada ketika itu pula, hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum pertandingan jadi, persiapan agak singkat namun disebabkan saya seorang yang sukakan perkara yang baharu maka saya memberanikan diri menyertai pertandingan itu. Alhamdulillah kami dapat anugerah perak dalam pertandingan bertaraf antarabangsa itu," kata anak sulung daripada enam beradik itu.

Menurutnya, projek sama juga melayakkan dia dan pasukannya menerima anugerah emas selain terpilih sebagai pembentangan terbaik keseluruhan menerusi pertandingan inovasi peringkat USIM.

PENGALAMAN Muhammad Danial Akmal (kiri) bersiaran langsung dari Auditorium RTM.
PENGALAMAN Muhammad Danial Akmal (kiri) bersiaran langsung dari Auditorium RTM.

Bukan sekadar itu, Muhammad Danial Akmal yang berpegang kepada prinsip tiada pengorbanan, tiada kemenangan itu turut menggunakan peluang keemasan sepanjang pengajian dengan menyertai pelbagai aktiviti lain di kampus.

"Ketika di tahun satu lagi saya sudah menyertai Pertandingan Debat Interfakulti anjuran FKP dan Debat Piala Naib Canselor USIM bagi kategori Bahasa Melayu. Tahun Satu juga saya menjadi pengarah untuk Program Jalinan Kasih Bersama Mualaf, di Kompleks Saadah, Seremban, Negeri Sembilan.

"Program ini lebih kepada santunan bersama mualaf dan tempat untuk kami berkongsi cerita, pandangan serta pengalaman yang pelbagai daripada saudara baharu bersama ahli Kelab Debat untuk aktiviti kokurikulum USIM.

"Saya juga mencabar diri untuk bertanding dalam pemilihan Persatuan Mahasiswa Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (PMFKP) 2017/2018. Pada masa sama saya terbabit sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Majlis Liqa' Ruasa, Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM)," katanya yang turut aktif bersukan sehingga terpilih mewakili fakulti dalam sukan sepak takraw di Kejohanan Sukan Antara Fakulti (SUFA).

KEMERIAHAN bersama keluarga ketika Aidilfitri.
KEMERIAHAN bersama keluarga ketika Aidilfitri.

Seterusnya pembabitan dalam Mesyuarat Senat Universiti (USIM), iaitu mesyuarat tertinggi dalam menentukan hala tuju akademik sesebuah universiti. Selain mencipta sejarah kerana sebelum ini tidak pernah ada lagi wakil pelajar dalam mesyuarat senat universiti.

Tidak dinafikan dia turut mengagumi ketokohan ayahnya Hamdan Mohd Yusof seorang pesara kerajaan yang dulu berkhidmat sebagai Setiausaha Dewan Diraja Selangor dan ibunya Nordiana binti Taslim.

Terbaharu anak muda ini menulis sebuah karya motivasi di dalam buku Aksara Inspirasi 1 terbitan AID Conference.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 7:00 AM