PENSYARAH muda menjadikan proses pengajaran dapat diterima sebaiknya.
PENSYARAH muda menjadikan proses pengajaran dapat diterima sebaiknya.
Suliati Asri

PENSYARAH adalah profesion penting dalam membentuk masa depan pelajar.

Jika dulu, tidak ramai belia yang mendambakan status pensyarah, namun ia kini jauh berbeza. Kebanyakan belia menjadikan profesion ini sebagai kerjaya.

Bergelar pensyarah di usia hujung 30-an dan awal 40-an sesuatu yang cukup baik kerana jurang usia dengan pelajar tidak jauh, sekali gus menjadikan proses pengajaran dapat diterima sebaiknya.

Namun, cukupkah pengalaman industri yang ada, sekali gus melayakkan mereka sebagai pensyarah yang terbaik?

Apapun, sama ada pensyarah berpengalaman dalam industri atau tidak, tujuan dan matlamat mereka adalah sama. Memilih kerjaya sebagai pensyarah demi anak bangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Hal Ehwal Pelajar dan Pengarah, Pusat Pembelajaran Umum UNIRAZAK Asst Profesor Dr Zuhaili Akmal Ismail, 38, berkata, pensyarah bagaikan cahaya yang akan membimbing dan mendedahkan pelajar kepada cara pemikiran yang berlandaskan ilmu serta praktikal.

"Seperti bapa pendidikan Malaysia, Aminuddin Baki yang terkenal dengan sikapnya yang peka dan prihatin terhadap pelajarnya.

"Beliau tidak pernah kenal erti letih dan jemu untuk mengajar. Nawaitu sebagai pendidik sangat penting," katanya.

Profesor Zuhaili berkata, dia memilih untuk menjadi pensyarah kerana ingin membantu anak bangsa dan merasakan kekurangan pensyarah yang mempunyai pengalaman industri untuk mendidik.

PENGALAMAN itu bonus tetapi pensyarah perlu berusaha untuk meningkatkan jaringan dengan industri bagi melahirkan graduan yang cemerlang.
PENGALAMAN itu bonus tetapi pensyarah perlu berusaha untuk meningkatkan jaringan dengan industri bagi melahirkan graduan yang cemerlang.

"Selepas menyambung pengajian dalam bidang pengiklanan di Amerika Syarikat, saya diberi peluang bekerja di agensi pengiklanan antarabangsa, McCann Erickson.

"Namun, selepas 10 tahun, saya kemudian kembali ke Malaysia bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan, sekali gus menukar kerjaya sebagai pendidik," katanya.

Berpengalaman selama 10 tahun dalam industri, Profesor Zuhaili berkata, proses pengajarannya di dalam bilik kuliah lebih menekankan kepada pengajaran interaktif dan praktikal membabitkan industri.

Katanya, setiap projek kelasnya diperoleh daripada rakan-rakan industri bagi memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi bersama pelanggan sebenar.

"Saya masih bekerja sebagai perunding bebas. Jadi, teknik pengajaran saya berlandaskan apa yang diperlukan rakan industri.

"Saya juga sentiasa menjemput rakan industri untuk berkongsi pengalaman bersama pelajar, sekali gus memberikan pendedahan lebih awal kepada pelajar," katanya.

Menyentuh soal pengalaman, kata Prof Dr Zuhaili pengalaman sangat penting bagi mematangkan proses pengajaran pensyarah.

Di samping itu, katanya pensyarah juga perlu ada rasa untuk sentiasa memperbaiki diri sendiri dan belajar sepanjang hayat (lifelong learning) bagi memberi ilmu yang terbaik untuk pelajar.

"Pengalaman itu penting, tetapi kadangkala pengalaman membuatkan individu itu alpa dan terlalu yakin dengan diri sendiri.

"Justeru, saya sering mengingatkan diri sendiri bahawa sebagai pensyarah, pembelajaran adalah dua hala dan berpegang kepada prinsip 'leave your ego outside the classroom'," katanya.

Soal berpengalaman atau tidak sebelum menjadi pensyarah, ulas Profesor Zuhaili kelayakan dan pengalaman patut diseimbangkan supaya pelajar mendapat peluang pembelajaran yang terbaik.

Katanya, antara inisiatif yang terbaik boleh dilaksanakan kementerian adalah menghantar pensyarah muda yang kekurangan pengalaman ke industri di bawah program CEO.

"Program ini menyasarkan pensyarah universiti yang berumur bawah 40 tahun yang mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan asas dalam menjalinkan kerjasama dengan industri," katanya.

PENGALAMAN dalam industri mematangkan proses pengajaran pensyarah
PENGALAMAN dalam industri mematangkan proses pengajaran pensyarah

Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Komunikasi Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Siti Suriani Othman, 41, berkata, dia bercita-cita menjadi pensyarah sejak kecil walaupun asalnya tidak faham akan tugasan sebenar pensyarah.

Namun, apabila sudah faham mengenai profesion itu, dia belajar sehingga peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) seterusnya menjadi pensyarah kewartawanan sejak 2006.

Mengulas mengenai pengalaman dalam industri sebelum bergelar pensyarah, kata Dr Siti Suriani, pengalaman itu adalah satu bonus dan selebihnya bergantung kepada usaha pensyarah itu sendiri.

"Jika diikutkan, saya tidak punya pengalaman yang banyak dalam industri, namun banyak membabitkan diri dengan industri terutama di bilik berita menerusi kajian, lawatan dan tugasan pelajar selain pernah menjadi tutor di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

"Jadi, dengan jaringan yang ada, saya memastikan setiap proses pembelajaran pada akhirnya akan ada pembabitan dari wakil industri," katanya.

Pengalaman dalam industri cukup membantu, bagaimanapun pensyarah itu sendiri perlu berusaha untuk meningkatkan jaringan dengan industri, sekali gus memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai dunia sebenar industri.

Dr Siti Suriani berkata, dalam proses pengajarannya dia akan sentiasa memastikan teori dan praktikal adalah seiring.

"Sebagai pensyarah, kita tidak hanya perlu mengajar tetap adalah penting untuk turut sama mempraktikkan subjek yang diajar.

KEJAYAAN pelajar turut disokong oleh pensyarah yang hebat.
KEJAYAAN pelajar turut disokong oleh pensyarah yang hebat.

"Sebagai contoh, saya mengajar bidang kewartawanan. Jika saya meminta mereka menulis satu artikel, saya juga akan menulis bersama mereka. Dengan itu, kita sebagai pensyarah juga dapat memperlihatkan penulisan sebenar.

"Saya juga wajibkan mereka menulis dan menerbitkannya di akhbar, majalah atau portal. saya juga akan menjemput wartawan dari industri untuk menjadi hakim atau berkongsi pengalaman dengan pelajar," katanya.

Menurutnya, pensyarah yang tidak mempunyai banyak pengalaman dalam industri tidak perlu merasa rendah diri kerana usaha yang berterusan daripada pensyarah adalah penting bagi memastikan jaringan dengan industri.

"Walaupun pengalaman penting namun sesuatu yang pensyarah perlu buat untuk tingkatkan kualiti dirinya dan pelajar adalah mempunyai jaringan antarabangsa yang baik," tambahnya yang berpengalaman mengajar di China dan Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 7:01 AM