SEORANG ibu calon PT3 gembira melihat keputusan PT3 anaknya.
SEORANG ibu calon PT3 gembira melihat keputusan PT3 anaknya.
Fazurawati Che Lah


MINGGU lalu menyaksikan pengumuman keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) 2019, sekali gus menghentikan segala debaran calon sejak tamat peperiksaan itu pada Oktober lalu.

Keputusan yang diperoleh itu juga akan menjadi pengukur untuk laluan ke tingkatan empat pada tahun hadapan sama ada mahu meneruskan pengajian dalam bidang akademik atau mengikuti latihan vokasional.

Malah pelajar tingkatan empat tahun hadapan juga tidak lagi dibahagikan mengikut aliran sastera dan sains apabila Kementerian Pendidikan memansuhkan dua aliran itu.

Pemansuhan itu bagi menggalakkan pelajar mengambil beberapa subjek tertentu menerusi pakej bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Pada masa sama, pakej berbeza turut ditawarkan untuk aliran sains, sastera dan kemanusiaan, selain pelajar boleh mengambil lima subjek elektif mengikut pilihan serta minat masing-masing.

Bagaimanapun, baru-baru ini timbul kerisauan dalam kalangan warga sekolah berhubung pemansuhan dua aliran itu kerana penstrukturan semula perlu dilakukan bagi memastikan saranan baru itu berjaya dilaksanakan tanpa membebankan pelajar.

Bagi Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Hamidiah, Kajang, Selangor, Md Yusof Rahim, pelbagai perancangan sudah dirangka dan sekolah juga bersedia dengan penstrukturan baru bagi proses pembelajaran tingkatan empat pada tahun hadapan.

Jelasnya, tiada perubahan ketara melalui pakej baru yang ditawarkan dan pengisian pengajian masih sama seperti sebelum ini.

Katanya, penilaian masih mengutamakan keputusan PT3 pelajar dan mengambil kira pencapaian ke atas subjek sains dan matematik bagi ‘pakej’ kelas STEM.

“Pertimbangan dan pilihan pelajar juga akan diambil kira untuk pemilihan pakej yang ditawarkan bagi memastikan mereka bersedia dan boleh mengikuti pembelajaran dengan baik serta cemerlang.

“Jika pelajar ini mahu mengikuti pakej STEM, tetapi ‘kekuatan’ subjek sains dan matematik tidak cemerlang kita tidak akan meletakkan mereka di situ kerana bimbang tidak dapat menguasai, sebaliknya mereka boleh memilih pakej kelas kemanusiaan,” katanya.

Beliau turut yakin dan percaya guru juga bersedia kerana sudah mengikuti beberapa taklimat berhubung keperluan pengajaran baru itu.

“Pemansuhan ini tidak sama sekali menjejaskan aktiviti Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) kerana konsep dan kandungannya masih sama cuma diberi pilihan pakej yang pelbagai mengikut kecenderungan pelajar,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai keputusan PT3, Md Yusof berkata, beliau gembira dengan pencapaian sekolahnya namun pada masa sama mahu mengingatkan kepada semua terutama ibu bapa bahawa pengukuran PT3 bukan hanya kepada jumlah A yang diperoleh, sebaliknya perlu dilihat secara menyeluruh bagi semua komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) berkenaan.

Katanya, pelaksanaan PBS sendiri adalah untuk mendapat gambaran secara menyeluruh mengenai potensi pelajar dalam bidang ilmu pengetahuan, kemahiran dan kecekapan.

“Kami mahu pelajar terdedah kepada pendekatan lebih holistik dengan fokus kepada pembangunan intelek, emosi, rohani dan jasmani secara keseluruhannya,” katanya.

Pemansuhan aliran sains dan sastera pada 2020 boleh memberi kesan kebaikan kepada pelajar lepasan PT3 kerana mereka boleh memilih subjek berpandukan kepada minat, bakat, kecenderungan dan berkeupayaan mereka untuk berjaya dengan cemerlang.

Pensyarah Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Syed Sofian Syed Salim berkata, pelajar dijangka tidak akan merasa terpaksa dan tentunya begitu seronok untuk mempelajarinya.

“Pelajar akan dapat merancang laluan kerjaya masa hadapan mereka dengan lebih jelas, berkesan dan tersusun serta efektif selaras dengan subjek dipilih.

“Mereka juga dapat merancang lebih awal dan memilih pusat pengajian paling sesuai sama ada dalam atau luar negara, awam atau swasta,” katanya.

Katanya, pelajar tingkatan empat pada tahun hadapan adalah kohort pertama dalam pelaksanaan sistem berkenaan dan impak minat terhadap STEM belum menunjukkan kesannya lagi secara langsung.

Namun katanya, minat pelajar terhadap STEM, bukan bermula dari transisi tingkatan tiga (menengah rendah) kepada tingkatan empat (menengah atas) sebaliknya perlu bermula dari seawal mungkin pendidikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 12:44 PM