TEAM Vencera menunjukkan hadiah yang dimenangi pada pertandingan peringkat kebangsaan.
TEAM Vencera menunjukkan hadiah yang dimenangi pada pertandingan peringkat kebangsaan.
Nor Akmar Samudin


SELEPAS memenangi Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) kategori terbuka atas di Stadium Sultan Abdul Halim, Kedah, baru-baru ini, Loo Qiao Ning, Harun Azhar dan Ahmad Azzam Mohamad dari pada pasukan Robotics Pusat GENIUS@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kini bersedia berdepan saingan sengit di Olimpik Robot Dunia 2019 di Gyor, Hungary, November ini.

Pasukan itu akan memasang prototaip mereka daripada Lego Mindstorms yang dipanggil Equinox Metropolitan melawan pasukan dari 70 negara lain.

Projek yang bertujuan menangani isu keselamatan jalan raya menggunakan teknologi IoT (Internet of Things) itu akan mengawal lampu isyarat di persimpangan dengan penghantaran isyarat dari kenderaan lain supaya mengawal had laju sebaik menghampiri lampu isyarat.

Pelajar menyifatkan kejayaan mereka hasil bimbingan dari UEM Edgenta Berhad berhubung masalah yang berlaku di bandar pintar dan cara mengatasinya.

Menurut Loo, bimbingan UEM Edgenta Berhad mengenai cabaran yang mungkin berlaku di bandar pintar mencetuskan idea untuk membangunkan aplikasi berkenaan.

“Idea untuk ciptaan ini berpandukan kajian mengenai jalan raya dan ia berjaya disiapkan dalam masa tiga bulan.

“Untuk menyiapkan projek ini, kami diberi tiga minggu pengecualian kelas, tetapi pada masa sama perlu menyiapkan tugasan dari pada pensyarah untuk menghadapi peperiksaan akhir.

DARI kiri: Loo, Harun dan Ahmad Azzam membuat demonstrasi menggunakan robot.
DARI kiri: Loo, Harun dan Ahmad Azzam membuat demonstrasi menggunakan robot.

“Dengan fleksibiliti, kerjasama dan sokongan dari pada pensyarah serta bimbingan mentor, kami akan fokuskan kepada satu projek khusus saja untuk dipertandingkan di Hungary nanti,” katanya.

UEM Edgenta juga akan membiayai kos pengangkutan dan logistik sempena cabaran robotik antarabangsa itu.

Sementara itu, kumpulan Team Vencera Pusat GENIUS@Pintar Negara menerusi aktiviti F1 Sekolah memenangi Anugerah Penyelidikan dan Pembangunan Terbaik, Anugerah Kejuruteraan Terbaik serta Anugerah Pembentangan Terbaik, sekali gus muncul juara kebangsaan.

Kemenangan itu melayakkan pasukan berkenaan mewakili Malaysia di F1 Final Dunia antara Sekolah di Pulau Yas, Abu Dhabi pada akhir bulan depan.

Seorang peserta Team Vencera, Nur Afiqah Zulkarnai, 16, berkata, setakat ini mereka berjaya meyakinkan enam penaja termasuk Kementerian Pendidikan, Petronas dan Yayasan Pahang untuk pertandingan itu.

“Kami perlu memastikan kereta boleh bergerak pantas dan stabil. Untuk mencapai kelajuan itu, pilihan bahan sangat penting dan boleh menjadi sangat mahal.

“Itu antara sebab kami perlu mendapatkan dana untuk penyertaan pasukan kami nanti,” katanya.

Pengarah Kejuruteraan GENIUS@Pintar Negara, UKM, Profesor Datuk Dr Noriah Mohd Ishak berbangga dengan pencapaian dua pasukan pada peringkat kebangsaan dan seterusnya layak ke peringkat antarabangsa iaitu pada Olimpik Robotik Dunia di Hungary dan F1 Final Dunia Antara Sekolah di Abu Dhabi.

“Dari pada peringkat awal apabila kelab terbentuk, pelajar kami berusaha keras untuk menang pada setiap peringkat pertandingan. Mereka juga berusaha untuk bersaing pada peringkat antarabangsa, akhirnya mendapat peluang pertama pada 2015.

“Usaha pelajar ini akan diteruskan untuk generasi akan datang dan menjadi program legasi untuk pelajar kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 12:01 PM