Muhammad Saufi Hassan

Menuju kepada era automasi, setiap industri perlu memulakan langkah awal termasuk segmen pertanian.

Untuk itu, sekumpulan pengkaji serta penyelidik daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil inisiatif berkenaan untuk menghasilkan 'Mesin Pengkelasan dan Pengdredan Automasi Buah Harumanis'.

Naib Cancelornya, Prof Dr Zaliman Sauli berkata, buah mangga harumanis ini adalah 'tanda unik' segmen pertanian di Perlis dan pihaknya memikirkan satu inisiatif untuk memastikan tugasan pengredan serta pengkelasan dapat dilaksanakan secara lebih sistematik.

"Pada tahun lalu, sekumpulan pengkaji dan penyelidik kita dairpada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik (FTKE) mula membangunkan mesin pintar ini.

"Pertambahan hasil mangga harumanis dan usahawan tani setiap tahun, ia memberi satu bentuk keperluan untuk prasarana tambahan bagi tujuan menjalankan aktiviti pengkelasan dan pengredan buah," katanya dalam satu siaran akhbar, sebentar tadi.

Pada masa sama, kumpulan penyelidik berkenaan diketuai oleh Dr Fathinul Syahir Ahmad Saad, Dr Noor Shazliana Aizee Abidin, Dr Mohamad Khairul Bin Ali Hassan dan Mohd Firdaus Ibrahim berjaya membangunkan mesin berkenaan.

Susulan kejayaan itu, Zaliman berkata, pihaknya menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Naswira Enterprise bagi pelesenan mesin itu.

"Menerusi perjanjian ini, mesin berkenaan menjadi hakcipta terpelihara UniMAP dan digunakan oleh Naswira Enterprise bagi meningkatkan keupayaan Pusat Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis.

"Ia juga dapat membantu pekebun Mangga Harumanis bagi menampung keperluan dan meningkatkan keupayaan seiring dengan pertambahan hasil pertanian," katanya.

Mesin ini perlu digunakan supaya pengkelasan dan pengredan buah Mangga Harumanis ini dapat dipiawaikan mengikut keseragaman standard.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 10:50 AM