GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lembaga Lada Malaysia (MPB) memberi fokus kepada usaha meningkatkan kualiti lada di peringkat ladang melalui pemilihan varieti yang ditanam bagi penghasilan lada putih krim (LPK) dan lada hitam premium seperti lada berkualiti eksport (LBE).

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II Datuk Willie Mongin berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi Skim Tanaman Lada Matang dan Skim Tanaman Lada Baru di bawah program Pembangunan Huluan Industri Lada.

Beliau berkata, lada Sarawak yang mempunyai kualiti premium dan aroma unik masih mendapat permintaan tinggi sekali gus menjadikan Malaysia kekal menjadi pesaing utama kepada negara pengeluar lada utama dunia terutama Vietnam, Indonesia dan India.

"Sehingga kini, Malaysia berada di kedudukan kelima sebagai pengeluar lada terbesar di dunia dan diharapkan lada Malaysia akan berada di kedudukan yang lebih baik sebagai pengeluar lada utama di dunia pada masa hadapan dengan adanya bantuan dan galakan daripada kerajaan," katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Paul Igai yang ingin tahu strategi kerajaan memperkasakan perusahaan pengeluaran lada memandangkan banyak negara luar seperti Vietnam, Indonesia dan India menjadi pengeluar utama industri pengeluaran lada di dunia.

Willie berkata, pengeluaran lada bagi Vietnam adalah 240,000 tan, Indonesia (77,000 tan) dan India (60,000 tan) pada 2020 manakala Malaysia sebanyak 30,800 tan.

Beliau berkata, pekebun kecil boleh berhubung dengan pihak MPB yang sentiasa bersedia memberikhidmat nasihat untuk mendapatkan panduan dan teknik pembajaan serta mengamalkan amalan pertanian baik.

"Kementerian juga sangat menyaran dan mengalu-alukan pihak swasta atau individu yang berminat dengan penanaman lada untuk membantu membangun industri lada negara. Sudah sampai masanya industri lada bergerak dengan berpaksikan 'industry driven'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 1:17 PM