SAMSOLBARI (baju putih) melihat benih pokok kopi di Pusat Pertanian Parit Botak, Batu Pahat. Foto Essa Abu Yamin
SAMSOLBARI (baju putih) melihat benih pokok kopi di Pusat Pertanian Parit Botak, Batu Pahat. Foto Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Kerajaan Johor menyasarkan pengeluaran anak benih kopi jenis Liberika sebanyak 40,000 pokok tahun ini bagi menampung keperluan termasuk dua peratus untuk pasaran dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Samsolbari Jamali berkata, pengeluaran anak benih kopi yang dikeluarkan Jabatan Pertanian Negeri Johor dilaksanakan di daerah Batu Pahat dan Pontian.

"Bagi tahun 2020 sebanyak 35,000 anak benih kopi berjaya dihasilkan di tanah seluas 451 hektar dan kerajaan negeri akan terus sasarkan peningkatannya pada setiap tahun.

"Johor sememangnya sesuai untuk kopi jenis Liberika berbanding dengan kopi jenis lain kerana faktor cuaca serta persekitarannya dan ini satu kelebihan bagi kawasan Khatulistiwa.

"Kopi jenis ini ada kelebihan sendiri seperti lebih besar, harum dan manis," katanya ketika sidang media lawatan di Pusat Pertanian Parit Botak, dekat sini.

Menurut beliau, selain menghasilkan anak benih kopi yang berkualiti untuk penanam, Jabatan Pertanian Negeri Johor turut digalakkan menggunakan teknologi terkini dalam penanaman dan pemprosesan kopi terbabit agar mampu menghasilkan produk yang terbaik.

Sementara itu, beliau berkata, selain tanaman kopi, negeri Johor juga turut menjadi antara pengeluar utama kelapa pandan yang meliputi 40 peratus pasaran tempatan negara ini.

"Kelapa jenis pandan menjadi semakin popular kerana permintaan air kelapa muda dan produk yang berasaskan kelapa jenis ini yang semakin popular ketika ini.

"Kita juga menyasarkan pertambahan kelapa pandan berkenaan dan kini melaksanakan tanaman integrasi bersama kopi dan juga koko," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 4:34 PM