SEBAHAGIAN delegasi Malaysia dan China yang hadir pada majlis perasmian FDM 2017.
SEBAHAGIAN delegasi Malaysia dan China yang hadir pada majlis perasmian FDM 2017.
AHMAD Shabery (dua dari kiri), Pandikar (tengah) dan Zhang Xiaoqin mengopek durian Musang King sebagai gimik perasmian FDM 2017.
AHMAD Shabery (dua dari kiri), Pandikar (tengah) dan Zhang Xiaoqin mengopek durian Musang King sebagai gimik perasmian FDM 2017.
AHMAD Shabery (kanan), Pandikar (tengah) dan Zhang Xiaoqin menikmati durian Musang King.
AHMAD Shabery (kanan), Pandikar (tengah) dan Zhang Xiaoqin menikmati durian Musang King.
RAKYAT China mula membanjiri tapak FDM 2017 di Yang City South Square Nanning, Guangxi, China, untuk merasai sendiri keenakan durian Musang King.
RAKYAT China mula membanjiri tapak FDM 2017 di Yang City South Square Nanning, Guangxi, China, untuk merasai sendiri keenakan durian Musang King.
Mohamad Hussin


Daripada diplomasi panda kini diplomasi durian Musang King pula! Hubungan baik antara Malaysia dengan China dilihat menerusi langkah proaktif dan agresif yang diambil kerajaan memberi manfaat besar kepada industri pertanian serta makanan negara selain membantu meningkatkan pendapatan petani serta usahawan di negara ini.

Oleh itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menerusi jabatan dan agensinya giat menjalankan promosi pelbagai produk pertanian bagi mewujudkan sumber kekayaan baru menerusi agromakanan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kejayaan penganjuran Festival Durian Malaysia 2017 (FDM 2017) di Hang Yang City South Square Nanning, Guangxi, China, baru-baru ini membuktikan raja buah itu mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan rakyat negara itu.

“Sempena lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke China pada April 2011, kerajaan republik itu mengumumkan memberi akses pasaran untuk durian sejuk beku dari Malaysia.

“Selepas kejayaan menembusi pasaran durian sejuk beku, usaha seterusnya adalah untuk membuka pasaran durian segar pula di China.

“Saya sudah beberapa kali membuat kunjungan ke negara itu dalam misi ‘Road to Nanning’ dalam mencapai matlamat mempromosi produk pertanian negara.

“Secara positif saya boleh mengatakan durian membawa ‘kebahagiaan.’ Inilah simbol persahabatan antara dua negara kita. Kini tumpuan diberikan sebagai langkah memperkukuhkan diplomasi durian,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian FDM 2017 itu.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Gabenor Guangxi Zhuang Wilayah Autonomi China Zhang Xiaoqin. Turut hadir, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Duta Besar Malaysia ke Beijing Datuk Zainuddin Yahya.

Sebanyak 3.8 tan metrik durian Musang King dihantar ke Nanning untuk tujuan promosi dan jualan termasuk produk buah-buahan lain seperti nangka, nanas serta industri asas tani (IAT) sempena FDM 2017.

Ahmad Shabery berkata, pada masa ini, hanya produk durian Malaysia dalam bentuk isi (pulp) dan pes sejuk beku seperti kerepek durian, kopi durian, tart durian dan crepe durian yang dibenarkan untuk dieksport ke China.

“Namun, dalam usaha untuk meningkatkan kepelbagaian produk untuk dieksport, Malaysia dalam proses untuk mendapatkan akses pasaran bagi durian sejuk beku daripada pihak General Administration of Quality Supervision, Inspection and Quarantine (AQSIQ) China.

“AQSIQ adalah badan yang mengawal selia kualiti, keselamatan, pensijilan, pemeriksaan dan kuarantin bahan makanan, haiwan dan tanaman di pintu masuk serta keluar negara terbabit. Apabila pasaran buah durian sejuk beku China dibuka, pastinya negara berkenaan mampu menjadi pasaran durian terbesar untuk Malaysia.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima, durian Malaysia sememangnya mendapat permintaan tinggi dan menjadi buruan rakyat China kerana kualitinya.

“Kementerian ini akan terus menjalankan usaha dan inisiatif untuk membantu petani serta pengusaha Malaysia merebut peluang pasaran ini,” katanya.

Menurutnya, nilai eksport buah durian Malaysia ke seluruh dunia berjumlah RM64.89 juta pada tahun 2015 dan meningkat kepada RM74.39 juta pada tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, eksport isi dan pes sejuk beku durian ke China ialah sebanyak RM23.52 juta (2015) sementara RM18.02 juta (2016). Nilai eksport durian ke seluruh dunia diunjurkan akan meningkat kepada RM92.55 juta pada 2020,” katanya.

Sementara itu, katanya, nilai perdagangan agromakanan Malaysia-China meningkat 7.7 peratus kepada lebih RM8.3 bilion pada 2016 berbanding tahun sebelumnya, menjadikan negara itu sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia bagi sektor ini.

“Daripada jumlah itu, eksport agromakanan Malaysia ke China adalah RM2.36 billion sementara import bernilai RM5.95 billon. Hingga Julai lalu, nilai perdagangan kedua-dua negara adalah RM4.66 bilion yang terdiri daripada eksport Malaysia berjumlah RM1.18 bilion manakala import dari China berjumlah RM3.48 bilion.

“Malaysia mengeksport makanan yang diproses, bijirin, makanan laut, kopi, teh, koko dan rempah. Sementara Malaysia mengimport dari China produk seperti sayuran, buah-buahan dan bahan makan yang diproses,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 1:23 PM