‘KECERDIKAN’ dan ‘ketamakan’ manusia menjadikan mereka lupa diri dan terlupa bahawa perhitungan akhirat lebih berat balasannya.
‘KECERDIKAN’ dan ‘ketamakan’ manusia menjadikan mereka lupa diri dan terlupa bahawa perhitungan akhirat lebih berat balasannya.
Dr Zuraimy Ali

Media massa sering melaporkan kejadian kes perebutan tanah pusaka sehingga membawa kepada kematian dan boleh didakwa di bawah seksyen 302 kanun keseksaan kerana membunuh. Bahkan perebutan harta pusaka masih terjadi meskipun pembahagian telahpun dilaksanakan melalui hukum faraid. Walaupun kaedah hukum faraid sudah ada, namun pihak yang 'cerdik' dan 'tamak' tidak pernah  'setuju'  tentang pengagihan hukum syarak. Ini disebabkan 'kecerdikan' bagi kepentingan diri dan 'ketamakan' yang menguasai diri telah menjadikan seseorang sanggup menipu dan membelangkangi hukum syarak. Hal ini sebenarnya sudah lama terjadi kerana urusan pembahagian harta pusaka yang melibatkan semua pewaris tidak diselesaikan secara harmoni atas semangat kekeluargaan berpunca sifat tamak haloba dan cuba mengambil hak pewaris yang lain dengan jalan yang tidak jujur dan amanah.

Beberapa  pendekatan  terkini melalui 'kecerdikan' yang dibolot demi kepentingan diri ialah dengan melebihkan  ukuran dan sempadan tanpa pengetahuan dan persetujuan pewaris lain sehinggakan ada pihak yang teraniaya sedangkan pembahagian  boleh dibuat secara adil dan lebih tepat. Namun seperti biasa kerana 'kecerdikan' dan 'ketamakan' manusia menjadikan mereka lupa diri dan terlupa bahawa perhitungan akhirat lebih berat balasannya. Hal ini telah diingatkan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang berbuat zalim (dengan mengambil) sejengkal tanah, maka dia akan dikalungkan (dengan tanah) dari tujuh lapis bumi" -  (Riwayat Bukhari dan Muslim). Hal ini tidak boleh dipandang remeh oleh umat Islam memandangkan harta yang diambil secara haram melalui penipuan dan memperdayakan waris lain pasti menjadi peninggalan yang batil sepanjang zaman.

Umat Islam yang kurang didikan agama dan jahil terhadap hak waris yang lain perlu ingat bahawa tanah yang dimiliki secara penipuan atau melalui memperdayakan waris lain telah diingatkan dengan ancaman yang keras sebagaimana Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang mengambil tanah (meskipun) sedikit tanpa haknya maka dia akan ditenggelamkan dengan tanahnya pada Hari Kiamat sampai ke dasar tujuh lapis bumi"  - (Riwayat Bukhari). Selain itu, Rasulullah SAW juga mengingatkan bahawa: "Siapa sahaja orang yang menzalimi (dengan) mengambil sejengkal tanah (orang lain), nescaya Allah akan membebaninya (pada Hari Kiamat) hingga ke tujuh lapis bumi, lalu Allah akan mengalungkannya (di lehernya) pada Hari Kiamat sampai seluruh manusia diadili."  (Riwayat Ibnu Hibban dan Ahmad)

Selain kaedah penipuan, ada pihak yang cuba mendakwa semua bahagian yang diwarisi adalah hak mereka sepatutnya dan usaha ini cuba dilakukan secara halus dengan menambun tanah, menanam pokok, menutup laluan yang akhirnya menyebabkan sebahagian waris lain menjadi mangsa terhadap 'kecerdikan' pihak yang 'tamak' demi memastikan tanah tersebut tidak jatuh kepada waris yang lain. Usaha terancang ini dianggap paling ampuh dan bijak bagi menghalang pewaris lain memanfaatkan tanah tersebut yang juga merupakan haknya. Adalah malang jika ada pihak yang 'cerdik' mengubah kedudukan tanah yang strategi dengan nilaian harga yang tinggi di pasaran kepada nilaian harga yang rendah kepada waris lain demi memastikan keuntungan hanya berpihak kepada yang 'cerdik' dan 'tamak'.

Bagi menyelesaikan isu perebutan tanah pusaka sudah tentu semua pihak perlu berlapang dada dan menerima bahagian masing-masing dengan adil. Jika ini tidak dicapai sudah tentu urusan penyelesaian di mahkamah memerlukan kos yang tinggi dan akhirnya waris yang 'kurang cerdik' disebabkan terlalu jujur dan 'miskin' kerana tidak mempunyai wang membiayai kos guaman akan menjadi mangsa keadaan sepanjang masa. Sudah sampai masanya hal terkait dengan pengurusan harta pusaka dapat diuruskan dengan baik tanpa menzalimi mana-mana pihak.

Penulis Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara cawangan Perlis

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 6:01 AM