MEREKA yang berfahaman Mujassimah tidak mampu menunjukkan Kitab Turath ataupun kalam para ulama’ Salaf As-Soleh yang menyatakan Allah itu adalah Alam Ghaib.
MEREKA yang berfahaman Mujassimah tidak mampu menunjukkan Kitab Turath ataupun kalam para ulama’ Salaf As-Soleh yang menyatakan Allah itu adalah Alam Ghaib.
Abd Rahman Tajuddin

Akidah Tajsim adalah akidah yang beranggapan Tuhan itu berjisim. Akidah ini beranggapan bahawa Allah itu mempunyai mempunyai jisim dan beranggota tubuh badan. Apabila ia berjisim, maka ia menempati ruang alam semesta ini sama ada di atas Arash atau pun di dalam alam ini.

Tindakan segelintir pendakwah yang menyatakan kononnya 'Allah di alam ghaib', meletakkan sifat makhluk kepada Allah SWT dan seumpamanya adalah satu akidah yang sesat lagi menyeleweng, malah menyimpang daripada akidah sebenar.

Umat Islam seharusnya menjauhi pendakwah yang membawa 'kisah karut' seperti itu dengan meletakkan suatu sifat makhluk kepada Allah SWT, Maha Suci Allah SWT daripada sebarang persandaran sifat makhluk.

Alam pula terbahagi kepada dua iaitu alam zahir dan batin. Fahaman ini mengatakan Allah itu di dalam alam ghaib. Ada juga mengatakan di alam zahir di atas Arash. Kedua-duanya berfahaman Mujassimah kerana menjisimkan Tuhan berada di dalam alam atau di luar alam.

Mereka yang berfahaman Mujassimah ini tidak mampu menunjukkan Kitab Turath ataupun kalam para ulama Salaf As-Soleh yang menyatakan Allah itu adalah Alam Ghaib.

Pandangan yang mengatakan Allah itu alam ghaib sebenarnya berasal daripada Fahaman Karamiyyah Mujassimah pada zaman Salaf yang sangat bahaya. Akidah boleh rosak kalau berpegang dengan kata-kata mereka yang memasukkan Allah sebagai Alam Ghaib.

Ia bercanggah dengan Surah Al-Fatehah sendiri: "Segala puji hanya bagi Allah Tuhan sekalian alam." (Surah Al-Fatihah 1:2)

Ayat Al-Quran ini menunjukkan bahawa Allah tuhan sekalian alam termasuk Alam Zahir (nyata) dan Alam Bathin (ghaib). Alam ini termasuklah alam manusia, jin, haiwan, tumbuhan juga alam para malaikat di Alam Malakut. Keseluruhan Alam adalah ciptaan Allah.

Allah tidak boleh disifatkan sebagai objek yang boleh memasuki alam Ghaib. Ia telah mencemarkan makna Subhana Allah (Maha Suci Allah).

Konsep alam jika diteliti secara keseluruhannya adalah merupakan Makhluk (Yang Di-Cipta).

Definisi Pertama bagi alam adalah dunia atau bumi. Kemudian kedua adalah segala makhluk yang ada di langit dan di bumi. Ketiga, lingkungan masa dan ruang yang meliputi jirim, jisim dan aradh.

Dalam bahasa Arab, secara literal alam dinyatakan sebagai al-'ālam. Ia didefinisikan
sebagai hasil ciptaan keseluruhan. Alam itu dicipta dan merupakan makhluk. Kalau dikatakan allah berada di dalam alam ghaib yang dicipta ini bermakna Allah juga dicipta kerana berada dalam alam yang dicipta.

Kata jamaknya ialah Al-'ālamin yang bermakna sekalian alam. Kata akarnya adalah 'Alm iaitu tanda. Ia adalah tanda kewujudan Allah. Ia sinonim dengan Al-Khalq iaitu ciptaan seperti yang tercatat dalam Lisanul Arab Ibn Manzhur.

Dari segi istilah sebagaimana diterangkan oleh Imam al-Ghazali, alam ialah setiap Maujud (Yang diadakan) selain daripada Allah SWT.

Konseps alam menurut Imam Al-Ghazali menjadi asas rujukan dan kerangka dalam mentanzihkan Ilahi.

Untuk itu, pengertian alam termasuk alam zahir (nampak) dan alam bathin (ghaib) oleh Imam Al-Ghazali adalah Makhluk seperti katanya "Alam merupakan setiap Mawjud selain daripada Allah SWT"

Peranan Allah SWT sebagai Pencipta (Al-Khāliq ) yang Maha Esa dengan waḥdāniyyah (keeasaanNya) dan tanzīh (kemahasucianNya) yang tidak wujud bersamanya apa-apapun sebelum diciptakan alam (Makhluk).

Secara asas, Allah SWT sebagai Pencipta segala sesuatu telah diterangkan dalam Al-Quran sebagai aḥdāniyyah yang bersifat menafikan segala kekurangan.

Mensifati Allah dengan alam ghaib telah mencemarkan sifat Allah yang suci. Maha suci Tuhan Mu yang Maha Agong daripada apa yang mereka sifatkan.

Akibat mengharamkan tradisi ulama Al-Asyairah & Al-Maturidiyyah, akhirnya puak ini menjisimkan Tuhan. Semoga Allah menyelamatkan anak bangsa kita daripada Fahaman Mujassimah Mujarrimah Musyabbihah Karamiyyah yang berbahaya ini.


Penulis Fellow Counter Narrative Centre for Countering Violent Extremism (CONCAVE), Islamic and Strategic Studies Institute (ISSI) dan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 6:01 AM