MENGAMBIL sedikit bahagian daripada daging korban untuk dimakan dan selebihnya disedekahkan kepada asnaf fakir dan miskin. FOTO Arkib NSTP
MENGAMBIL sedikit bahagian daripada daging korban untuk dimakan dan selebihnya disedekahkan kepada asnaf fakir dan miskin. FOTO Arkib NSTP
Ustaz Mohd Amirul Kamarudin

Sambutan hari raya Aidilfitri disambut begitu meriah di sepanjang bulan Syawal. Dan sebulan selepas itu, tumpuan umat Islam terarah kepada persiapan menyambut ibadah haji ‎dan ibadah korban.

Tidak semua mampu dan berpeluang menunaikan ibadah haji disebabkan banyak faktor, tapi Allah memberi peluang seluas-luasnya bagi yang belum 'sampai seru' untuk melaksanakan ibadah korban.

Tiada lagi istilah tidak mampu atau tidak berpeluang melainkan pilihannya adalah tidak mahu.

Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Saiyidatina Aisyah R.Anha. Sabda ‎Rasulullah SAW yang bermaksud: ‎"Tiada amalan anak Adam yang lebih dicintai Allah SWT pada hari Aidiladha selain dari ‎menumpahkan darah iaitu menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan ‎yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat kelak lengkap dengan tanduk, ‎bulu dan kukunya (sebagai saksi). Dan sesungguhnya darah sembelihan korban itu ‎yang jatuh ia daripada Allah pada suatu tempat kemuliaan sebelum ia jatuh ke bumi. ‎Maka tenanglah jiwamu dengan melaksanakannya". (Hadis Riwayat At-Tirmidzi: 1498)‎

Berdasarkan hadis ini, dapat kita fahami bahawa perbezaan cara bagaimana untuk merayakan Aidilfitri di bulan Syawal dan Aidiladha di bulan Zulhijjah adalah sangat berbeza.

Bila mana umat Islam diperintahkan untuk menyembelih haiwan korban hanya dalam bulan Zulhijjah sahaja dan tidak dilakukan pada bulan lain. ‎

Lantaran itu, antara persiapan yang perlu dilakukan seseorang yang ingin melakukan ibadah korban ialah:

• Ikhlaskan niat hanya semata-mata mendekatkan diri kepada Allah SWT sesuai dengan pengertian ibadah korban yang sebenarnya.

• Memilih haiwan korban yang terbaik dan paling banyak dagingnya jika mampu atau menghadirkan diri pada acara sembelihan haiwan korbannya.

• Memperbanyakkan amalan sunat seperti berpuasa sunat, berzikir dan berdoa di sepanjang 10 hari pertama dalam bulan Zulhijjah.

• Mengambil sedikit bahagian daripada daging korban untuk dimakan sebagai 'tabarruk' iaitu keberkatan dan selebihnya disedekahkan kepada asnaf fakir dan miskin.

Manakala bagi mereka yang ingin menjadi pengedali ibadah korban sama ada di masjid atau di surau ataupun badan NGO dan Syarikat Sdn Bhd hendaklah memastikan perkara berikut:

• Menawarkan harga pakej ibadah korban yang berpatutan mengikut kesesuaian berat dan kualiti haiwan terbabit.

• Mendapatkan bekalan haiwan ternakan seperti lembu dan kambing daripada pembekal ternakan yang beragama Islam, bersifat jujur dan amanah. Dalam masa sama, secara tak langsung ia dapat membantu memperkasakan ekonomi umat Islam.

• Membuat pemeriksaan terhadap haiwan ternakan bagi memenuhi syarat-syarat sah sembelihan korban, antaranya sihat tubuh badan, cukup umur, tiada cacat fizikal dan sebagainya.

• Mendapatkan permit sembelihan daripada pihak veterinar dan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan jika perlu.

Jika kita dapat memahami dan menghayati falsafah sebenar ibadah korban, sudah pasti kita akan bersungguh-sungguh untuk melakukannya dengan sebaik mungkin kerana ibadah korban ini hanya boleh dilakukan setahun sekali iaitu pada hari nahar dan hari tasyrik (10-13 Zulhijjah).

Contohnya, jika sekiranya seseorang itu meninggalkan solat (kerana keuzuran) pada waktunya, maka hendaklah diganti pada waktu yang lain.

Begitu juga jika seseorang itu meninggalkan puasa Ramadan (kerana keuzuran), ia boleh digantikan pada hari yang lain.

Tetapi, jika meninggalkan ibadah korban ‎pada tahun semasa, maka ia tidak boleh digantikan pada tahun berikutnya.‎

Justeru, tekadkan azam dan niat di hati untuk melakukan ibadah korban dengan bersungguh-sungguh hanya kerana untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, tidak kira di mana sahaja ibadah korban itu dilakukan, sama ada dalam atau di luar negara.

Semoga Allah Taala menerima ibadah korban kita, amin.

Penulis pendakwah bebas dan Penasihat Syariah EZ Qurban Sdn Bhd

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 7:02 AM