GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Prof Madya Dr. Mohd Hizam Hanafiah

PAHAMAN pelampau keganasan adalah suatu pemikiran dan ideologi yang melampau, ganas dan cenderung menggunakan kekerasan. Ia mempunyai dimensi agama, bangsa, politik, sosial dan transnasional atau gabungan antara dimensi ini.

Di Malaysia, fahaman ini bermula dengan komunis yang dibawa masuk dan mencetuskan pertumpahan darah dan keganasan.

Kekejaman pengganas komunis berlarutan sekalipun darurat ditamatkan yang menyebabkan pasukan keselamatan sentiasa menjalankan operasi bagi membanteras elemen komunis.

Selain kehebatan pasukan tentera, Cawangan Khas PDRM sudah menubuhkan sebuah pasukan khas yang mengumpul, membuat risikan dan merancang strategi untuk mengalahkan komunis dan berjaya menangkap sekitar 1,700 orang serta mematahkan pelbagai siri rancangan komunis.

Perisitwa 13 Mei 1969 juga berkaitan dengan fahaman pelampau yang membawa kepada keganasan dan tercetus disebabkan faktor politik perkauman.

Namun, puncanya bermula lebih awal disebabkan tindakan golongan tertentu yang membahayakan kemandirian orang Melayu yang mengakibatkan orang Melayu menubuhkan Gerakan Sabilillah pada 1940-an untuk mempertahankan kesucian Islam, mempertahankan orang Melayu yang diseksa dan dibunuh dengan kejam oleh pengganas komunis.

Walaupun Perjanjian Damai Hadyai 1989 menandakan berakhirnya komunis, ancaman neo-komunisme masih berlaku.

Pasca darurat 1960 menunjukkan fahaman pelampau berpaksikan agama menimbulkan ancaman keselamatan bermula dengan Tentera Sabilullah (1966) yang asalnya bersifat perkauman, kemudian bertukar menubuhkan negara Islam secara kekerasan.

Seterusnya Kumpulan Rohaniah (1971) bermatlamat menggulingkan kerajaan secara kekerasan bagi menubuhkan sebuah negara Islam dan menghapuskan sistem beraja.

Koperasi Angkatan Revolusi Islam Malaysia (1974) mendatangkan ancaman apabila menjalankan dakyah untuk menumbangkan kerajaan yang memerintah melalui aktiviti militan dan tindakan keganasan serta mewujudkan sebuah Republik Islam.

Kumpulan Crypto (1977) muncul dengan pengasasnya mengaku sebagai Imam Mahdi yang datang untuk menyelamat dunia, menggunakan 'sihirnya' untuk mendapatkan sokongan selain menubuhkan Kerajaan Teokratik melalui Jihad dan menubuhkan 'Kerajaan Isa'.

Ancaman seterusnya adalah Kumpulan Mohamad Nasir Ismail (KMNI) (1980) yang mengaku sebagai Imam Mahdi untuk melindungi manusia daripada kebinasaan dan Dajjal.

Sebagai 'Tentera Tuhan di Atas Muka Bumi', KMNI menyerang Ibu Pejabat Polis Batu Pahat pada 16 Oktober 1980 sebagai usaha awal menjadikan Malaysia sebuah 'Negara Islam'. Lapan ahli kumpulan ini ditembak mati, lapan ditahan, dengan 17 anggota PDRM dan orang awam tercedera.

Serangan ini dianggap sebagai serangan pertama oleh militan berasaskan Islam di Malaysia.

Pertempuran pasukan keselamatan dengan Kumpulan Ibrahim Libya yang juga mengakibatkan pertumpahan darah berlaku melalui Peristiwa Memali (1985).

Seramai 14 ahli kumpulan dan empat anggota PDRM terkorban dalam konfrontasi ini, 37 tercedera dan seramai 166 orang ditahan selepas Peristiwa Memali.

Seterusnya Kumpulan Jundullah (1987) ditubuhkan di Kelantan dengan pengasasnya adalah bekas pemimpin sebuah parti politik.

Ahli direkrut, menjalani latihan militan dan dihantar berlatih dengan kumpulan tertentu di negara jiran.

Objektifnya adalah menumbangkan kerajaan dengan tindakan keganasan (sanggup 'berperang' dengan kerajaan) dan mewujudkan sebuah 'Negara Islam'.

Kumpulan Mujahidin Kedah (KMK) (1986) menekankan jihad sebagai matlamat utama dan negara Islam sebenar hanya dapat ditubuhkan jika setiap Muslim memiliki Roh Jihad.

Sebahagian ahlinya adalah aktivis muda sebuah parti politik dengan ahlinya digalakkan untuk mati syahid sebagai puncak tertinggi iman.

KMK dibubarkan pada Mei 1989 dan operasi PDRM menemui tiga bom tangan, enam pistol, sebilangan peluru dan alat membuat bom.

Kumpulan Perjuangan Islam Perak (KPIP) (1986) ditubuhkan oleh pemimpin muda sebuah parti politik dengan objektif menyediakan ahli dengan latihan ketenteraan yang intensif bagi menumbangkan kerajaan yang sah untuk memastikan wujudnya 'Kerajaan Islam' sebenar.

KPIP melakukan beberapa aktiviti keganasan di Ipoh dan Teluk Intan sebelum kemudian dibubarkan pada Mei 1989.

Seterusnya Al-Arqam sebagai gerakan dakwah yang menjadi isu besar apabila diharamkan kerajaan kerana menimbulkan ancaman keselamatan kerana mewujudkan Unit Tentera Badar yang menjalani latihan militan di sebuah negara jiran, ingin menumbangkan kerajaan dan mewujudkan 'Negara Islam'.

Selepas itu, muncul Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) atau Kumpulan Militan Malaysia (1995) yang menyasarkan pelajar yang mendapat pendidikan di Timur Tengah, India dan Pakistan.

KMM menjadi terkenal apabila mereka merompak bank di Petaling Jaya dan menjalankan beberapa kegiatan jenayah dan militan seperti percubaan mengebom gereja, kuil Hindu dan pusat video, menyerang balai polis, kononnya untuk membentuk sebuah masyarakat Muslim Malaysia yang suci melalui jihad.

Akhir sekali Al-Maunah (1999) terkenal kerana serbuan berani ke atas sebuah Kem Askar di Gerik, Perak.

Siasatan pasukan keselamatan menunjukkan Al-Maunah berusaha meletupkan sebuah kilang arak dengan pelancar roket, merosakkan kuil Hindu, menentang konsep pilihan raya dan ingin menegakkan 'Negara Islam' di Malaysia dengan melanggar undang-undang dan tindakan keganasan.

Rajah 1 meringkaskan evolusi modus operandi dan ideologi fahaman pelampau keganasan sebelum era Salafi Jihadi.

Antara elemen awal adalah penggunaan unsur kerohanian, mistik dan ajaran sesat, selain menyalahgunakan dalil al-Quran dan al-Hadis, dengan sebahagiannya dipengaruhi oleh gerakan haraki.

Kumpulan ini mengumpul senjata tradisional dan moden, mendapat latihan militan sebelum aktiviti bertukar ke arah aktiviti keganasan seperti membakar, rompakan bersenjata, mengebom, berusaha membunuh, membunuh dan menyeru kerajaan sedia ada ditumbangkan.

Doktrin dan seruan jihad yang salah disebarkan bagi membenarkan setiap dakwaan dan tindakan, selain 'doktrin mati syahid' dan misi menubuhkan negara Islam mengikut acuan sendiri adalah elemen penting kumpulan fahaman pelampau keganasan sebelum Salafi Jihadi.

Elemen 'Imam Mahdi' wujud dalam beberapa kumpulan walaupun tidak dominan seperti penubuhan 'Negara Islam'.

Penulis Pakar Rujuk Kes Keganasan dan Saksi Pakar Akta Kesalahan Keselamatan (Sosma) 2012 dan Felo Kanan Bersekutu Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 6:00 AM