WALAU apa pun jenis pekerjaan yang dilakukan, perkara paling utama adalah melaksanakannya dengan kesungguhan.
WALAU apa pun jenis pekerjaan yang dilakukan, perkara paling utama adalah melaksanakannya dengan kesungguhan.
Kolonel Datuk Mohd Ajib Ismail

Sebelum acara perhimpunan bulanan warga Jabatan Perdana Menteri bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula minggu lalu, kumpulan koir mendendangkan sebuah lagu yang pernah dipopularkan oleh seniman legenda, Allahyarham Sudirman Haji Arshad sekitar 1982 bertajuk Punch Card. Antara bait liriknya berbunyi: Di jalan raya ramai orang berpusu-pusu, ingin ke pejabat ikut tepat pada waktu, makan tengah hari bila saja sampai waktu, selesai bekerja kita pulang empat suku.

Lagu berkenaan mengetengahkan mesej kepentingan membudayakan sifat menepati masa dan rajin bekerja sekali gus menjauhi sifat lemah serta malas melalui pematuhan disiplin terhadap peraturan waktu bekerja. Amalan tersebut selaras dengan sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau daripada kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau daripada sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau daripada sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau daripada bebanan hutang dan penindasan manusia." (Riwayat Abu Daud)

Ajaran Islam menuntut umatnya agar sentiasa bersegera dalam melaksanakan pekerjaan dan amalan kebajikan serta menjauhi sifat bertangguh-tangguh. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hadid ayat 21 yang bermaksud: "Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal yang baik) untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit serta bumi yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya, yang demikian ialah limpah kurnia Allah diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar."

Berdasarkan ayat itu, Allah SWT memerintahkan agar bersegera dan berlumba-lumba mengerjakan amalan kebaikan bagi mendapatkan keampunan dan balasan syurga.

Perlumbaan yang digalakkan oleh Islam ialah perlumbaan dalam melakukan ketaatan dan amal soleh yang berterusan. Dalam hal ini, Allah SWT menggambarkan sifat Nabi Zakaria melalui firman-Nya pada Surah al-Anbiya ayat 90 yang bermaksud: "Maka Kami perkenankan doanya dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya) Yahya dan Kami perelokkan keadaan isterinya yang mandul (untuk melahirkan anak) baginya. (Kami limpahkan pelbagai ihsan kepada rasul-rasul itu ialah kerana) sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan dan sentiasa berdoa kepada Kami dengan penuh harapan serta gerun, takut dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami."

Nabi Muhammad SAW menjelaskan kebaikan perlu direbut dan diusahakan dengan bersungguh-sungguh. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Tidak boleh hasad kecuali pada dua perkara iaitu terhadap seseorang yang Allah anugerahkan harta lalu dia gunakan harta itu pada jalan kebenaran dan terhadap seseorang yang dianugerahkan ilmu lalu dia amalkan ilmu itu serta diajarkannya kepada manusia lain." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW mengingatkan agar menjauhi sifat bertangguh atau melambat-lambatkan pekerjaan kerana dikhuatiri menjadi tabiat yang akhirnya menjadikan kita umat yang gagal mengecapi kecemerlangan. Dalam konteks pentadbiran sesebuah kerajaan, amalan kesegeraan berupaya mencipta lebih banyak peluang kemajuan dan faedah kepada negara dapat ditingkatkan. Perdana Menteri memberikan contoh tentang kelulusan segera yang diberikan oleh Arab Saudi dalam urusan pelaburan antara dua negara melonjakkan prestasi negara berkenaan ke tahap yang lebih tinggi. Sifat bertangguh adalah penyakit rohani yang banyak membawa kerugian dalam kehidupan. Justeru Nabi Muhammad SAW menganjurkan agar bersegera melakukan amalan kebajikan melalui sabdanya yang bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati." (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Walau apa pun jenis pekerjaan yang dilakukan, perkara paling utama adalah melaksanakannya dengan kesungguhan sebagaimana maksud sebuah hadis: "Tetapi Allah kasih kepada pekerja (yang melakukan sesuatu amalan) yang apabila dia melakukan sesuatu amalan hendaklah melakukannya dengan baik." (Sunan al-Baihaqi)

Baru-baru ini tular video seorang pemuda yang bekerja sebagai pekerja pembersihan dan mengutip sampah. Walaupun dianggap sebagai pekerjaan yang tidak popular, tetap dilakukannya dengan penuh dedikasi. Video berkenaan membuka mata kita untuk lebih menghargai setiap pekerjaan walau sekecil mana pun dan sentiasa berbuat baik.

Berita kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan oleh Perdana Menteri sempena Hari Pekerja yang lalu disambut baik oleh semua pihak. Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa golongan kecil yang menjadi perosak dalam penjawat awam tidak akan mendapat habuan sama iaitu yang bersifat malas dan lembab. Bahkan mana-mana penjawat awam yang tidak mempamerkan prestasi baik, pemalas dan sering lewat datang kerja, tidak layak menerima kenaikan itu. Beliau menggesa penjawat awam membudayakan kecepatan dan kepesatan dalam pelaksanaan tugas supaya dasar yang dirangka kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Hanya dengan sifat cekap dan pantas dalam melaksanakan tugas akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti.

Sahibus Samahah Mufti Pulau Pinang pula berpandangan bahawa jika seseorang pegawai atau pekerja tidak bersungguh-sungguh menunaikan pekerjaannya atau bekerja sekadar 'melepaskan batuk di tangga' sahaja maka dia dikira mengkhianati amanah yang diberikan kepadanya.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2024 @ 6:00 AM