PERNIAGAAN mikro, kecil dan sederhana sentiasa diberi perhatian dan bantuan bagi meningkatkan ekonomi rakyat. Gambar hiasan
PERNIAGAAN mikro, kecil dan sederhana sentiasa diberi perhatian dan bantuan bagi meningkatkan ekonomi rakyat. Gambar hiasan
Dr Zuraimy Ali

Dasar Kerajaan Malaysia menghapuskan miskin tegar merupakan usaha dan niat murni bagi memastikan keselesaan hidup rakyat manakala institusi zakat pula turut membantu golongan tersebut telah pun berjalan seiring dengan tekad dan aspirasi Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan institusi zakat di Malaysia dapat menggembleng usaha bersama menyelesaikan isu miskin tegar. Maqasid atau tujuan pensyariatan bagi ibadah zakat merupakan amalan yang dituntut oleh agama bagi  membantu golongan fakir miskin yang termasuk dalam kalangan kategori asnaf. Hal in bertepatan dengan perintah Allah SWT yang bermaksud "Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Rasul Allah supaya kamu beroleh rahmat." (Surah An-Nur ayat 56)

l Perdana Menteri menegaskan bahawa tatakelola pengagihan zakat harus diberikan tumpuan dan keutamaan agar pengagihan dapat dilaksanakan secara adil dan mencapai golongan sasaran. Beliau menyatakan contoh bagaimana tata kelola baik dilakukan oleh Khalifah Bani Umayyah Umar Abdul Aziz memanfaatkan zakat dalam memastikan negara kurang kemiskinan dibandingkan tata kelola pemerintah sebelumnya.

Memetik pandangan Dr Yusuf Al-Qardhawi dalam kitab fiqh zakat memberitahu bahawa duit zakat boleh digunakan oleh pemerintah dalam program pembasmian kemiskinan seperti menciptakan peluang pekerjaan buat penerima zakat agar mereka boleh mengubah taraf hidup mereka ke arah yang lebih baik bahkan terdapat banyak agensi Baitul Mal di Malaysia telah melakukan transformasi kaedah pemberian zakat dengan pendekatan 'memberikan mereka joran tidak lagi ikan' agar transformasi asnaf bukan sahaja mampu keluar daripada belenggu kemiskinan bahkan mampu membina usahawan asnaf yang berdaya saing hasil kebijaksanaan Baitul Mal.

Seruan Anwar terhadap tatakelola yang baik di dalam institusi zakat merupakan tunjang kepada urus tadbir yang lebih tersusun, dinamik, progresif dan benar-benar memahami aspirasi Kerajaan Malaysia untuk bersama membina cita-cita murni bagi mengangkat maruah umat Islam dan mengembalikan kegemilangan institusi zakat dalam pandangan masyarakat.

Ini bersesuaian dengan dasar menoktahkan kemiskinan tegar sebagai gagasan dan iltizam yang menjadi tekad kerajaan Malaysia dalam melaksanakan pelbagai bentuk polisi demi kepentingan ummah. Usaha menoktahkan kemiskinan tidak pernah luput bahkan Anwar telah menyatakan perkembangan terkini pembasmian miskin tegar di Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor sudah pun mencapai status 100 peratus kejayaan. Walhasil daripada tatakelola yang baik mampu menjadikan institusi zakat bergerak ke hadapan dengan mengambil pendekatan baharu dengan memastikan setiap keluarga asnaf yang berdaftar dengan pihak Baitul Mal negeri perlu diberikan perhatian serius dengan memastikan peluang pendidikan perlu diberikan keutamaan seperti pendidikan TVET, keusahawanan, pelaburan dan perniagaan mikro, kecil dan sederhana serta lain-lain lagi perlu dilaksanakan segera.

Usaha ini telah pun dimulakan oleh Timbalan Perdana Menteri 1 merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memperkemaskan agensi terkait dengan TVET dan keusahawanan mampu disinergikan bersama dengan pelbagai syarikat korporat besar dan syarikat berkaitan kerajaan dengan ikatan kerjasama pihak Baitul Mal setiap negeri.

Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga boleh bersama menjalinkan usaha membuka peluang kepada keluarga asnaf dengan menyediakan pelan rancangan masa depan terhadap keluarga asnaf melalui program yang telah direka khusus bagi menjadikan bidang keusahawanan dan pertanian mampu ditingkatkan melalui kerjasama kukuh dengan Baitul Mal. Ini mampu menjadikan gagasan Malaysia Madani selari dengan gagasan Rabbani yang dicetuskan melalui firman Allah SWT yang bermaksud:

"Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah daripada rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!" (Surah Saba' ayat 15) 

Dengan usaha memperkukuhkan tatakelola dan sedia melakukan anjakan paradigma terhadap usaha reformasi dan transformasi institusi zakat diharapkan Kerajaan Malaysia mampu mencapai indeks kebahagiaan rakyat yang tinggi dan seterusnya mengukuhkan keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat di Malaysia.

Penulis ingin merakamkan penghargaan buat Universiti Teknologi Mara cawangan Perlis kampus Arau di atas dana penyelidikan Geran Inovatif Zakat (GIZA) UiTM Cawangan Perlis dengan kod rujukan 600-UiTMPs (PJIM&A/UPP-GIZA 2/2022) bertajuk 'Kepimpinan Transformasi Unit Zakat UITM Cawangan Perlis Dan Hubungannya Dengan Tahap Keyakinan Agihan Dan Tahap Kepuasan Pelanggan.' Tidak dilupakan juga kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Perlis (MAIPs) dan seluruh pihak yang terlibat dalam kajian ini. Semoga Malaysia terus subur mewangi dengan syariat Allah SWT dengan gagasan baldatun taiyyibatun warabbun ghafur.


Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 6:01 AM