GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Dr Mohd Shukri Hanapi

Guru golongan terlibat secara langsung dalam melaksanakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran (P&P) bagi meningkatkan mutu pendidikan serta memastikan hasil pembelajaran yang maksimum diperoleh pelajar sekolah.

Hal ini kerana pendidikan yang terancang dan bermutu hanya boleh terhasil apabila seseorang guru memiliki profesionalisme yang tinggi. Keadaan ini menunjukkan pendidikan itu sendiri tidak dapat dibangunkan dan dikembangkan tanpa pembabitan guru yang cemerlang dan berkualiti. Guru menjadi pemangkin kepada keberkesanan sesuatu pendidikan yang seterusnya melahirkan insan cemerlang.

Terdapat dua alat utama yang digunakan sebagai medium penyampaian ilmu dalam proses pendidikan iaitu akal dan hati. Kedua-kedua alat ini membentuk strategi, kaedah dan pendekatan pendidikan akal ke akal, akal ke hati, hati ke akal dan hati ke hati (berasaskan kalbu). Daripada keempat-empat kaedah ini, pendidikan berasaskan kalbu menjadi keutamaan untuk dibincangkan. Hal ini kerana kaedah akal ke akal, hati ke akal dan akal ke hati hanya memberi tumpuan kepada ilmu tanpa amal. Perkara ini berbeza dengan kaedah dan pendekatan berasaskan kalbu yang bukan saja menumpukan ilmu, tetapi juga kepada amalannya.

Pendidikan berasaskan kalbu menganjurkan pembersihan hati (tazkiyah al-nafs) yang berterusan dan berkekalan. Ia menggariskan lima penawar bagi merawat hati.

Pertama, membuang sifat mazmumah seperti ego, ujub dan takbur; kedua, memakan makanan yang halal lagi bersih; ketiga, istiqamah dalam menuntut ilmu; keempat, sentiasa ingat kematian dan kelima, sentiasa membaca, memahami serta beramal dengan al-Quran.

Seseorang guru yang menggunakan hati sebagai sebahagian pendekatan dalam proses P&P untuk menyampaikan ilmu kepada pelajarnya, ilmu disampaikan itu akan masuk ke hati.

Pendidikan dari akal kepada akal pula hanya mempamerkan dengan wujudnya pengajar dan pelajar sekarang yang memisahkan kefasihan ilmu daripada tatakelakuan. Mereka tahu pelbagai perkara, tetapi jarang sekali mengamal apatah lagi memperjuangkannya. Amat aneh jika pelajar mengamalkan ilmu sedangkan pengajarnya sendiri hanya meletakkan ilmu yang diajar di akalnya, hingga perkara diajar tidak terpamer dalam tingkah lakunya sendiri. Sifat begini sangat dibenci oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan perkara yang kamu tidak melakukannya? Amat besar kebenciannya di sisi Allah jika kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya." (Surah al-Saff ayat 3)

Oleh yang demikian, natijah daripada kesepaduan antara akal dengan hati dan ilmu dengan amal adalah melahirkan manusia bertakwa serta mengabdikan diri kepada Allah SWT. Ilmu mendidik hati, kemudian hatilah yang mendidik akal. Ilmu itu seumpama pembimbing dan amal itu seumpama pengikut. Pengikut tanpa pembimbing boleh menyesatkan manakala pembimbing tanpa pengikut adalah sia-sia. Dengan kesepaduan akal dengan hati dan ilmu dengan amal juga, ilmu akan menjadi makanan hati serta akan menghidupkan hati. Sebaliknya, ilmu tidak hanya boleh difahami melalui akal semata-mata, namun perlu difahami dengan akal dan hati.

Membentuk dan membina pendekatan pendidikan berasaskan kalbu perlu beracuankan tasawur Islam. Menurut Sayyid Qutb dalam Khasa'is al-Tasawwur al-Islamiy wa Muqawwimatih, tasawur Islam berasaskan wahyu ini lengkap semua ciri dan komponennya. Ia diterima oleh manusia sepenuhnya. Tugas manusia untuk menyesuaikan diri mereka dengannya dan mengamalkan segala keperluannya dalam kehidupan.

Islam amat mementingkan kualiti dan menyeru umatnya untuk sentiasa tekun dan bersikap ihsan dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Hal ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Syaddad bin Aus bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mewajibkan supaya selalu bersikap ihsan (baik) terhadap setiap sesuatu. Oleh itu, apabila seorang daripada kamu hendak membunuh, bunuhlah dengan cara yang terbaik dan apabila seorang antara kamu hendak menyembelih, perelokkan sembelihannya dengan menajamkan mata pisaunya serta memberi keselesesaan kepada sembelihannya." (Riwayat Muslim)

Pendidikan adalah satu gerak amal insani mementingkan kualiti dalam pelaksanaannya. Mutu dalam pendidikan bermaksud proses pembinaan yang direka dengan tujuan memperbaiki penghasilannya. Menurut Saleh Nasir Alimat dalam Idarah al-Jawdah fi al-Muassasat al-Tarbawiyyah, kualiti pendidikan ini terangkum dalam tiga perkara. Pertama, quality of design iaitu menentu dan menetapkan bentuk, spesifikasi dan ciri-ciri dalam pendidikan.

Kedua, quality of performance iaitu melakukan sesuatu tindakan berdasarkan spesifikasi ditetapkan dan ketiga, quality of output iaitu menghasilkan produk pendidikan serta perkhidmatan mengikut ciri dan speksifikasi ditetapkan.

Menyentuh tentang kualiti pendidikan, ia tidak dapat dipisahkan dengan kualiti guru. Hal ini kerana guru yang mengisi ruang pendidikan abad ini perlu memiliki kekuatan jiwa dan kualiti peribadi yang menyeluruh untuk mendepani cabaran pendidikan masa kini. Guru bukan saja bergerak untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam industri dan teknologi, perkhidmatan dan pengurusan, perdagangan dan ekonomi, tetapi pada masa sama juga mesti melahirkan insan beretika, berakhlak mulia, memiliki sahsiah mulia, bertanggungjawab dan patuh kepada Allah SWT.

Dalam Kitab Ihya' Ulum al-Din, Imam al-Ghazali menghasilkan satu model guru berkualiti dan cemerlang dengan memberi penekanan terhadap beberapa aspek yang perlu ada pada diri, jiwa dan pengamalan seseorang guru. Antaranya ialah sentiasa berkasih sayang dan rasa simpati terhadap keperluan pelajarnya. Hal ini boleh berlaku apabila guru itu menganggap pelajarnya itu bagai anak sendiri dengan melayani kerenah mereka tanpa jemu. Selain itu, guru yang berkualiti dan cemerlang juga perlu menekuni dan mengamalkan sunah Rasulullah SAW dalam segenap aspek kehidupan. Bahkan guru yang cemerlang dan berkualiti adalah guru yang tidak meminta upah atau ganjaran dalam menjalankan tugasnya sebagai pendidik.

Di samping itu, Imam al-Ghazali juga turut memberi penekanan terhadap guru agar sentiasa menasihati pelajarnya supaya meninggalkan perkara buruk dan maksiat dengan berhemah serta lemah lembut.

Model guru berkualiti Imam al-Ghazali ini menunjukkan bahawa, ketakwaan dan hubungan dengan Allah SWT asas utama sebagai seorang pendidik yang ingin merubah dan membentuk tingkah laku pelajar. Berasaskan keimanan mantap dan utuh, akan lahirlah sahsiah unggul dan mulia yang perlu dimiliki oleh seseorang insan. Setiap guru juga perlu menguasai aspek komunikasi, ilmu pengetahuan agama dan isi pelajaran yang ingin disampaikan kepada pelajar.

Al-Nadwi dalam Nahw al-Tarbiyyah al-Islamiyyah al-Hurrah fi al-Hukumat wa al-Bilad al-Islamiyyah turut menjelaskan guru yang bermutu akan sentiasa mengingatkan pelajarnya tentang matlamat utama pendidikan iaitu untuk mengecapi kebahagiaan dunia dan akhirat. Oleh itu, al-Nadwi menegaskan, bagi menjayakan agenda pendidikan melalui P&P ini, pemilihan guru antara perkara penting yang perlu diberi perhatian. Seseorang guru tidak dipilih hanya kerana kelayakan akademik semata-mata, bahkan patut dilihat daripada sudut keimanan, akhlak dan keperibadiannya. Hal inilah perkara yang cukup penting diberi perhatian dalam proses pemilihan guru, agar guru itu benar-benar memiliki kualiti mengikut tasawur Islam.

Di samping itu, aspek keperibadian juga menjadi faktor peningkatan kualiti seseorang guru. Keperibadian ini dapat ditonjolkan dan diamalkan melalui keperibadian terhadap Allah SWT, diri sendiri dan terhadap pelajar. Hal ini kerana tingkah laku dan amalan guru menjadi contoh kepada pelajar. Maka seharusnya setiap guru memiliki keperibadian yang mulia lebih-lebih lagi guru Pendidikan Islam.

Kesimpulannya, pendidikan berasaskan kalbu ini mengutamakan hati sebagai alat penyampaian dan penerimaan ilmu. Oleh itu, hati perlu melalui proses tazkiyah al-nafs kerana akan memberi kesan terhadap proses pembinaan kualiti guru. Amal soleh, ihsan dalam mendidik, melakukan tugas dengan sempurna termasuk ikhlas beramal kerana Allah dan beramanah dalam menjalankan tugas antara syarat utama patut dimiliki guru yang berkualiti menurut tasawur Islam.

Penulis Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 6:00 AM