SISTEM pewarisan atau pusaka yang kita amalkan kini melalui perubahan mengikut sesesuaian fitrah manusia.
SISTEM pewarisan atau pusaka yang kita amalkan kini melalui perubahan mengikut sesesuaian fitrah manusia.
Amirulhakim bin Ahmad Nadzri

SISTEM pewarisan dalam Islam atau lebih mesra dikenali dalam kalangan masyarakat Malaysia dengan istilah pusaka suatu perkara atau undang-undang yang ditampilkan dalam al-Quran. Walaupun begitu, sistem pewarisan ini mula diamalkan oleh masyarakat Arab sejak zaman jahiliah. Masyarakat ini memperkenalkan sistem pewarisan harta pusaka, namun sistem yang diamalkan oleh mereka jelas menunjukkan diskriminasi terhadap wanita dan kanak-kanak.

Namun setelah kedatangan Islam, sistem ini dihapuskan dan diganti dengan sistem yang lebih adil selaras dengan fitrah manusia.

Masyarakat Arab Jahiliah adalah masyarakat yang wujud sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai rasul terakhir Allah Taala. Masyarakat ini hidup dalam suasana yang penuh dengan kejahilan dan penindasan. Sistem pewarisan pada zaman Arab Jahiliah terdiri daripada dua asas iaitu syarat dan sebab pewarisan.

Syarat pewarisan jahiliah adalah ahli waris hendaklah daripada kalangan lelaki sahaja dan ahli keluarga hendaklah daripada kalangan orang yang baligh serta mempunyai kekuatan mengangkat senjata.

Adapun sebab pewarisan mengikut amalan masyarakat Arab Jahiliah adalah mempunyai hubungan kerabat dengan syarat pewaris itu memenuhi syarat pewarisan seperti lelaki, baligh dan mempunyai kekuatan fizikal.

Selain itu ia adalah melalui perjanjian setia yang dimeterai daripada kalangan anggota kabilah, tambahan pula melalui hubungan anak angkat lelaki.

Setelah perkembangan Islam khususnya pada awal penghijrahan Rasulullah dari Makkah ke Madinah, penghijrahan ini dijadikan sebab yang membolehkan golongan Muhajirin dan Ansar saling mewarisi di antara satu sama lain berpaksikan nama Islam. Pewarisan ini hanya dibolehkan bagi umat Islam yang berhijrah dan bersaudara di bumi Madinah sahaja. Sedangkan golongan yang sudah memeluk Islam, tetapi tidak berhijrah iaitu masih menetap di Makkah, mereka tidak boleh mewarisi harta saudara mereka yang berhijrah dan begitu juga sebaliknya.

Hal ini seperti firman Allah dalam Surah al-Anfal ayat 72 "Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah dan orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. Dan orang yang beriman yang belum berhijrah, kamu tidak bertanggungjawab sedikit pun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) agama, wajiblah kamu menolongnya kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan mereka dan (ingatlah) Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan."

Walaupun begitu, hukum pewarisan itu tidak berkekalan kerana Allah menurunkan ayat yang menasakhkan kaedah pewarisan dengan sebab hijrah iaitu pada Surah al-Ahzab ayat 6: "Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang yang beriman daripada diri mereka sendiri dan semua isterinya adalah menjadi ibu mereka. Dan orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak (mewarisi) akan sesetengahnya yang lain menurut (hukum) kitab Allah daripada orang yang beriman dan orang Muhajirin (yang bukan kerabatnya) kecuali kalau kamu hendak berbuat baik kepada sahabat karib kamu. Hukum yang demikian itu adalah tertulis dalam kitab Allah."

Jika ditinjau ayat di atas, harta pewarisan hanya berhak diwarisi oleh kaum kerabat iaitu mereka yang mempunyai pertalian kekeluargaan dengan si mati bukan diwarisi dengan sebab persaudaraan. Begitu juga Islam membatalkan pewarisan melalui anak angkat kerana anak angkat tidak mempunyai pertalian kekeluargaan dengan keluarga angkatnya. Ini selaras firman Allah dalam Surah al-Ahzab ayat 4 dan 5: "(Diperintahkan dengan yang demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya dan Dia tidak menjadikan isteri yang kamu 'ziharkan' itu sebagai ibu kamu dan Dia juga tidak menjadikan anak angkat kamu sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara) yang berkenaan itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dialah jua yang memimpin ke jalan yang betul."

Selain itu, Islam juga membatalkan pewarisan melalui perjanjian atau baiah yang dilakukan oleh dua pihak atau pihak tertentu yang pada awal permulaan Islam perwarisan dengan sebab ini diperakui dan diterima sebagaimana firman Allah dalam Surah an-Nisa ayat 33: "Dan bagi tiap-tiap (lelaki dan perempuan yang telah mati) kami tetapkan orang yang berhak mewarisi peninggalannya iaitu ibu bapa dan kerabat yang dekat serta mana-mana orang yang kamu telah membuat ikatan setia dengan mereka (untuk bantu-membantu dalam masa kecemasan dan kesusahan) maka berikanlah kepada mereka bahagiannya. Sesungguhnya Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu."

Bagaimanapun, kaedah pewarisan ini dinasakhkan oleh Allah melalui penurunan ayat 6 Surah al-Ahzab yang dinyatakan terdahulu apabila kaum kerabat si mati paling berhak menerima harta pewarisan iaitu: "Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang yang beriman daripada diri mereka sendiri dan semua isterinya adalah menjadi ibu mereka. Dan orang yang mempunyai pertalian kerabat, sesetengahnya lebih berhak (mewarisi) akan sesetengahnya yang lain, menurut (hukum) kitab Allah daripada orang yang beriman dan orang Muhajirin (yang bukan kerabatnya) kecuali kalau kamu hendak berbuat baik kepada sahabat karib kamu. Hukum yang demikian itu adalah tertulis dalam Kitab Allah."

Kesimpulannya, sistem pewarisan atau pusaka yang kita amalkan kini melalui perubahan mengikut sesesuaian fitrah manusia . Ia dimulai pada zaman Arab Jahiliah apabila berlaku penindasan kepada golongan tertentu dan lari daripada fitrah manusia. Kemudian setelah kedatangan Islam, sistem Arab Jahiliah itu perlahan-lahan digantikan dengan sistem lebih adil dan sesuai dengan fitrah manusia seperti yang kita nikmati kini.

Penulis Ketua Jabatan Syariah Islamiyyah, Kolej Islam As Sofa

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 5:59 AM