Antara adab seseorang Muslim dengan Muslim yang lain ialah baik dalam percakapan dan pergaulan dengan mengenepikan perbuatan mencela atau mencaci antara satu sama lain.
Dalam bahasa Arab mencela adalah berasal daripada perkataan al-Lamzu yang bererti al-Ta'nu (tikaman).
Ulama zaman silam seperti Mujahid, Ibn 'Abbas, Qatadah dan Sa'id bin Jubayr berkata, lumzun (celaan) itu bermakna al-Ta'nu (tikaman), iaitu jangan 'tikam-menikam' (cela-mencela) antara satu sama lain. (al-Tabariy, 1996, 11:391)
Berkaitan larangan ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu membunuh diri kamu." (Surah al-Nisa', 4:29). Maksud 'membunuh diri' di sini ialah perumpamaan bagi perbuatan mencela. Perbuatan mencela sesama umat Islam adalah seumpama membunuh diri sendiri.
Selain itu, ada juga ulama yang memberi makna al-Lamzu di sini dengan 'aib (cacat) (al-Qardawiy, 1993:302). Perkataan ini ada disebut juga di dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan di antara mereka ada orang yang mencelamu tentang (pembahagian) zakat." (Surah al-Taubah, 9:58)
Berdasarkan pengertian mencela di atas, jelaslah bahawa perbuatan mencela seseorang Mukmin seperti menusuk atau menikam orang tersebut dengan pedang yang tajam dari arah belakangnya.
Pentafsiran ini tepat sekali. Bahkan kadangkala tikaman lidah itu lebih hebat dan amat berbahaya. Seorang penyair Arab berkata: "Luka kerana tikaman tombak masih dapat diubati, tetapi luka kerana tikaman lidah sukar diubati."
Menurut al-Tabariy, perbuatan al-Lamz ini boleh dilakukan dengan menggunakan tangan, lidah dan mata. Manakala al-Hamz (mencaci) pula berlaku dengan menggunakan lidah sahaja. (al-Qurtubiy, 1993:16:214)
Terdapat perbezaan antara al-Sukhriyyah (mengejek) dan al-Lamz (mencela). Al-Sukhriyyah ialah menghina seseorang secara mutlak dengan tujuan untuk mentertawakannya. Ia berlaku ketika seseorang itu berada di hadapan pengejek.
Manakala perbuatan al-Lamzu hanya untuk membuka keaiban seseorang. Baik bertujuan untuk mentertawakannya atau ada tujuan lain di sebaliknya. Baik ketika seseorang itu berada di hadapan pencela atau tidak. Berdasarkan penjelasan ini, perbuatan al-Lamz lebih umum daripada perbuatan al-Sukhriyyah.
Allah SWT melarang orang Mukmin daripada mencela diri mereka sendiri, sama ada dengan perkataan, perbuatan atau isyarat. Dimaksudkan dengan mencela 'diri sendiri' ialah mencela sesama umat Islam kerana semua umat Islam itu bersaudara dan seperti satu jasad. Oleh itu, sesiapa yang bertindak mencela saudaranya daripada kalangan umat Islam, bermakna ia mencela dirinya sendiri.
Perlu difahami persaudaraan Islam itu persaudaraan yang hakiki berbanding persaudaraan seibu sebapa. Malah persaudaraan Islam itu lebih utama daripada persaudaraan seibu sebapa, kerana persaudaraan seibu sebapa itu ikatannya hanya di dunia ini sahaja, tetapi persaudaraan Islam pula ikatannya berterusan hingga ke Hari Akhirat.
Imam Muslim telah meriwayatkan daripada Nu'man bin Basyir bahawa Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud: "Perumpamaan orang Mukmin dalam kasih sayangnya, kemesraannya dan belas-kasihannya, laksana sebatang tubuh. Apabila salah satu anggotanya mengadu sakit, seluruh anggota yang lain turut merasa demamnya dan berjaga malam." (al-Nawawiy, 1996, 16:108, Hadith No. 2586)
Ini merupakan perumpamaan ringkas tentang persaudaraan Islam, tetapi ia mengandungi erti dan maksud yang begitu besar.
Perkara ini juga ada disebutkan dengan lebih jelas lagi di dalam hadis yang lain, iaitu diriwayatkan daripada Abu Hurayrah RA berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: "Janganlah kamu dengki mendengki, jangan tipu menipu, jangan benci membenci, jangan musuh memusuhi, jangan sesetengah kamu berjual-beli atas jual beli sesetengah yang lain dan jadilah kamu semua sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seseorang Muslim adalah saudara Muslim yang lain, tidak boleh menganiayainya, tidak boleh membiarkannya tertindas, tidak boleh mendustakannya dan tidak boleh menghinanya. Takwa itu berpunca dari sini! sambil baginda menepuk dadanya tiga kali. Memadailah seseorang itu dikira jahat, jika ia menghina saudaranya yang Muslim. Seorang Muslim kepada Muslim yang lain diharamkan darahnya, harta bendanya dan kehormatannya." (al-Bugha, 1994: 104)
Itulah empat sifat tercela yang ditunjukkan dalam hadis di atas supaya kita menjauhinya, agar mudah kita mencapai kedudukan sebagai hamba Allah SWT yang bersaudara.
Semua umat Islam di dunia ini boleh menganggap dirinya sebagai hamba Allah SWT, kerana mereka dicipta oleh Allah SWT daripada tiada menjadi ada. Akan tetapi belum tentu Allah SWT akan menerima pengakuan seseorang Muslim selagi ia masih belum membuktikan kepatuhannya kepada Allah SWT dan kepada Rasul-Nya.
Sebab itulah Allah SWT mengutuskan para Nabi dan Rasul kepada makhluk-Nya untuk membimbing mereka ke jalan yang diredai-Nya, agar mereka benar-benar menjadi hamba Allah SWT yang sentiasa mendapat perlindungan rahmat-Nya.
Seseorang Muslim terhadap saudara Muslimnya yang lain, hendaklah antara keduanya menunjukkan berbagai-bagai sifat mulia seperti saling berkasih sayang, saling hormat-menghormati, saling sayang-menyayangi, saling bantu-membantu dan sebagainya yang boleh menimbulkan kemesraan dan perpaduan dalam hidup aman damai dan bahagia.
Apabila terjalin ikatan seumpama itu, tentulah kedua-dua mereka tidak akan menzalimi yang lain atau menganiayainya, mendustakannya, menghinanya, membiarkannya tertindas oleh orang lain dan sebagainya, kerana sifat ini jelas bertentangan dengan sifat murni yang disebut dalam hadis di atas.
Tidak mungkin dua sifat yang bertentangan dilakukan serentak dalam satu masa ke atas seseorang, lalu ia mengaku bahawa orang itu saudaranya atau sahabatnya. Itulah petunjuk daripada hadis di atas.
Oleh itu Allah SWT mencela dan melaknati orang-orang yang suka mengutuk dan mencela sesama mereka, sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Kecelakaan besar bagi tiap-tiap orang yang mencaci dan mengeji." (Surah al-Humazah, 103:1)
Penulis Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia