Allah SWT menggesa umat manusia untuk melazimi amalan bersedekah sebagai tanda kepedulian dan ihsan sesama insan.
Firman Allah dalam Surah al-Hadid ayat 18, yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia."
Alangkah besar ganjaran yang dijanjikan kepada orang yang bersedekah sehingga digambarkan penyesalan bagi golongan yang tidak berkesempatan melakukannya atau alpa untuk bersedekah ketika pelbagai nikmat sedang dirasa.
Firman Allah dalam Surah al-Munafiqun ayat 10, bermaksud: "Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: "Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh."
Justeru, ajaran Islam tidak menghalang penganutnya untuk meraih kekayaan dan keuntungan dunia asalkan dapat kembali menyumbangkan manfaat kepada insan yang memerlukan sebagaimana yang ditunjukkan oleh para sahabat Rasulullah SAW dalam kalangan hartawan dan dermawan.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 77, bermaksud: "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan."
Sedekah paling afdal diberikan kepada ahli keluarga terdekat dan golongan yang memerlukan sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran Surah al-Nisa' ayat 36, yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri."
Amalan bersedekah boleh dilakukan sama ada secara terang-terangan bagi tujuan diteladani atau disembunyikan agar tidak menimbulkan perasaan riyak sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 271, bermaksud: "Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan."
Sedekah yang dihulurkan dengan keikhlasan akan menghapuskan dosa, membersihkan jiwa dan dapat ganjaran besar di akhirat.
Bagaimanapun, amalan bersedekah tidak seharusnya dirosakkan dengan sifat mengungkit, menghina dan mengaibkan mana-mana pihak yang akan mengakibatkan pahala kebajikan terhapus.
Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 262-263,, bermaksud: "Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya) dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar."
Pungutan sedekah pula hendaklah dilaksanakan dengan kaedah yang jujur dan betul agar pengagihan dapat dibuat kepada golongan sasaran yang tepat. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) baru-baru ini telah memberikan penekanan terhadap pengurusan tabung masjid dan surau bagi mengelakkan risiko penyelewengan dan ketirisan.
Garis panduan pengurusan tabung masjid dan surau dirangka merangkumi aspek pembukaan dan pengiraan wang tabung, tempoh masa kemasukan wang ke bank, prosedur perolehan pembelian yang membabitkan kos tinggi, mempamerkan kutipan wang kepada umum di papan kenyataan masjid dan surau, tatacara pelaburan dan orang yang diberi tanggungjawab membuat pungutan atau menerima derma bagi pihak masjid atau surau.
Jauhkanlah diri dari melakukan penipuan dan pembohongan dalam urusan sedekah bahkan semua lapisan masyarakat yang ingin menyalurkan sebarang bentuk bantuan sentiasa dinasihatkan agar menyemak kesahihan wakil yang menguruskan sumbangan serta mengambil langkah teliti demi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan. Amalan bersedekah terbukti memberikan impak yang besar dalam membangunkan sosioekonomi masyarakat sehingga dapat membina institusi penting seperti masjid dan surau, pusat pengajian, dan pelbagai bantuan kepada asnaf.
Susulan tragedi serangan tentera Israel ke atas Palestin, kutipan khas Jumaat digerakkan di masjid dan surau Jumaat seluruh Wilayah Persekutuan bagi membantu meringankan beban dan tekanan.
Perdana Menteri juga melancarkan Tabung Kecemasan Misi Bantuan Kemanusiaan Kepada Rakyat Palestin bagi mendorong pihak berkuasa agama negeri di seluruh negara membuat kutipan menerusi tabung tersebut. Selain itu, tambahan bantuan RM10 juta diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2024 serta menggesa syarikat dan orang ramai untuk ikut serta demi prinsip keadilan dan kemanusiaan sejagat. Pempengaruh media sosial seperti Khairul Aming dilaporkan memberikan sumbangan RM100,000 hasil jualan sambal nyet untuk Palestin.
Begitu juga sumbangan RM1 juta dari McDonald's Malaysia bagi menyahut hasrat murni kerajaan sebagai tanda sokongan terhadap mereka yang terjejas akibat konflik di Gaza bagi memenuhi aspek keperluan kritikal meliputi perubatan, makanan dan tempat tinggal. Semua tindakan itu bukti solidariti rakyat Malaysia sejak sekian lama terhadap penderitaan rakyat Palestin.
Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)