KEPATUHAN dan tunduk terhadap hukum syariat Allah SWT mampu menyelamatkan insan daripada kurungan api neraka.
KEPATUHAN dan tunduk terhadap hukum syariat Allah SWT mampu menyelamatkan insan daripada kurungan api neraka.
Oleh Dr Zuraimy Ali

Islam mendidik umat agar sentiasa peka dan meningkatkan iman serta amalan bagi menyelamatkan diri dan keluarga daripada seksaan api neraka. Hal ini sangat penting selari dengan peringatan Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluargamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan." (Surah At-Tahrim 66:6).

Peringatan keras ini memberikan kesan terhadap hati bagi setiap orang yang beriman supaya sentiasa patuh dan menuruti perintah dan larangan yang telah diputuskan Allah buat hamba-Nya. Kepatuhan dan tunduk terhadap hukum syariat Allah SWT mampu menyelamatkan insan dari kurungan api neraka yang sangat pedih.

Bagi menyelamatkan diri serta insan tersayang khususnya keluarga yang tercinta yang terbentuk atas dasar kasih sayang, belas kasihan serta tanda cinta yang hakiki bagi memaknai nilai kekeluargaan yang dibina puluhan tahun sudah pasti ianya mempunyai kenangan yang tidak mungkin dilupakan. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir" - (Surah Ar-Rum 30:21). Justeru, ayat ini memberikan kepada naluri insan untuk terus memastikan diri dan keluarga yang tercinta sentiasa kekal utuh kasih sayang yang berpanjangan sehingga ke syurga. Untuk itu, setiap insan perlu berusaha mengambil langkah awal menyelamatkan diri dan keluarga dengan memberikan bimbingan kasih sayang yang hakiki dan bermakna dengan cara mendidik, menyuburkan syariat Allah di dalam kekeluargaan, saling memberikan nasihat dan mewujudkan suasana yang soleh di samping memastikan segala anasir yang merosakkan nilai, adab dan syariat dihindari dengan segera.

Bagi mewujudkan kekeluargaan yang sentiasa selamat dan terhindar dari kerosakan nilai, adab dan syariat Allah SWT, hendaklah bagi seseorang yang diberikan amanah di dalam keluarga bermula dari suami/ayah, isteri/ibu serta anak-anak perlulah memainkan peranan penting bagi memastikan seluruh kehidupan berkeluarga memberikan dampak baik terhadap persekitaran dan membantu meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT seperti menyediakan ruang dan masa untuk sesi berhimpun bersama keluarga bagi memberi nasihat, mengajak anak-anak berhimpun di masjid bagi mengimarahkan masjid ataupun himpunan keluarga yang mampu memaknai dan membina nilai, adab dan menjunjung syariat Allah SWT. Perhimpunan sebegini perlu dirancang bagi memastikan usaha untuk mengukuhkan hubungan kekeluargaan dapat dieratkan serta mampu menerapkan kecintaan terhadap syariat agama Islam. Ini bersesuaian dengan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Abu Musa katanya: "Rasulullah SAW bersabda: Bahawa sesungguhnya sebesar-besar pahala yang diberikan kepada manusia yang sembahyang itu ialah mereka yang jauh perjalanannya kepada tempat sembahyang dengan berjalan kaki, kemudian orang lebih jauh lagi (lebih besar pahalanya). Dan orang yang menunggu waktu sembahyang hingga dia dapat sembahyang berjemaah bersama-sama imam adalah lebih besar pahalanya daripada orang yang sembahyang di rumah selepas itu dia tidur" - (Riwayat Muslim). Untuk itu, perhimpunan seluruh keluarga di masjid merupakan salah satu usaha yang mampu menterjemahkan nilai dan kasih sayang sebenar di dalam Islam bagi menyelamatkan diri dan keluarga daripada seksaan api neraka.

Justeru, terlalu banyak usaha yang boleh dilaksanakan bagi menyelamatkan diri dan keluarga daripada seksaan api neraka dan membantu membina keyakinan kukuh di dalam usaha untuk membawa gagasan keluargaku syurgaku. Jika hal ini dapat dipenuhi dan ditekuni dengan mendalam sudah pasti ianya akan menatijahkan kesan baik dan murni di dalam jiwa insan. Seterusnya mampu membina satu keluarga yang diredai Allah SWT dan akan membawa kejayaan luar biasa di dunia lebih-lebih lagi kejayaan untuk bersama kekal di syurga yang disediakan Allah buat hamba-Nya yang dikasihi-Nya. Semoga hal ini mampu memberi semangat buat seluruh pimpinan keluarga untuk terus kekal istiqamah membina harapan bagi menyelamatkan insan tersayang daripada kerosakan nilai, adab dan keyakinan sehingga terbinanya jalinan keluarga bahagia yang dimaknai dengan syariat Allah SWT. Selamatkan keluarga tercinta dan penuhi tuntutan syariat Allah SWT di muka bumi ini.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 6:00 AM