SETIAP bencana yang menimpa kita di dunia ini adalah atas ketentuan Allah SWT dan tiada waktu atau hari tertentu yang membawa sial selain semuanya berlaku atas kehendak-Nya.
SETIAP bencana yang menimpa kita di dunia ini adalah atas ketentuan Allah SWT dan tiada waktu atau hari tertentu yang membawa sial selain semuanya berlaku atas kehendak-Nya.
Oleh Muhammad Saufi Hassan


Tiada hari, bulan atau tahun yang 'sial' di sisi Allah SWT, setiap masa itu penuh dengan rahmat bagi orang yang bertakwa dan ia menjadi sebaliknya bagi individu yang melakukan maksiat.

Baru-baru ini kecoh di salah satu platform media sosial iaitu TikTok berkenaan Allah SWT menurunkan bala pada hari Rabu tanggal 27 Safar sehingga ada yang taasub dengan pandangan berkenaan.

Tiada hadis daripada Rasulullah SAW atau ayat suci al-Quran yang menerangkan perkara berkenaan sebaliknya ia adalah pandangan orang soleh yang mendapat 'ilham' atau petunjuk.

Walaupun ia ilham daripada orang soleh, namun kita tidak terikat untuk mengikutinya kerana tiada hadis atau ayat al-Quran yang menerangkan perkara berkenaan ataupun benar hari berkenaan Allah SWT menurunkan bala ke dunia ini.

Bagaimanapun, sebagai orang Islam yang sentiasa bertakwa, kita perlu melakukan amal kebajikan setiap masa, tidak mengira hari apa, bulan apa, tahun apa kerana kematian itu tidak pernah menunggu.

Zaman media sosial pada hari ini mempunyai banyak cabaran serta dugaannya khususnya dalam mencari sumber ilmu yang benar serta diperakui supaya tidak terjerumus dalam kesesatan.

Video tular yang ramai dikongsi oleh pengguna TikTok berkenaan juga menunjukkan masih ada sebilangan umat Islam yang terkeliru dengan perkara berkenaan dan masih meletakkan kepercayaan yang tinggi biarpun tidak mempunyai jalur dalil yang jelas.

Golongan kecil ini masih mempercayai kepada sempena baik atau prasangka buruk atau nahas terhadap bulan Safar, khususnya pada hari Rabu akhir bulan. 

Lebih malang lagi, mereka percaya dalam bulan Safar ini Allah akan turunkan puluhan ribu bala ke atas umat manusia, sedangkan bala sentiasa berada di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja yang dikehendaki Allah.

Memetik Dekan Pusat Pengajian Kontemporari Islam (FKI) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi menyatakan ada perbuatan umat Islam yang menulis ayat-ayat berkenaan iaitu ayat wifiq pada kertas atau pinggan mangkuk yang kemudian diletak dalam tempayan atau kolam atau perigi atau seumpamanya untuk diminum atau bermandi-manda dengan air tersebut kononnya untuk mendapatkan perlindungan daripada bala buruk pada hari berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa perlu ditegaskan kepercayaan karut itu berpunca daripada amalan atau kepercayaan jahiliah yang dilarang Islam. 

Engku Ahmad Zaki dalam tulisannya menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: Tidak ada penyakit berjangkit, tidak ada sempena (baik atau buruk) melalui burung-burung berterbangan, tidak ada sial pada burung hantu dan tiada nahas dalam bulan Safar. Hendaklah setiap daripada kamu melarikan diri daripada pesakit kusta sebagaimana kamu melarikan diri daripada singa yang bengis. (Hadis riwayat Bukhari)

Maksud hadis Rasulullah jelas menegaskan jangan sekali-kali umat Islam beriktikad penyakit berjangkit boleh memberi kesan dengan sendirinya atau sangkaan sial majal atau nahas bulan Safar itu berupaya memudaratkan kehidupan manusia. Sebaliknya apa juga peristiwa buruk atau baik, berjangkit atau tidak sesuatu penyakit itu semuanya daripada kekuasaan dan kehendak Allah.

Dalam masa sama, Rasulullah SAW berpesan kepada setiap Muslim agar mengambil langkah berwaspada semasa berhadapan musibah dengan memerintahkan supaya melarikan diri daripada pesakit kusta dan jangan menghampiri mereka. Ini bukan bererti penyakit kusta boleh berjangkit dan memudaratkan orang ramai, sebaliknya larangan tersebut menyingkap suatu tindakan berjaga-jaga dan berusaha memelihara diri daripada meletakkan diri ke kancah bahaya dan kemusnahan.

Bukankah Allah sudah berfirman yang bermaksud: "Belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan perelokkanlah perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya." (Surah Al-Baqarah, ayat 195)

Berdasarkan keterangan nas-nas berkenaan, nyatalah bahawa apa yang dipercayai dan diamalkan sebahagian umat Islam selama ini iaitu kepercayaan bulan Safar adalah bulan nahas atau sial, burung hantu burung sial dan seumpamanya adalah suatu kepercayaan yang karut dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Penulis Wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 6:01 AM