Anak adalah anugerah Allah yang menjadi amanah besar kepada ayah dan ibu. Kehadiran zuriat itu bukan secara melengkap kebahagiaan dalam kehidupan berumah tangga suami isteri, tetapi ia adalah suatu tanggung jawab yang wajib ditunaikan sebaiknya dengan memberikan didikan dalam segenap segi khususnya dalam aspek agama dan akhlak.
Pendidikan agama dan akhlak menjadi penting dan wajib diutamakan memandang situasi semasa yang sedang berlaku dalam masyarakat hari ini. Pelbagai gejala negatif telah dan sedang muncul melibatkan remaja kita menyebabkan kegusaran kepada ayah dan ibu.
Sebagai ayah dan ibu tidak seharusnya memandang remeh dan ringan aspek didikan agama dan akhlak untuk anak kerana kesan pengabaian memungkinkan pelbagai natijah buruk pada masa depan.
Kita tentu begitu terpanggil untuk memasang impian bagi memperoleh zuriat yang soleh apabila sesekali menatap berita dan paparan skrin di media sosial berkenaan adanya anak muda yang memimpin solat fardu di masjid dan surau. Demikian juga halnya, apabila menyaksikan ada anak menjadi imam bagi pelaksanaan solat jenazah untuk ayah dan ibusendiri.
Mungkin di kala itu, berbisik di sudut hati, 'Alangkah bertuahnya aku andainya memiliki anak soleh yang berkebolehan untuk menjadi imam ketika aku sudah bergelar jenazah nanti.' Ketika orang lain berbangga dengan kebolehan anak dengan pencapaian tinggi dalam bidang akademik, ada dalam kalangan kita yang dikurniakan anugerah tak ternilai berupa anak soleh yang serba boleh.
Dalam usaha kita membentuk dan melahirkan anak yang soleh bukan mudah kerana kecaknaan dan ikhtiar bersungguh-sungguh kita selaku ayah dan ibu sangat perlu memainkan peranan yang besar dengan memberikan didikan agama dan akhlak dengan sebaiknya.
Sesungguhnya, anak umpama sebatang pokok, sama ada lurus atau bengkoknya banyak dipengaruhi oleh pokok lain dan suasana alam di sekitarnya. Ingatlah apa yang pernah disabdakan oleh Nabi kita yang menegaskan, 'Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci), ibu bapanyalah yang menjadikannya beragama Yahudi, Nasrani ataupun Majusi. Seperti kuda yang hanya melahirkan kuda. Apakah kalian melihatnya melahirkan unta? (Hadis riwayat Imam Bukhari)
Jadi, sangat jelas kepada kita bahawa kemenjadian anak soleh tidak lahir dengan sendiri tanpa peranan si ayah dan ibu dalam membentuk watak mulia yang memiliki ilmu agama, adab dan akhlak yang murni. Kita seharusnya sedar yang kita tidak selamanya hidup di atas tanah, kerana apabila saat yang ditetapkan Allah maka kita akan kembali kepada-Nya dan 'Dunia' kita bukan lagi di atas tanah, tetapi di bawah tanah (alam kubur).
Semasa kita masih bernafas dan masih diberikan ruang dan peluang untuk menjalani kehidupan duniawi ini, seharusnya kita sudah merangka pelan terbaik untuk berhadapan dengan situasi berlainan di alam kubur dan akhirat kelak. Sayang macam mana sekalipun kita sayangkan kehidupan dunia, kita tetap bertemu dengan tarikh akhir riwayat hayat kita.
Nabi SAW sudah memberikan penjelasannya untuk kita ingati supaya tidak menyesal kemudian hari. Hadis ini sewajarnya menjadi pedoman berharga untuk setiap kalangan kita supaya kesiapsiagaan sebelum mati menjelang tiba. Nabi kita bersabda, 'Apabila manusia mati, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya.' (Hadis riwayat Imam Muslim)
Jadi, anak soleh adalah 'talian hayat' untuk ayah dan ibu di alam barzakh dan akhirat kelak. Kalau urusan dunia, kita sanggup berikhtiar sehabisnya untuk menyimpan wang dan mengumpul sebanyak-banyak saham kerana mahu mengecapi kehidupan yang serba mencukupi dan senang di kemudian hari. Pelbagai daya usaha yang kita lakukan agar impian itu tercapai.
Maka, urusan masa mendatang tatkala kehidupan di 'alam baru', iaitu alam barzakh dan akhirat seharusnya menjadi agenda paling utama yang perlu diutamakan. Di dunia semasa nafas masih dapat dikecapi, sebarang penyesalan akibat kegagalan menjayakan sesuatu agenda masih boleh kita perbaiki. Kita masih boleh lakukan perbetulan.
Namun, insaflah bahawa perbaikan gaya hidup hanya dapat dilakukan di dunia sahaja. Tidak semasa kita sudah bergelar jenazah. Dengan kata lain, amal hanya sah di dunia dan ruang serta peluang tertutup rapat buat kita semasa berpindah alam.
Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah, Pahang