AGIHAN daging korban perlulah dibuat secara adil berlandaskan apa yang disusun oleh syarak.
AGIHAN daging korban perlulah dibuat secara adil berlandaskan apa yang disusun oleh syarak.
Amirulhakim Ahmad Nadzri

Setiap tahun kita sebagai umat Islam akan menyambut Aidiladha pada 10 Zulhijah. Tarikh ini bersamaan umat Islam mengerjakan ibadah haji di Baitullah di Makkah.

Namun begitu, umat Islam ditempat lain tetap juga menyambut hari ini dengan melakukan ibadah korban. Korban bermaksud menyembelih haiwan tertentu (unta, lembu/kerbau dan kambing/biri-biri/kibasy) pada tanggal 10,11,12 dan 13 Zulhijah dengan maksud mendekatkan diri kepada Allah SWT. Perintah melakukan korban ini disyariatkan pada tahun kedua Hijrah dan bersumberkan daripada Surah al-Kautsar ayat kedua yang bermaksud: "Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah."

Antara hikmah melaksanakan korban ini adalah mengikis sifat tamak haloba dan mewujudkan sifat murah hati untuk membelanjakan harta ke jalan Allah SWT, sekali gus memupuk sikap peduli serta prihatin terhadap masyarakat. Hal ini jelas melalui pengagihan daging korban kepada yang berhak menerimanya khususnya kepada golongan fakir dan miskin yang amat memerlukan.

Mengenai agihan daging korban ini pula, kita perlu memahami jenis korban yang dilakukan. Korban ini terbahagi kepada dua jenis iaitu korban wajib dan korban sunat. Untuk agihan korban wajib (nazar dan ta'yin) ini, wajib mensedekahkan kesemua daging korban itu termasuk juga anggota tubuh seperti organ, kulit mahupun tanduknya. Haram bagi orang yang melakukan korban wajib ini memakan bahagian daripada korbannya. Apa-apa yang dimakannya wajib untuk membayar kembali nilainya.

Adapun korban sunat, ulama dalam mazhab Syafii ada berpendapat penerima agihan korban ini boleh diagihkan kepada tiga golongan iaitu orang yang melakukan korban, diagihkan kepada fakir, miskin dan dihadiah kepada orang lain termasuk orang kaya, jiran serta sahabat handai. Cara inilah menjadi panduan ramai masyarakat di Malaysia yang mengagihkan satu pertiga untuk dimakan oleh pihak yang berkorban, satu pertiga untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin dan satu pertiga untuk hadiah kepada jiran, orang kaya serta sahabat handai.

Sungguhpun begitu, kita perlu meneliti cara agihan yang lebih afdal daripada cara yang menjadi kebiasaan rakyat Malaysia dalam mengagihkan daging korban. Caranya adalah dengan seseorang yang melakukan korban itu menyedekahkan keseluruhan daripada daging korban dan makan sedikit sahaja daripadanya sekadar mengambil berkat. Hal ini seperti tercatat dalam kitab Sabil al-Muhtadin karangan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjariy. Beliau menambah lagi bahawa, bahagian yang paling utama dimakan ialah hati dan disedekahkan selebihnya. Perkara ini sepertinya yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi: "Bahawa Rasulullah SAW makan sebahagian daripada hati haiwan korbannya."

Perlu juga diberikan perhatian di sini bahawa, daging korban itu perlu diagihkan dengan daging yang masih mentah. Menurut al-Syeikh Ibrahim al-Baijuri dalam Hasyiah al-Baijuri menyatakan, apabila daging masih mentah, golongan yang mendapatkannya boleh memanfaatkan dengan pelbagai cara. Daging yang diperoleh boleh sahaja dimakan, malah boleh untuk dijual juga (hanya fakir dan miskin yang memerlukan sahaja boleh menjual daging korban). Kesimpulannya, agihan daging korban ini perlulah diagihkan secara adil berlandaskan apa yang disusun oleh syarak. Mendahulukan dan melebihkan agihan kepada orang fakir dan miskin daripada orang yang melakukan korban perlu diutamakan kerana amalan ini akan mendekatkan diri kepada Allah serta menjauhkan diri daripada sikap mementingkan diri sekali gus dapat memupuk sikap prihatin kepada masyarakat yang memerlukan.

Penulis Ketua Jabatan Syariah Islamiyyah, Kolej Islam As Sofa

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 6:00 AM