PERASAAN gembira itu tidak sama dengan rasa gembira melawat pelbagai destinasi pelancongan.
PERASAAN gembira itu tidak sama dengan rasa gembira melawat pelbagai destinasi pelancongan.
Dr Muhammad Yusry Affendy Md Isa al-Hafiy

MENUNAIKAN haji adalah impian yang amat didambakan orang-orang yang beriman. Apabila terlaksana Rukun Islam yang terakhir ini, zahirnya sudah sempurna keseluruhan tuntutan dasar agama tercinta.

Ramai kalangan umat Islam berpeluang menunaikan haji hasil anugerah daripada Allah. Muslim yang istiqamah terhadap kalimah syahadah, setia dengan solat, sabar dengan puasa dan beriltizam dengan zakat, pasti akan terdorong berikhtiar dan akhirnya dijayakan Allah untuk sampai ke Makkah.

Sesuai dengan kedudukan haji sebagai Rukun Islam yang terakhir, kewajipan ini begitu mencabar dan terikat dengan pelbagai hukum-hakam. Al-Quran menerangkan antara keunikan ibadat ini ialah umat Islam perlu mempunyai kemampuan pelbagai sudut sebelum menunaikan haji. Firman Allah yang bermaksud: "Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu bagi sesiapa yang mampu sampai kepadanya." (ayat 97, Surah Ali 'Imran).

Sesuatu yang menggembirakan jiwa Mukmin, apabila ia sudah berkemampuan dan memenuhi syarat lalu ia beroleh khabar gembira pihak pengurusan haji tanah air bahawa namanya 'naik' untuk haji. Perasaan gembira itu tidak sama dengan rasa gembira melawat pelbagai destinasi pelancongan. Ini kerana kelainan perasaan tercetus disebabkan ia peluang emas untuk melawat dan mempelbagaikan ibadat di bumi paling berkat.

Ia juga bakal memperoleh peluang rahmat yang luas. Dalam nas hadis, ada dinyatakan ganjaran istimewa antaranya sabda Rasulullah SAW: "Haji mabrur tidak ada ganjaran baginya melainkan syurga." (Riwayat Imam Ahmad). Sabda baginda SAW lagi: "Sesiapa yang menunaikan haji dalam keadaan dia tidak bercakap perkataan yang buruk dan keji serta tidak melakukan perkara yang buruk maka dia akan kembali sepertimana dia dilahirkan oleh ibunya (iaitu dalam keadaan suci bersih daripada dosa)." (Riwayat Imam al-Bukhari)

Sebagai tanda bersyukur kerana berpeluang menunaikan haji, persiapan awal perlu digerakkan.

Syeikh Dr 'Ali Jum'ah, mantan Mufti Mesir serta salah seorang ahli fiqh antarabangsa ada menyatakan bahawa persiapan kepada haji adalah urusan utama seorang Muslim. Beliau menyatakan: "Sesungguhnya persiapan haji adalah daripada urusan yang penting untuk matlamat menyempurnakan kewajipan agama. Wajib bagi setiap Muslim untuk mengambil berat, memperuntukkan masa yang sesuai dan sedia untuk melaksanakan jihad ini dengan sempurna."

Hamka (wafat 1981M) seorang ulama tersohor Nusantara turut berpesan dalam Tafsir al-Azhar: "Oleh kerana agama itu dikerjakan mengikut kesanggupan yang ada, maka diberilah syarat utama iaitu kesanggupan orang yang bersangkutan sendiri. Baik berkenaan dengan cukupnya perbelanjaan atau tidak sulit perjalanan kerana sulitnya hubungan atau dalam keadaan badan sihat wal afiat. Maka dengan ayat ini (ayat 97 Surah Ali 'Imran) datang perintah rasmi kepada kita manusia Muslim supaya naik haji ke Ka'bah rumah pertama itu, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup."

Dua jenis persediaan boleh dilakukan pertama; aspek material dan kedua; aspek jasmani dan kerohanian. Paling utama ialah perbelanjaan ketika menunaikan haji dan ini pendapat terbesar dalam kalangan ahli tafsir ketika mengupas maksud syarat berkemampuan menunaikan haji yang terdapat dalam al-Quran.

Fuqaha' turut menyatakan seseorang yang bakal menunaikan haji turut berkewajipan memperuntukkan wang dan terus menyediakan keperluan asasi untuk kelurga yang ditinggalkan. Dalam pada itu, perbelanjaan ketika haji dan perjalanan kembali ke tanah air juga perlu ada. Ternyata Islam memelihara kebajikan semua pihak. Tidak murni dalam hidup beragama, seseorang Muslim berbelanja untuk haji, tetapi keluarga dibiarkan dalam keadaan serba kekurangan.

Di samping persiapan kewangan, persiapan terpenting ialah persiapan ilmu. Bakal haji tidak boleh lalai daripada mengikuti kursus atau pengajian intensif haji. Dalam kaedah syarak: "sesuatu yang wajib tidaklah dapat disempurnakan melainkan dengan perantara yang juga dinilai sebagai wajib. Dapatlah difahami, ibadat haji adalah wajib. Justeru, mempelajari fiqh haji iaitu cara-cara melaksanakan Rukun Haji, perkara wajib haji, ihram dan pantang larangnya juga adalah wajib untuk diketahui sebaik mungkin sebelum menjejak kaki di Makkah.

Seandai menghadapi kekangan masa akibat bekerja, pastikan juga bakal haji ada menjenguk ilmu mengenai haji menerusi perantara teknologi. Perkara yang tidak difahami atau samar-samar, rajin-rajin bertanya kepada ahli agama yang benar. Demikian buku tertentu seperti panduan haji terbitan Tabung Haji adalah penting dirujuk. Panduan sedemikian perlu dibawa bersama ketika perjalanan.

Bagi sesetengah pihak, mereka berusaha mencari ilmu untuk urusan seharian seumpama teknik menggunakan gajet, seni memasak dan kaedah bersukan. Namun, dukacita dalam bab agama tidak berusaha sedemikian. Amat membimbangkan apabila haji yang ditunaikan adalah rapuh daripada pahala bahkan bimbang ada yang terbatal di sisi Allah. Justeru, persiapan ilmu adalah terpenting selepas persiapan saraan diri dan keluarga. Kesan daripada ilmu haji akan menatijahkan haji mabrur; status idaman orang-orang yang beriman.

Dalam aspek jasmani, bakal jemaah haji hendaklah memiliki tubuh yang sihat. Dalam kes pakar perubatan menilai potensi mudarat akan berlaku bagi diri seseorang maka syarak turut bersetuju bahawa ibadat hajinya boleh bertukar status hukum tidak wajib ketika itu. Ini disebabkan agama turut mementingkan kemaslahatan insan. Untuk jemaah haji yang sudah bersedia sihat tubuh badan, mereka terus menjaga kesihatan menerusi amalan pemakanan seimbang dan aktiviti seharian yang baik. Awasi makanan yang boleh menganggu kesihatan sebelum tempoh bertolak.

Haji satu-satunya ibadat yang memerlukan pengerakan fizikal yang lebih khasnya berjalan. Sebagai persiapan jasmani, disarankan bakal jemaah haji mula melatih diri berjalan bergerak ke suatu tempat ke tempat lain dengan kadar yang mampu. Tingkatkan jarak untuk stamina tubuh badan. Latihan ini sebagai praaktiviti berjalan di sana nanti.

Didikan terindah hasil ibadat haji ialah mencintai masjid yang merangkap rumah Allah. Sebelum menuju rumah Allah yang paling utama iaitu Masjidil Haram, amat indah kita dapat mulakan terlebih dahulu bersolat jemaah, beriktikaf dan beribadat di masjid atau surau berdekatan. Ini adalah persiapan kerohanian yang istimewa.

Ada juga yang bercadang mula menjenguk masjid dan surau selepas kembali haji. Adalah lebih istimewa, didahulukan bergerak ke masjid dan surau berdekatan sebelum ke Makkah. Ini memberi petanda kita bersedia untuk beribadat di mana-mana jua dan menjejaki laluan kepada-Nya. Selepas pulang haji, ia kembali untuk terus setia berada di rumah Allah yang tersedia di sekitarnya demi mengejar reda Ilahi. Pengalaman memakmurkan Masjidil Haram terus disambung sehingga nafas terakhir mudah-mudahan.

Dalam amalan kerohanian, doakan supaya haji ditunaikan dengan sempurna. Syarak turut merestui ungkapan doa dimohon supaya diri selamat pergi dan pulang ke tanah air. Doa juga tidak lupa dimohon supaya ibadat dapat ditunaikan dalam keadaan diri yang tenang dan keluarga yang aman sepeninggalannya nanti.

Doa sedemikian mempunyai nilai tersendiri di sisi Tuhan. Hasil usaha berdoa di tanah air melatih diri supaya terus mahu berdoa di tempat mustajab. Etika dan keperluan doa ketika berada di Masjidil Haram, 'Arafah dan sisi Kaabah perlu diketahui terlebih dahulu sebagai persiapan munajat di sana kelak.

Terakhir pedoman persiapan kerohanian ialah jemaah haji hendaklah sentiasa memastikan niat menunaikan haji adalah benar-benar tulus kerana Allah. Ada kalangan Muslim yang menunaikan haji kerana tiba-tiba 'nama dipanggil' maka apa kata orang jika ia mahu menolak. Ada juga kerana inginkan gelaran haji dan hajjah. Ada juga kerana ingin bercuti lebih atau ini peluang membeli-belah tanpa gangguan keluarga.

Semua nawaitu keduniaan ini diatasi dengan segera menyebut dalam hati nurani bahawa ibadat haji akan ditunaikan demi menjunjung tinggi perintah Allah. Ibadat hanya kepada Tuhan menjadi matlamat asas biarpun dihadiahkan dengan pujian dan juga dihimpit cabaran manusia. Dengan persediaan niat tulus ini, jemaah haji akan sentiasa mengawasi diri daripada perkara negatif ketika berada di Tanah Suci dan tatkala kembali ke tanah air.

Muhasabah buat kita bersama, berapa ramai sudah pun menunaikan haji, namun kehidupannya masih sunyi daripada kehendak syariat. Persiapan dan pelaksanaan haji yang sempurna amat diperlukan supaya memberi kesan kehidupan yang direstui Allah. Laksana haji biarpun sekali sahaja, namun implikasi sejahtera terukir sampai akhirat.

Penulis Pensyarah kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 5:59 AM