RAHMAT korban dikongsi bersama penduduk sekitar yang menerima agihan daging korban.
RAHMAT korban dikongsi bersama penduduk sekitar yang menerima agihan daging korban.
Ahmad Fadzlullah Hasanuddin

Ibadah korban merupakan ibadah yang disyariatkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya yang taat setiap tahun apabila menjelang Hari Raya Aidiladha. Melalui kisah pengorbanan terbesar dalam sejarah peradaban manusia Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Ismail AS ibadah ini menunjukkan kesungguhan umat Islam mengorbankan harta kesayangan untuk membuktikan cinta pada Allah Yang Maha Esa semata-mata. Di sebalik syariat ini, pelbagai rahmat tersembunyi melalui pesta ibadah yang bakal berlangsung penghujung Jun ini.

Antara perkara sunat yang digalakkan bagi orang yang hendak berkorban ialah memilih binatang korban yang besar dan terbaik. Diriwayatkan kelebihannya, haiwan korban itu akan menjadi tunggangannya untuk melintas titian sirat di akhirat kelak.

Ini berdasarkan hadis: "Besarkanlah binatang korban kamu sekalian kerana sesungguhnya ia adalah tunggangan kamu sekalian di atas titian sirat."

Hadis ini masyhur disebutkan dalam sebahagian kitab fiqah mazhab Syafii dan lain-lain. Antara yang menyebutkannya ialah Imam al-Haramain al-Juwaini dalam kitab al-Nihayah, diikuti kemudian oleh Imam al-Ghazali dalam kitab al-Wasit dan Imam ar-Rafie dalam kitab al-Aziz.

Bagaimanapun, hanya satu sumber hadis yang ditemukan iaitu riwayat ad-Dailami dalam kitab Musnad al-Firdaus daripada Abu Hurairah RA. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Talkhis al-Habir terdapat pada sanadnya Yahya bin Ubaidillah, seorang perawi yang sangat daif. Dalam Taqrib al-Tahzib, dia dinilai sebagai matruk (ditinggalkan). Penilaian al-Hafiz Ibn Hajar turut dipersetujui dan dinukilkan oleh al-Hafiz as-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah dan al-Allamah al-Ajluni dalam Kasyf al-Khafa'.

Imam at-Tirmizi mengisyaratkan terdapat dua hadis lain mengenai kelebihan berkorban daripada Imran bin Husain RA dan Zaid bin Arqam RA. Pertama, hadis Imran bin Husain RA, iaitu sabda Rasulullah SAW: "Wahai Fatimah, pergilah kepada haiwan korbanmu dan saksikanlah ia sendiri kerana sesungguhnya akan diampunkan bagimu di awal titisan pertama yang mengalir daripada darahnya itu segala dosa yang kamu lakukan." Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, katanya: Sahih sanadnya

Industri penternakan

Ibadah korban membabitkan pengorbanan haiwan ternakan seperti biri-biri, kambing, lembu, kerbau atau unta. Oleh itu, akan berlaku peningkatan permintaan terhadap haiwan-haiwan ini menjelang perayaan. Peningkatan permintaan ini dapat merangsang industri penternakan dari segenap lapisan individu sehingga ke syarikat besar. Ia mencipta pasaran untuk membeli dan menjual haiwan dengan demikian menggalakkan aktiviti ekonomi dalam sektor ini.

Sektor pertanian

Permintaan terhadap ternakan semasa musim korban juga membawa kepada peningkatan permintaan makanan haiwan seperti jagung, jerami padi, rumput komersial dan banyak lagi. Ini dapat memberi manfaat kepada sektor pertanian kerana petani dan pembekal akan mengalami peningkatan jualan dan pengeluaran semasa tempoh ini.

Industri kebajikan

Korban mempunyai elemen amal jariah yang kuat, di mana daging dari haiwan-haiwan yang dikorbankan diedarkan kepada mereka yang kurang bernasib baik termasuk golongan miskin, memerlukan dan terpinggir. Aktiviti korban ini bukan sahaja mengikis sifat bakhil dalam diri, tetapi juga memberikan makanan kepada mereka yang mungkin tidak mempunyai akses teratur kepada daging. Ia sedikit sebanyak menyumbang kepada kestabilan sosio-ekonomi dalam masyarakat.

Rahmat buat warga setempat

Lebih 15 tahun mengendalikan ibadah korban di dalam dan luar negara, EZ Qurban menyatakan bahawa korban yang dilakukan di sesebuah lokasi bukan sahaja memberi peluang ekonomi buat penggembala kecil, tetapi rahmatnya dikongsi bersama penduduk sekitar yang menerima agihan daging korban. Antara impak yang lebih positif ada lokasi di negara terpencil yang sebelumnya diabaikan industri ternakan, semakin diberi perhatian apabila EZ Qurban mula melangkah masuk untuk menjalankan ibadah korban. Ia menjentik ekonomi setempat walaupun hanya datang secara bermusim.

Perlu diingat bahawa impak ekonomi ibadah korban ini berbeza mengikut keadaan sosioekonomi sesuatu kawasan dan skala kemeriahan perayaan ini. Di sesetengah tempat, impak ibadah korban ini mungkin tidak sama seperti tempat kita khususnya. Tambahan lagi, impak ekonomi yang dibawa oleh ibadah korban ini boleh jadi dalam tempoh singkat dan terhad kepada waktunya sahaja atau mungkin boleh memberikan impak yang lebih panjang berdasarkan eksploitasi yang dibuat oleh masyarakat tempatan dalam mengambil peluang yang ada.

Buat sidang pembaca yang berniat untuk melaksanakan ibadah korban tahun ini, boleh mendaftar di laman sesawang EZ Qurban, www.ezqurban.org atau hubungi talian bebas tol 1800-885-885 untuk pertanyaan lanjut

Pada masa sama, hadis Zaid bin Arqam RA, iaitu sahabat RA bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah makna haiwan korban ini?" Jawab baginda: "Sunah bapa kamu sekalian, Nabi Ibrahim AS." Sahabat bertanya lagi: "Maka, apakah yang kami peroleh, wahai Rasulullah?" Jawab baginda: "Bagi setiap bulunya satu kebaikan." Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad, Ibn Majah dan al-Hakim, katanya: "Sahih sanadnya." Namun begitu, terdapat pada sanadnya 'A'izullah al-Mujasyi'i dan Abu Dawud al-A'ma, dua perawi bermasalah yang menjadikan sanad hadis ini sangat daif. Semua perbincangan hadis ini menunjukkan kepada kita betapa perlunya berhati-hati dan cermat dalam menilai sesuatu hadis. Namun begitu, hadis yang masih tidak disepakati palsu, boleh berfungsi sebagai galakan atau motivasi untuk kita giat beramal ibadah.

Penulis Ketua Pegawai Eksekutif EZ Qurban

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 6:00 AM