UMAT Islam wajib memelihara kesucian al-Quran serta tidak boleh membiarkannya terdedah kepada kerosakan dan penghinaan. FOTO Arkib NSTP
UMAT Islam wajib memelihara kesucian al-Quran serta tidak boleh membiarkannya terdedah kepada kerosakan dan penghinaan. FOTO Arkib NSTP
Dr Mohd Khafidz Soroni

Al-Quran mukjizat Nabi Muhammad SAW sepanjang zaman. Kedudukan istimewa al-Quran dijamin dipelihara oleh Allah SWT sehinggalah akhir zaman. Kebenaran kandungannya membuka hati dan menarik ramai bukan Islam untuk memeluk agama Islam. Kepesatan perkembangan agama Islam di Barat kini mungkin menjadi antara faktor timbulnya kebencian sebahagian musuh Islam terhadapnya.

Justeru, umat Islam tidak perlu terprovokasi dengan tindakan sesetengah mereka membakar al-Quran. Janganlah pula ada yang bertindak dengan membakar Bible atau seumpamanya sebagai respons terhadap aksi provokasi itu. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah kamu cerca benda yang mereka sembah yang lain Allah kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan." (Surah al-An'am: 108)

Namun, kita tidak menafikan bahawa tindakan keji itu boleh menyemarakkan lagi kebencian dan mencetuskan keganasan dalam kalangan penduduk tempatan di sana. Maka pastinya, ia bukanlah tindakan orang yang cerdik dan terhormat. Hanya sekadar mengikut kehendak hawa nafsu dan hasutan syaitan yang sentiasa berusaha untuk melagakan dan menghancurkan umat manusia.

Bagaimanapun, martabat al-Quran tidak pernah turun meskipun dibakar, dipijak dan dihina, bahkan martabat pelakunya itulah yang pasti turun, jatuh ke dasar paling bawah di sisi Allah SWT serta seluruh makhluk-Nya yang beriman. Kita percaya mereka akan memperoleh azab yang keras dalam api neraka kelak sekiranya tidak kembali kepada Islam dan bertaubat kepada-Nya. Daripada Umar bin al-Khattab RA bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah akan mengangkat (memuliakan) dengan sebab al-Quran ini sebilangan kaum dan akan merendahkan (menghinakan) dengan sebabnya pula sebilangan kaum yang lain." (Riwayat Muslim)

Secara sifir mudahnya, orang yang mengasihi al-Quran pasti akan dikasihi oleh Allah SWT dan orang yang menghina al-Quran pasti akan dihina oleh Allah SWT. Sebagai umat Islam kita wajib menjaga dan memuliakan al-Quran.

Imam an-Nawawi dalam kitab at-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran menukilkan daripada Imam al-Qadhi Iyadh, katanya: "Ketahuilah bahawa sesiapa yang mempersendakan al-Quran atau mashaf atau sesuatu daripadanya atau mencelanya atau mengingkari satu huruf daripadanya, atau mendustakan sesuatu yang dinyatakan dengan jelas di dalamnya sama ada hukum atau perkhabaran atau mensabitkan apa yang telah dinafikannya atau menafikan apa yang telah disabitkannya, sedangkan dia mengetahui yang demikian atau berasa ragu-ragu terhadap sesuatu daripadanya, maka dia adalah kafir dengan ijmak umat Islam".

Bukan sekadar itu sahaja, bahkan al-Qadhi Iyadh menambah: "Demikian juga sekiranya dia mengingkari kitab Taurat dan Injil atau kitab Allah SWT yang diturunkan oleh-Nya atau kufur dengannya atau mencelanya atau mempersendakannya, maka
dia juga kafir."

Ertinya, dihukumkan kafir mereka yang tidak mempercayai kitab suci sebenar yang diturunkan oleh Allah SWT kepada sekalian nabi-Nya, sebelum ia diselewengkan dan ditokok tambah selepas itu. Adapun mempertikaikan dan mempersoalkan ketulenan kandungan kitab Taurat dan Injil yang wujud pada masa sekarang, ia tidak temasuk dalam perbuatan mencela atau mempersendakannya.

Umat Islam wajib memelihara kesucian al-Quran serta tidak boleh membiarkannya terdedah kepada kerosakan dan penghinaan. Misalnya, jika peniaga mengetahui si pembeli membeli mashaf al-Quran untuk membakar atau menghinakannya adalah haram dan berdosa hukumnya jika dia menjual mashaf itu.

Kata Imam an-Nawawi dalam at-Tibyan: "Haram bermusafir dengan membawa mashaf al-Quran ke bumi musuh jika dikhuatiri ia akan terjatuh ke tangan mereka, berdasarkan hadis yang masyhur dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim bahawa Rasulullah SAW melarang bermusafir dengan membawa al-Quran ke bumi musuh."

Kata Imam an-Nawawi lagi: "Umat Islam bersepakat bahawa wajib menjaga mashaf al-Quran dan memuliakannya. Menurut ashab kami (ulama mazhab Syafii) dan lain-lain, jika seorang Muslim mencampakkannya – wal 'iyazubillah ta'ala – ke tempat kotoran, maka yang mencampakkannya itu menjadi kafir. Menurut mereka lagi, haram menjadikannya sebagai bantal, bahkan menjadikan mana-mana kitab ilmu sebagai bantal juga adalah haram."

Antara yang turut menyedihkan, ada sesetengah orang menjadikan al-Quran sebagai bahan simpanan dan hiasan semata-mata, sedangkan ia adalah kitab petunjuk untuk dibaca, ditadabbur dan diamalkan isi kandungannya bagi meraih kebahagiaan di dunia mahupun di akhirat.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 7:00 AM