TERDAPAT ruang dan peluang doa mustajab dibuka untuk seorang hamba yang  memohon hajat.
TERDAPAT ruang dan peluang doa mustajab dibuka untuk seorang hamba yang memohon hajat.
Dr Mohd Khadiz Soroni

Sama ada kita sedar atau tidak, ruang dan peluang doa mustajab sentiasa dibuka setiap hari seiring dengan perjalanan cakerawala. Bermula solat Subuh dengan masuknya waktu fajar yang menandakan matahari akan terbit dari sebelah timur sehinggalah ia muncul dan terus beredar sampai tegak di atas kepala untuk memasuki waktu solat Zuhur. Kemudian matahari terus condong ke arah ufuk sebelah barat untuk memasuki waktu solat Asar, sehinggalah ia terbenam bagi menandakan masuknya waktu solat Maghrib dan seterusnya solat Isyak ketika cahaya matahari hilang sepenuhnya.

Apabila selesai menunaikan solat pada setiap waktu berkenaan, terdapat ruang dan peluang doa mustajab yang dibuka untuk seorang hamba memohon segala hajatnya. Ruang dan peluang doa mustajab turut dibuka pada setiap hari di sepertiga malam yang terakhir. (Lihat riwayat al-Tirmizi, katanya: Hadis hasan)

Selain dibuka setiap hari, terdapat ruang dan peluang yang lebih istimewa dibuka seminggu sekali pada setiap Jumaat. Namun, terdapat perselisihan pendapat ulama mengenai bilakah sebenarnya saat mustajab berdoa pada hari itu, di antara waktu imam mula duduk di atas mimbar sehinggalah terbenamnya matahari pada petang Jumaat berkenaan. Perjalanan cakerawala turut melibatkan pergantian bulan demi bulan. Dalam Islam, terdapat satu bulan yang cukup istimewa dan penuh dengan keberkatan, iaitu Ramadan. Pada bulan ini sahaja pintu syurga dibuka seluas-luasnya dan pintu neraka ditutup rapat. Ruang dan peluang permohonan amat terbuka luas pada bulan ini, lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir yang mengandungi peristiwa besar Lailatulqadar.

Selain Ramadan, terdapat bulan lain yang juga istimewa. Menurut ulama mazhab Syafii dan lainnya, ada enam bulan yang paling afdal di sisi mereka. Urutannya menurut keutamaan adalah bermula dengan Ramadan kemudian Muharam diikuti Rejab seterusnya Zulhijah, Zulkaedah dan terakhir Syaaban. Ini seperti yang disebut oleh Imam al-Khatib as-Syirbini dalam al-Iqna', Syeikh Abdul Hamid Kudus dalam Kanz an-Najah dan lain-lain lagi. Dengan makluman, empat daripadanya adalah termasuk dalam al-Asyhur al-Hurum (empat bulan yang haram) kerana kehormatannya, iaitu Muharam, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijah.

Demikianlah ruang dan peluang untuk kita merebut limpahan rahmat dan nikmat Allah SWT. Anas bin Malik RA berkata: "Sabda Rasulullah SAW: 'Buatlah kebaikan sepanjang hayat kamu sekalian dan carilah limpahan rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mempunyai limpahan daripada rahmat-Nya. Dia akan memberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki daripada kalangan hamba-Nya. Mohonlah kamu sekalian kepada Allah supaya Dia menutupi aurat (keaiban) kamu dan mententeramkan rasa takut kamu.'" (Riwayat al-Hakim at-Tirmizi, at-Tabarani, Ibn Abd al-Barr, al-Baihaqi dan Abu Nu'aim)

Status hadis ini hasan dengan adanya sokongan riwayat daripada Abu Hurairah RA, Muhammad bin Maslamah RA, Ibn Umar RA dan Abu ad-Darda' RA secara mauquf. Dalam satu riwayat disebut: "… Maka, carilah ia kerana walaupun seseorang daripada kamu hanya memperoleh satu sahaja limpahan daripadanya, namun ia tidak akan menderita selepas itu selama-lamanya." (Riwayat al-Hakim at-Tirmizi dan al-Tabarani)

Baginda SAW menyuruh kita supaya terus berusaha mencari peluang untuk meraih limpahan dan kurniaan rahmat Allah SWT. Kata Imam al-Munawi dalam kitab Faidh al-Qadir: "Iaitu dengan melaksanakan perintah, menjauhi larangan, tidak tenggelam dalam keseronokan dan lalai dengan nafsu syahwat, dengan harapan Dia akan mengurniakan daripada hembusan rahmat-Nya suatu kurniaan yang dapat membahagiakan kamu."

Kata beliau lagi: "Maka, berterusanlah kamu mencarinya. Mudah-mudahan kamu akan dapat meraih suatu kurniaan daripada kurniaan tersebut, lalu termasuklah kamu daripada kalangan orang yang bahagia."

Jelasnya, Allah SWT mempunyai limpahan dan kurniaan yang disembunyikan waktunya serta tidak ditentukan secara tepat kepada hamba-Nya supaya mereka sentiasa berusaha mencarinya dan terus melakukan amal kebaikan sepanjang hayat.

Kata Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam Lata'if al-Ma'arif: "Maka, sesiapa yang memperolehnya dia pasti akan bahagia, kebahagiaan yang tiada penderitaan sesudahnya selama-lamanya. Sesungguhnya limpahan-Nya yang paling besar sekali ialah apabila beroleh doa yang mustajab, apabila seorang hamba pada masa itu memohon syurga dan keselamatan daripada api neraka, lantas doanya itu terus dimakbulkan. Maka, beruntunglah dia memenangi kebahagiaan yang abadi."

Meskipun ada waktu yang istimewa, namun janganlah kita suka bertangguh untuk melaksanakan amal ibadah dengan alasan untuk menunggu waktu istimewa itu kerana ajal maut itu tidak mengira waktu dan pasti datang pada bila-bila masa sahaja.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2023 @ 7:01 AM