MAULIDUR Rasul disambut sebagai satu bentuk kesyukuran terhadap rahmat Allah yang  mengutuskan seorang manusia ke alam semesta ini untuk merubah suasana dan keadaan hidup manusia sejagat ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. FOTO Arkib NSTP
MAULIDUR Rasul disambut sebagai satu bentuk kesyukuran terhadap rahmat Allah yang mengutuskan seorang manusia ke alam semesta ini untuk merubah suasana dan keadaan hidup manusia sejagat ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Saufi Hassan

Hanya Iblis yang bersedih pada peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW dan untuk itu, mari kita renung tentang beruntungnya menjadi umat Nabi Muhammad SAW yang sentiasa diberikan kelebihan oleh Allah SWT.

Al-Hafiz Ibnu Katsir dalam Kitab Al-Bidayah Wa An-Nihayah, pada Bab Malam Kelahiran Rasulullah SAW, dinyatakan bahawa: "Bahawasanya Iblis menangis sangat kuat sebanyak empat kali iaitu ketika Iblis dilaknat oleh Allah SWT, ketika Iblis diusir dari Syurga, ketika Rasulullah SAW dilahirkan dan ketika surah al-Fatihah diturunkan."

Sempena bulan Rabiulawal ini, ia adalah bulan yang seharusnya membuatkan setiap umat Nabi Muhammad SAW bergembira, bersenang hati dan berbahagia kerana pada bulan ini, kira-kira 1,400 tahun lalu, makhluk paling mulia iaitu junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW dilahirkan.

Jika menyentuh soal tarikh kelahiran Rasulullah SAW, berdasarkan kepada Bayan Linnas, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa ahli sejarah berbeza pandangan dalam menentukan tarikh kelahiran Rasulullah dan terdapat lima pandangan.

12 Rabiulawal Tahun Gajah, 531 Masihi - Ini berdasarkan pandangan Ibn Ishaq, al-Zahabi dan al-Tabari.

9 Rabiulawal Tahun Gajah, 571 Masihi - Ini dinyatakan oleh Sheikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri di dalam kitabnya 'Al-Rahiq Al-Makhtum dan pendapat ini disokong Sheikh Muhammad Khudori Biik dalam kitabnya Nurul Yaqin

2 Rabiulawal - Ini dinyatakan oleh Imam Abdul Barr dalam kitabnya 'Al-Isti'ab Fi Makrifat il-ashab' dan diriwayatkan oleh al-Qaqidi dari Abu Ma'syar Najib bin Abdul Rahman al-Madani

8 Rabiulawal - Pendapat ini diceritakan oleh Humaidi daripada Ibnu Hazm dan diriwayatkan Malik, Uqaili, Yunus bin Yazid dan lainnya daripada uhri, dari Muhammad bin Jubair bin Muth'im.

Bagaimanapun perlu difahami bahawa tahun yang disepakati adalah Tahun Gajah dan perbezaan pandangan adalah beberapa bilangan hari selepas serangan tentera bergajah Abrahah.

Tarikh yang disepakati adalah pada bulan Rabiulawal dan wujud juga pandangan yang menyatakan bulan Safar namun ini pandangan yang amat lemah dan hari yang disepakati adalah hari Isnin.

Bulan Rabiulawal adalah antara bulan yang tercatat detik bersejarah bagi umat Islam sejagat. Kedatangan bulan mulia itu amat dinanti-nantikan dan sentiasa diingati oleh masyarakat Islam di Malaysia khasnya dan umat Islam di seluruh dunia amnya kerana tanggal 12 haribulan dalam bulan inilah junjungan besar Rasulullah diputerakan.

Berdasarkan tulisan Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi menukilkan bahawa hari peringatan peristiwa paling bersejarah ini dikenali Maulidur Rasul disambut sebagai satu bentuk kesyukuran terhadap rahmat Allah yang mengutuskan seorang manusia ke alam semesta ini untuk merubah suasana dan keadaan hidup manusia sejagat ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Allah telah berfirman maksudnya: "Tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk mendatangkan kerahmatan kepada seluruh alam." (Surah al-Anbia, ayat 107)

Perutusan Rasulullah ke alam ini sebagai menyambung tradisi perjuangan nabi dan rasul terdahulu dalam menegakkan kalimah Allah dan seterusnya mengakhiri silsilah kerasulan dengan memikul amanah menyampaikan risalah Islam yang lebih lengkap dan menyeluruh ke sekalian alam.

Rasulullah juga dikurniakan kitab suci al-Quran sebagai sumber rujukan dan pedoman berkekalan buat umat manusia dalam menelusuri titian hidup yang penuh onak dan duri.

Dalam hal ini, Allah berfirman yang bermaksud: "Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang (Arab) yang ummiyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad) daripada bangsa mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya) dan membersihkan mereka (daripada iktikad yang sesat) serta mengajarkan mereka Kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hakam syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata." (Surah al-Jumuah, ayat 2)

Serentak dengan itu, sambutan hari Maulidur Rasul amat penting dalam kehidupan umat Islam dengan harapan untuk memantapkan lagi keyakinan mereka terhadap Rasulullah di samping menebalkan lagi kecintaan kepada Baginda.

Sesungguhnya Rasulullah adalah insan paling dicintai memandangkan Baginda adalah insan contoh atau manusia mithali dalam serba serbinya, dalam semua aspek kehidupan. Oleh sebab itulah, umat Islam diperintahkan Allah agar meneladani dan mencontohi kehidupan Rasulullah dalam segala lapangan hidup selaras dengan firman Allah yang bermaksud: "Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan Allah) dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Untuk menyatakan kecintaan kepada Rasulullah, ia tidak cukup sekadar dizahirkan dengan kata-kata pujian dan sambutan dengan pelbagai acara, malahan ia akan menjadi lebih bermakna jika dizahirkan kecintaan itu dengan meneladani jejak langkah kehidupan Baginda, sama ada sebagai seorang pemimpin, panglima angkatan perang, sahabat, suami, bapa, bahkan juga sebagai seorang manusia biasa. Pendek kata, Rasulullah memiliki banyak dimensi dan sudut yang patut dicontohi oleh umat Islam.

Kehidupan Rasulullah yang sarat dengan sifat peribadinya yang mulia dalam kelakuannya, perangainya, tingkah lakunya dan setiap detik perjalanan hidupnya adalah seumpama mukjizat yang berjalan di atas permukaan bumi. Oleh sebab itulah, diri Rasulullah, sirahnya dan sunahnya tetap relevan kepada umat Islam dari dulu, kini dan selamanya. Justeru, kehidupan Rasulullah menyediakan jawapan ampuh yang berupaya memecahkan segala persoalan dan masalah manusia moden.

Kehidupan Rasulullah sendiri sebenarnya satu manifestasi menyeluruh daripada intipati al-Quran sebagaimana yang dijelaskan oleh isteri tercinta Saidatina Aisyah apabila beliau ditanya akhlak Rasulullah. Lantas Saidatina Aisyah menjawab: "Sesungguhnya akhlak Rasulullah adalah akhlak al-Quran." (Hadis riwayat Muslim)

Ringkasnya, sememangnya kehidupan Baginda adalah manifestasi keseluruhan al-Quran al-Karim dalam setiap ruang lingkup kehidupan seharian daripada ibadahnya, pergaulannya dengan anggota keluarganya dan masyarakat sekelilingnya, aktiviti sosialnya, politiknya dan sebagainya.

Pun begitu, era globalisasi yang mewarnai pentas dunia kini kelihatan sedang menyaksikan betapa ramainya umat manusia semakin tersasar daripada landasan yang lurus. Natijahnya, ramai manusia yang tertipu dengan godaan dunia yang mempesona, indeks keruntuhan akhlak semakin merudum dan kesejahteraan hidup yang diimpikan mulai pupus dek peperangan dan penindasan. Runtuhnya mahligai rumahtangga yang memutuskan jalinan mesra seisi keluarga, tiada harmoni hubungan sesama insan, saling tindas menindas, yang kaya menjadi semakin sombong dan yang miskin pula semakin terhimpit penderitaan demi penderitaan. Dalam erti kata lain, hidup ini seolah-olah ketiadaan bimbingan dan panduan, dada umat manusia pula dipenuhi penyakit jiwa dan hilangnya petunjuk serta rahmat dalam kehidupan.

Akhirnya, kedengaran suara-suara dan jeritan dari kejauhan sudut hati manusia yang menyeru apakah di sana masih ada jalan keluar dan penyelesaian daripada kemelut ini? Apakah ada konsep yang sesuai untuk manusia hidup sejahtera dan bahagia di dunia dan akhirat? Apakah kezaliman dan penderitaan yang dialami umat manusia sekian lama ini akan berakhir dan menemui titik noktah penghujungnya? Apakah ada penawar yang ampuh untuk menyelamatkan umat manusia daripada krisis akhlak yang semakin meruncing? Apakah keadilan akan mejelma kembali menaungi alam semesta ini? Dan sekian banyak lagi persoalan demi persoalan yang melingkari kehidupan manusia yang mengharapkan satu jalan penyelesaian terbaik agar manusia dapat keluar daripada kegersangan hidupnya dan seterusnya menikmati kebahagiaan hidup yang abadi.

Sebenarnya konsep untuk manusia hidup bahagia itu ada, namun ia ditinggalkan. Begitu juga jalan menuju kesejahteraan hidup sudah jelas dalam al-Quran, namun diingkari. Ini bermakna Islam yang diutuskan Allah melalui Rasulullah sudah menyediakan jalan terbaik ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan hidup. Islam sarat dengan hukum hakam dan ajaran suci yang menjamin hidup manusia dalam menyelesaikan segala masalah dan kemelut yang melanda serta penawar bagi penyakit kehidupan.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 7:01 AM